Gaji lebih tinggi diharap dapat tarik tenaga kerja baharu sektor SPED: Dr Maliki
SINGAPURA: Langkah-langkah untuk meningkatkan gaji guru-guru dan pembantu guru pendidikan khas (SPED) dan mengukuhkan pembangunan profesionalisme mereka diharap dapat menarik lebih ramai orang untuk menceburi bidang itu.
Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman yang mengulas lebih lanjut tentang kenaikan gaji dan sokongan yang dipertingkat untuk sektor pendidikan khas yang diumumkan di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (4 Mac).
USAHA TARIK MENARIK LEBIH RAMAI ANAK MUDA; PASTIKAN GAJI MEMADAI DENGAN TUGAS
Dr Maliki berkata sektor SPED merupakan satu sektor yang penting bagi memenuhi anak-anak yang berkeperluan khas.
"Hari ini 80 peratus di antara pelajar berkeperluan kompleks dan pelajar keperluan khas (SEN) mengikuti pembelajaran mereka dalam sekolah-sekolah awam, secara inklusif bersama dengan rakan-rakan sebaya mereka. Tapi kita tahu bahawa dalam 20 peratus mempunyai keperluan yang lebih khas lagi, mempunyai keperluan di mana mereka lebih cenderung diberikan pembelajaran yang lebih khusus untuk keperluan mereka dan kebolehan mereka.
"Pemerintah telah membantu sekolah-sekolah SPED ini untuk memberi dana dan supaya keupayaan mereka untuk meningkatkan servis mereka kepada anak anak ini lebih baik lagi. Kali ini kita memberi dana yang lebih banyak lagi dan dana ini disalurkan kepada beberapa bahagian satu ialah pada gaji atau pendapatan para guru dan guru pembantu," kata beliau kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Gaji permulaan bagi guru dan pembantu guru yang akan dinaikkan diharap dapat menarik lebih ramai orang untuk menyertai sektor itu.
"Gaji permulaan bagi guru akan dinaikkan sebanyak 15 peratus dan gaji permulaan pada pembantu guru akan dinaikkan kepada 17 peratus. Dengan kenaikan kenaikan gaji ini, kami harap lebih ramai yang akan dapat melihat sektor SPED ini sebagai sektor yang menarik dan memberi gaji yang memadai dengan apa yang harus dilakukan dalam sektor tersebut," jelas beliau.
YURAN SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS
Dalam pada itu, Dr Maliki turut menyentuh tentang yuran di sekolah pendidikan khas yang dikurangkan.
Yuran sekolah SPED akan dikurangkan sehingga 60 peratus bagi pelajar SPED warga Singapura menjelang pertengahan tahun depan.
Perubahan itu bermakna, yuran bulanan maksimum bagi warga Singapura di sekolah SPED akan dikurangkan daripada S$150 kepada S$90.
3,500 pelajar dan keluarga mereka dijangka meraih manfaat daripada perubahan itu.
"Kami berharap bahawa anak-anak sekolah SPED ini akan dapat disediakan dengan masa depan yang lebih baik kerana kita tahu bahawa cabaran mereka berlainan. Dengan ini, kita berharap potensi mereka akan dapat digilap dan mereka akan dapat diasuh dengan sebaik mungkin, diberi kebolehan untuk hidup berdikari kerana ramai di antara ibu bapa ragu akan apa yang akan berlaku kepada anak-anak mereka apabila mereka dewasa kelak.
"Saya berharap ini akan memenuhi keperluan keluarga-keluarga ini. Tetapi jika terdapat keluarga yang masih berasa bahawa yuran S$90 itu masih terlalu tinggi untuk mereka, sekolah-sekolah SPED bersedia untuk membantu mereka dengan bantuan-bantuan khusus supaya mereka berasa bahawa pendapatan ataupun yuran tidak harus menjadi hambatan bagi anak-anak mereka menjalani pendidikan yang sewajarnya," tambah Dr Maliki.
AMBIL PEPERIKSAAN BAHASA IBUNDA SEKALI SAHAJA PADA SEPTEMBER LEBIH BANYAK MASA UNTUK PELAJAR
Dr Maliki juga menyentuh mengenai perubahan kepada peperiksaan peringkat akhir bahasa Inggeris dan Bahasa Ibunda buat pelajar Menengah 4 yang diumumkan MOE pada Jumaat (1 Mac).
Perubahan itu bermakna mereka akan hanya menduduki peperiksaan Bahasa Ibunda sekali sahaja berbanding sehingga dua kali sekarang ini bagi pelajar peringkat O.
"Yang penting juga ialah kita melihat dari segi masa yang diperuntukkan. Sebelum ini, mereka mengambil peperiksaan kali pertama pada bulan Jun dan kurikulum harus dihabiskan dalam masa yang lebih suntuk. Dengan dasar baharu ini di mana mereka akan menduduki satu peperiksaan sahaja, masa yang ada untuk mereka mendalami mata pelajaran ibunda tersebut lebih lama lagi.
"Dan saya rasa ini memberi mereka ruang yang lebih luas untuk memahami, mendalami dan mempersiapkan diri mereka untuk peperiksaan bahasa ibunda tersebut buat kali pertama sahaja. Dan kami yakin ramai yang akan dapat terus lulus dalam peperiksaan tersebut dan mendapati gred yang diperlukan untuk mereka memasuki tahap pembelajaran mereka yang seterusnya," jelas Dr Maliki.
LEBIH RAMAI PENUNTUT BERPELUANG MASUKI TAHUN PERTAMA POLITEKNIK
Berhubung kriteria kemasukan politeknik pula, Dr Maliki berkata, perubahan-perubahan yang diperkenalkan akan memberi para penuntut peluang untuk mengambil subjek-subjek yang setanding dengan keupayaan mereka.
"Para penuntut mempunyai peluang untuk mengambil subjek-subjek pada taraf keupayaan mereka. G3 sama setaraf dengan aliran Ekspres, G2 Normal (Akademik) dan G1 dengan Normal (Teknikal). Jadi dengan perubahan ini, kita memberi peluang pada para penuntut kita untuk melihat apakah keupayaan mereka dan subjek di mana mereka berupaya mengambil dalam tahap ataupun taraf-taraf yang berlainan untuk memasuki politeknik tahun pertama.
"Ini bermakna lebih ramai lagi para penuntut yang akan dapat berpeluang untuk memasuki tahun pertama di politeknik. Ini bukan bermakna kita melonggarkan kemasukan kepada politeknik tahun pertama ataupun mengetatkan. Ini bermakna bahawa kita memahami bahawa para penuntut kita mempunyai kebolehan masing masing dan jika mereka ingin memasuki tahun pertama politeknik, mereka tidak perlu hanya mata pelajaran G3 sahaja," jelas Dr Maliki.
GALAK PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Mereka antara lain boleh memanfaatkan Anugerah Kemajuan ITE yang menyokong para graduan ITE berusia 30 tahun ke bawah.
"Pertama, ialah Anugerah Kemajuan ITE ini dikhususkan untuk lulusan ITE kita. Kerana kita tahu bahawa hari ini, pemerintah prihatin tentang jarak pendapatan ataupun jarak gaji antara lulusan ITE dengan lulusan politeknik dan universiti berautonomi kita. Kita mahu jurang ini dirapatkan. Dan untuk jurang ini dirapatkan, perlu untuk para lulusan ITE kita meningkatkan kemahiran mereka.
"Kita lihat pada hari ini, misalannya,seorang lulusan ITE mungkin yang berusia 22 tahun mula bekerja dengan rakan sebaya mereka yang mempunyai lulusan diploma. Misalnya. pendapatan mereka sudah mempunyai satu jarak yang berbeza. Yang mempunyai diploma mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dan jika mereka terus dalam aliran sedemikian, laluan sedemikian, jurang mereka akan terus besar termasuk caruman CPF mereka," jelas beliau.
Lantaran itu, Dr Maliki menggalak lebih ramai graduan ITE untuk "mempercepatkan" lagi peningkatan kemahiran mereka.
"Kita yakin bahawa mereka berupaya untuk mendapatkan lulusan yang lebih tinggi dan ini juga akan dapat meningkatkan keupayaan mereka pada masa depan. Dengan peningkatan kemahiran dan gaji mereka, ruang gaji antara mereka dengan rakan sebaya mereka juga akan dapat dikurangkan dan pada masa depan, lebih ramai lagi kakitangan dan rakyat Singapura mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk ekonomi-ekonomi masa depan kita," tambah beliau.
Tambah beliau, kemahiran yang diraih para graduan ITE di bawah usia 30 tahun itu dapat berterusan sehingga mereka mencecah usia 40 tahun.
Apabila mencecah 40 tahun ke atas pula, mereka meneroka peluang-peluang baharu agar sentiasa kekal relevan.
"Dan kemahiran tersebut boleh berpanjangan selama 15 hingga 20 tahun apabila mereka mula memasuki usia 40 tahun. Di situlah, mereka perlu terus mengimbangi sekali lagi apakah kemahiran yang ada pada diri mereka dan bagaimana mereka harus mula melihat ruang-ruang atau peluang-peluang yang baharu," ujar Dr Maliki.
Dalam pengumuman baru-baru ini, semua warga Singapura berusia 40 tahun dan ke atas akan mendapat tokokan Kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000 pada Mei ini.
Ia selain subsidi bagi meraih diploma kedua sepenuh masa dan elaun latihan bulanan bagi mereka yang mendaftar dalam kursus sepenuh masa tertentu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.