Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji guru pendidikan khas dinaikkan hingga 12%, gaji pembantu guru lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Mar 2024 01:14PM Dikemas Kini : 05 Mar 2024 07:49AM
SINGAPURA: Guru dan pembantu guru di sekolah Pendidikan Khas, atau SPED, akan menerima kenaikan gaji mulai tahun ini, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (4 Mac).

Guru di sekolah SPED akan mendapat kenaikan gaji sehingga 12 peratus manakala pembantu guru akan menerima kenaikan sehingga 15 peratus. Pemerintah akan menambah pembiayaannya kepada sekolah secara berperingkat, dan kenaikan gaji akan dilaksanakan antara 2024 dengan 2026.

Menjelang 2026, guru SPED boleh meraih gaji bulanan antara S$3,000 hingga lebih S$7,000. Bagi pembantu guru, pula jumlahnya adalah antara S$2,000 hingga lebih S$4,000.

Mulai tahun ini, gaji permulaan guru-guru ini juga naik sehingga 15 peratus manakala gaji pembantu guru sehingga 17 peratus.

Syarat pendidikan minimum untuk guru SPED ialah sijil peringkat A atau diploma. Mereka yang tidak mempunyai latihan pendidikan khas mesti terlebih dahulu menjalankan tugas mengajar di sekolah SPED dan kemudian mengikuti program diploma dalam pendidikan khas, yang dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah.

Bergantung kepada pengalaman dan kemahiran mereka, gaji permulaan bulanan mereka – sebelum program diploma SPED – akan mencecah sehingga S$3,600, kata Kementerian Pendidikan. Jumlah itu adalah peningkatan daripada S$2,620 hingga S$3,120 sekarang.

Menurut MOE, gaji guru di sekolah SPED dinaikkan selepas tamat program diploma bagi mengiktiraf kemahiran dan kelayakan mereka yang dinaik taraf.

Pembantu guru boleh menjangkakan gaji permulaan sehingga S$2,100 sebulan, berbanding S$1,720 sekarang. Mereka tidak perlu menghadiri program diploma.

Setakat Disember 2023, kira-kira 36,000 pelajar di Singapura mempunyai keperluan pendidikan khas. Kira-kira 20 peratus, atau 8,000 daripada mereka belajar di sekolah SPED.

"Perubahan dan pengumuman tahun ini mencerminkan usaha kami untuk bukan sahaja mengiktiraf tetapi juga mengekalkan tenaga kerja yang baik dalam SPED," kata MOE.

Tambah Kementerian itu, pihaknya juga sedang berusaha mengecilkan jurang gaji permulaan antara guru SPED yang mempunyai ijazah dan mereka yang mempunyai diploma. Terdapat hampir 1,700 guru di 25 sekolah SPED, dan lebih separuh daripada mereka adalah pemegang ijazah.

Bagi memenuhi keperluan pelajar, MOE sedang berusaha untuk menambah bilangan guru SPED sebanyak 350 orang menjelang 2030.

Peningkatan gaji bagi guru juga berbeza-beza bergantung kepada gaji mereka sekarang, serta pengalaman, kecekapan, peranan kerja dan prestasi kerja mereka, kata Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman di Parlimen pada Isnin.

YURAN SPED DIKURANGKAN

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, pemerintah akan mengurangkan yuran bulanan maksimum di sekolah pendidikan khas kepada S$90 daripada S$150 sekarang.

Kira-kira separuh daripada pelajar sekolah SPED kini membayar yuran yang serupa dengan pelajar di sekolah arus utama.

Sembilan sekolah SPED bagi pelajar yang mengalami gangguan spektrum autisme dan pelbagai ketidakupayaan, yang mengenakan yuran lebih tinggi, akan mengurangkan lagi yuran mereka sehingga 60 peratus menjelang pertengahan 2025. Langkah itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar Singapura, kata MOE dalam kenyataannya.

Sembilan sekolah itu ialah Sekolah AWWA@Napiri, kedua-dua kampus Sekolah Eden, Sekolah Pathlight, ketiga-tiga kampus Pusat Rainbow, serta kedua-dua Sekolah Autisme St Andrew's dan Sekolah St Andrew's Mission.

Pihak sekolah akan menentukan yuran dan memaklumkan kepada ibu bapa apabila siap kelak, kata MOE.

Had yuran di semua pusat jagaan pelajar khas juga akan diturunkan untuk mengurangkan perbelanjaan keluarga yang perlu ditanggung sendiri.

Tambah Dr Maliki, perbelanjaan pemerintah bagi pendidikan setiap kanak-kanak di sekolah SPED adalah lebih tinggi berbanding sekolah arus utama.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan