Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji asas pekerja pembersihan dinaikkan lagi, paling rendah SS$1,570 pada Jul 2023

Gaji minimum dalam sektor pembersihan akan dinaikkan sebanyak sekurang-kurangnya S$170 buat enam tahun berturut-turut berkuat kuasa 1 Julai 2023.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gaji minimum dalam sektor pembersihan akan dinaikkan sekurang-kurangnya S$170 setiap tahun - selama enam tahun berturut-turut - berkuat kuasa 1 Julai 2023.

Langkah ini antara yang diusulkan Perikatan Tiga Pihak bagi Kelompok Pekerja Pembersihan (TCC) selepas melakukan semakan terbaru terhadap Model Gaji Progresif (PWM) bagi sektor berkaitan.

Pemerintah sudahpun menerima saranan-saranan yang dikemukakan dan kesemuanya sekitar 40,000 kakitangan dijangka meraih manfaat daripada semakan ini.

Menurut Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kecil bagi Urusan Gaji, Encik Fahmi Aliman, semakan itu akan hanya berkuat kuasa dua tahun dari sekarang demi memberi masa kepada pelbagai pihak untuk membuat penyesuaian.

"Jadi, para pembeli dan penyedia khidmat boleh melihat apakah lagi cabaran yang boleh dirundingkan. Dari situ, TCC akan cuba berbincang dengan mereka dan mencuba menghuraikan isu-isu itu. Sebab itu pada tahun 2025 juga kita akan buat semakan lagi," jelas Encik Fahmi yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara.

GAJI ASAS DINAIKKAN DARI 2023 - 2028

Apabila semakan terhadap PWM ini berkuat kuasa pada Julai 2023, gaji paling rendah yang boleh dibawa pulang seseorang rakyat atau penduduk tetap Singapura dalam sektor pembersihan adalah S$1,570, berbanding S$1,236 sekarang ini.

Ia kemudian akan dinaikkan sebanyak S$170 setiap tahun, hinggalah melepasi S$2,000 pada 2026 dan mencecah S$2,420 pada 2028. Ini adalah gaji asas tanpa 'overtime' atau kerja lembur.

Gaji pekerja pembersihan pada tahun 2028 nanti sememangnya suatu lonjakan besar - lebih 95% - berbanding gaji minimum yang dibawa pulang seorang pekerja pembersihan am sekarang ini.

Umumnya, gaji asas para pekerja akan "disesuaikan" antara 2023 hingga 2025 bagi mencerminkan "keinginan tinggi" untuk menaik taraf upah para pekerja pembersihan dan mengurangkan ketidaksetaraan pendapatan dengan pekerja sektor lain.

Bagi pekerja sektor pembersihan yang berpangkat lebih tinggi khususnya, kenaikan gaji asas mereka nanti akan jauh lebih tinggi.

Gaji asas seorang penyelia misalnya, meningkat dari sekitar $1,850 sekarang ini kepada $3,210 pada 2028.

Dalam erti kata lain, selama enam tahun bermula tahun 2023, gaji mereka akan naik antara $170 hingga $245 setiap tahun.

(Gambar: NTUC)

"Kita harapkan yang muda-muda, yang rasa ada prospek pekerjaan untuk dalam bidang ini, boleh menceburi dengan yakin kerana pekerjaan (dalam sektor ini) akan mempunyai tangga kerjaya yang lebih berstruktur," kata Encik Fahmi.

Pendeknya menerusi kemahiran lebih tinggi dan daya penghasilan lebih tinggi juga, semua ini diharap membentuk para pekerja sektor pembersihan sebagai pakar dalam bidang mereka demi menarik golongan muda untuk menyertai sektor ini.

PEKERJA HARUS DUDUKI SEHINGGA 4 MODUL WSQ

Sehubungan dengan semakan terhadap PWM, para pekerja dalam sektor pembersihan juga kini perlu menduduki lebih banyak modul Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ).

Buat masa ini, semua pekerja dalam sektor tersebut perlu menduduki sekurang-kurangnya satu modul WSQ. Namun menjelang 31 Disember 2022, mereka harus menduduki satu modul Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) dan satu lagi modul teras - bermakna mereka harus mengikuti dua modul.

Selepas 2025 pula, semua kakitangan pembersihan harus menduduki 3 modul kesemuanya sementara mereka yang berpangkat lebih tinggi perlu mengikuti empat modul. Jumlah modul yang harus mereka ikuti ini termasuk modul WSH.

"Modul yang paling penting sekarang ini yang kita lihat adalah modul untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja. Itu wajib. Modul-modul yang lain, pembeli khidmat akan melihat apakah modul-modul yang mereka rasa penting untuk pekerja mereka," tambah Encik Fahmi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan