Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji guru prasekolah disokong pemerintah akan dinaikkan hingga 30% dalam masa 2 tahun akan datang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para guru prasekolah yang disokong Pemerintah boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 10 hingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Sabtu (29 Okt).

Para guru dengan prestasi yang lebih baik akan menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi, tambah Encik Masagos.

"Ini adalah satu langkah penting untuk membolehkan prasekolah memikat dan mengekalkan bakat bagi menyokong pertumbuhan berterusan sektor itu dalam masa beberapa tahun akan datang," kata Encik Masagos semasa berucap di acara Early Childhood Celebrations 2022.


Dengan kenaikan gaji itu, seorang pendidik di prasekolah pengendali utama boleh menjangkakan gaji bulanan kasar antara S$2,900 hingga S$6,600 menjelang 2024, bergantung kepada pengalaman, kemahiran dan prestasi kerja mereka, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dalam satu kenyataan media berasingan.

Sementara itu, para graduan baru dan golongan pertengahan kerjaya dengan kelayakan diploma pendidikan awal kanak-kanak yang diluluskan ECDA boleh menjangkakan gaji permulaan sekurang-kurangnya S$2,800 sebulan berbanding sekitar S$2,600 sekarang apabila mereka mengajar di prasekolah-prasekolah pengendali utama pada tahun depan.

Buat masa ini, pengendali-pengendali utama menggajikan lebih 40 peratus daripada tenaga kerja yang mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

LAGI 3,500 GURU DIPERLUKAN

Menurut Encik Masagos, secara purata gaji para pendidik di prasekolah-prasekolah yang disokong Pemerintah meningkat sekitar 20 peratus antara 2018 dengan 2021, mengatasi pasaran secara amnya.


Buat masa ini, terdapat lebih 23,000 guru pendidikan awal kanak-kanak di Singapura. Namun, bagi menyokong peluasan sektor itu, lagi 3,500 pendidik diperlukan menjelang 2025.

Berdasarkan trend tenaga kerja sedia ada dan latihan pembangunan para guru, ECDA menjangkakan tiga suku daripada pertumbuhan itu adalah dari golongan pertengahan kerjaya.

Kadar ketirisan dalam sektor itu pula adalah kira-kira 10 hingga 15 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

MEMPERBAIKI KEADAAN KERJA

Pengendali-pengendali utama sudahpun melakarkan program pembangunan yang berstruktur bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan para pendidik, menurut ECDA dalam kenyataan medianya.

Sejak beberapa minggu lalu, ECDA menjalankan tinjauan di pusat-pusat prasekolah dan mendapatkan maklum balas para pendidik untuk lebih memahami pengalaman dan perspektif mereka, kata Encik Masagos.

Dalam masa beberapa bulan akan datang, ECDA akan mendampingi para pengendali, guru dan ibu bapa untuk menghasilkan huraian bagi memperbaiki kesejahteraan para pendidik dan keadaan kerja mereka, dedah Encik Masagos selanjutnya.

Tambah Encik Masagos: "Idea-idea termasuk menyemak syarat-syarat dan peraturan-peraturan untuk pusat-pusat beroperasi pada Sabtu bagi mewujudkan keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik dan memberikan lebih banyak masa untuk para guru berehat dan memperbaiki prestasi peribadi."

Agensi itu juga berharap untuk berkongsi hasil usaha tersebut menjelang pertengahan 2023.

Pusat-pusat itu biasanya mendapatkan kakitangan sementara atau pekerja sambilan melalui rangkaian mereka sendiri seperti bekas pekerja atau memanfaatkan agensi pengambilan tenaga kerja, jelas jurucakap ECDA.

"Sesetengah pusat mengalami kesulitan untuk mendapatkan kakitangan sementara, terutama sekali dalam masa yang singkat untuk mengambil alih tugas para pendidik yang mengambil cuti secara mengejut atas hal peribadi atau cuti sakit," tambah jurucakap itu.

"Idea untuk menyediakan bekalan kakitangan sementara bertujuan untuk membekalkan pusat prasekolah dengan sumber kakitangan bantuan yang boleh dipercayai dan sesuai."

ECDA juga sudah membangunkan panduan bagi amalan-amalan baik untuk para pengendali dan pemimpin prasekolah dengan tip-tip mengenai cara-cara untuk memperbaiki keadaan kerja dan "mewujudkan budaya kerja yang positif".

Panduan itu merangkumi idea untuk memperuntukkan masa berehat bagi kesejahteraan diri, memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan bimbingan dan pembangunan profesional untuk para pendidik.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan