Skip to main content

Singapura

Gaji kakitangan Red SchoolHouse di Toh Tuck tidak dilunaskan selepas prasekolah ditutup secara mengejut

Beberapa pekerja di sebuah prasekolah privet di kawasan Bukit Timah membuat aduan polis terhadap bekas majikan mereka, sambil mendakwa gaji mereka tidak dibayar selepas ia gulung tikar kira-kira dua bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji kakitangan Red SchoolHouse di Toh Tuck tidak dilunaskan selepas prasekolah ditutup secara mengejut

Bahagian depan sekolah Red SchoolHouse @ Toh Tuck, yang berhenti beroperasi pada hujung Mei 2025.

Diterbitkan : 18 Jul 2025 06:36PM
SINGAPURA: Beberapa pekerja di sebuah prasekolah privet di kawasan Bukit Timah membuat aduan polis terhadap bekas majikan mereka, sambil mendakwa gaji mereka tidak dibayar selepas ia gulung tikar kira-kira dua bulan lalu.

Red SchoolHouse @ Toh Tuck ditutup dengan notis dua minggu sahaja pada Mei lalu, menyebabkan berpuluh-puluh murid, ibu bapa dan kakitangan terjejas.

Ini menyusuli penutupan beberapa prasekolah privet secara mengejut, dengan sekurang-kurangnya enam dilaporkan telah ditutup dalam tempoh yang singkat dalam tempoh dua tahun lalu.

Di bawah peraturan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), prasekolah mesti memberikan notis enam bulan kepada ibu bapa dan ECDA sebelum menghentikan operasi.

Sekitar 36 kanak-kanak telah mendaftar di cawangan Toh Tuck Red SchoolHouse pada April, menurut seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Wong. Beliau juga memberitahu Mediacorp bahawa hanya tinggal kira-kira separuh daripada murid prasekolah tersebut pada hari terakhir ia beroperasi.

Pusat itu memaklumkan ibu bapa pada 14 Mei bahawa hari terakhir operasinya ialah pada 30 Mei, menurut para kakitangan. Ia kelihatan ditutup dengan kerja-kerja ubah elok sedang dijalankan apabila Mediacorp melawat prasekolah itu pada Khamis (17 Jul).

ECDA menyatakan bahawa ia telah mengeluarkan amaran rasmi kepada pemegang lesen prasekolah tersebut kerana melanggar peraturan. Ia juga menyediakan ibu bapa yang terjejas dengan senarai prasekolah berdekatan dengan tempat kosong dan menawarkan bantuan untuk mendapatkan tempat dalam prasekolah tersebut.

Cik Wong menyifatkan penutupan itu sebagai "menyayat hati", dengan sesetengah ibu bapa tidak pasti sama ada wang cenkeram mereka akan dikembalikan.

"Penutupan secara tiba-tiba menjejas pendidikan kanak-kanak, kestabilan dan rutin mereka. Ada di antara mereka terlalu muda untuk memahami apa yang sedang berlaku," kata guru veteran yang berpengalaman selama 25 tahun itu.

“BERLAKU SECARA MENGEJUT”

Cik Wong berkata selepas cawangan Toh Tuck ditutup, beliau menyedari bahawa bukan beliau seorang sahaja yang tidak mendapat gaji walaupun selepas berkali-kali meminta gajinya dibayar.

"Semasa saya mengajar di Red SchoolHouse, guru-guru komited terhadap pembelajaran dan kesejahteraan kanak-kanak. Tetapi di sebalik tabir, keadaan menjadi huru-hara - gaji tidak dibayar. Caruman CPF kami tidak dibayar," katanya.

"Walaupun menghadapi masalah ini, saya terus hadir setiap hari kerana saya benar-benar menjaga kanak-kanak di bawah jagaan saya."

Cik Wong berkata bahawa beliau dan rakan-rakan guru yang lain sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan mereka kepada pengarah prasekolah dan meminta jawapan, tetapi "sama ada diabaikan atau diberi janji kosong".

Sesetengah guru menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan memfailkan tuntutan melalui Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian, tambah Cik Wong. Perikatan itu membantu para majikan dan kakitangan menyelesaikan tuntutan berkaitan gaji dan pertikaian berhubung pekerjaan.

Mediacorp juga telah meminta MOM untuk mengulas tentang isu ini.

Menurut laman webnya, Red SchoolHouse kini mempunyai lima cawangan di seluruh Singapura, termasuk Downtown East dan Thomson.

PAJAKAN TIDAK DIPERBAHARUI

Pemberi francais Red SchoolHouse berkata bahawa cawangan di Toh Tuck telah ditutup kerana pajakan tidak diperbaharui dan cawangan itu kini berdepan dengan pembubaran.

Pemberi francais juga berkata ia telah membantu dengan peralihan murid ke prasekolah lain.

Dokumen yang dilihat oleh Mediacorp menunjukkan bahawa pada awal Jun, pengarah prasekolah itu berhutang dengan pemiutang hampir S$300,000.

Hutang itu termasuk deposit pendaftaran, yuran sewa dan pinjaman yang belum dibayar kepada tiga bank seperti DBS.

Menurut ECDA, walaupun cawangan itu menghentikan operasi disebabkan oleh pertimbangan perniagaan, pengendali masih bertanggungjawab untuk memberi notis yang mencukupi kerana penutupan sedemikian menjejas keluarga para murid.

“ECDA difahamkan bahawa pengendali sebelum ini menimbangkan untuk berpindah tetapi kemudiannya memutuskan untuk menghentikan operasi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Mediacorp pada Khamis (17 Jul).

Prasekolah yang menimbangkan untuk menghentikan operasi mesti memberikan notis enam bulan kepada ibu bapa dan ECDA sebelum menghentikan operasi mereka.

Mereka juga mesti memaklumkan ibu bapa dan ECDA sebaik sahaja mereka dimaklumkan tentang kemungkinan perjanjian sewa tidak diperbaharui.

Pengendali yang melanggar peraturan ini mungkin menghadapi tindakan kawal selia, termasuk dikenakan surat amaran atau dilarang daripada memohon lesen prasekolah pada masa akan datang.

Penutupan mengejut Red SchoolHouse @ Toh Tuck berlaku hanya beberapa minggu sebelum Little Paddington Preschool di Binchang, yang diberi amaran oleh ECDA kerana menghentikan operasinya hanya selepas notis seminggu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita