Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji guru prasekolah utama disemak semula, kata Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gaji guru prasekolah sedang disemak semula, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Isnin (29 Ogos). 

"Kami berada di fasa menyemak semula gaji mereka, khususnya memberi tumpuan kepada pengendali utama," ujar Encik Masagos. 

Meskipun beliau tidak memberi perinciannya, gaji yang dikemas kini harus "cukup berdaya saing untuk mengekalkan bakat dan menarik bakat baru ke dalam sektor tersebut," tambahnya. 

Kementerian - yang menyelia sektor prasekolah di bawah Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) - berharap pengumuman dapat dibuat "secepat mungkin", kata Encik Masagos lagi. 

"Semakan semula gaji dan jangkaan para guru perlu dibuat dan kami sedang melakukannya," katanya sewaktu lawatan ke sebuah prasekolah menjelang Hari Guru yang jatuh pada 2 September. 

"Jika kami tidak menyesuaikan mengikut waktu dan keperluan industri, kami akan terhilang bakat ke industri-industri lain." 

Terdapat lima pengendali utama yang disenaraikan di laman web ECDA: PCF Sparkletots Preschool, My First Skool, My World Preschool, School4Kidz dan E-Bridge Pre-school. 

Walaupun kepuasan gaji adalah aspek yang lazimnya "tidak diberikan rating yang baik", gaji guru harus disemak secara objektif, kata Encik Masagos. Gaji harus sepadan dengan kerja yang dilakukan dan sektor prasekolah harus terus menarik bakat, tambahnya. 

Jaminan Encik Masagos bahawa gaji guru prasekolah sedang disemak semula menyusuli pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) bahawa guru, pendidik bersekutu dan guru tadika MOE akan menerima kenaikan gaji antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Oktober. 

Cik Julie Chang, pengarah pusat pengendali prasekolah privet Learning Kidz@Jubilee Square yang dikunjungi Encik Masagos, berkata bahawa para guru gembira bahawa gaji dalam industri berkenaan sedang disemak semula. 

"Banyak perkara yang Pemerintah harus memperkenalkan, mereka akan membuat keputusan, kemudian kami (pengendali privet) akan menyusul kemudian," katanya. 

Sekolahnya menyemak semula gaji setiap tahun, kata Cik Chang. 

Encik Masagos turut berkata bahawa kementeriannya juga memberi perthatian kepada aspek-aspek lain kebajikan guru seperti keselamatan di tempat kerja, seperti pencahayaan dan ketinggian perabot. 

"Dalam persekitaran pembangunan awal kanak-kanak, mereka cenderung duduk di lantai atau di kerusi rendah dan ia mungkin tidak baik untuk kesihatan mereka, justeru kami sedang meninjau semula ergonomi yang akan membantu mereka," katanya. 

Satu lagi aspek yang sedang ditinjau kementerian adalah kesihatan mental, tambahnya. 

"Guru yang gembira dan cukup dilatih akan menghasilkan kanak-kanak gembira yang akan membesar dengan baik," katanya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan