Gaji asas bagi pengawal keselamatan privet disaran ditambah $300, waktu kerja lembur dikurangkan
Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Keselamatan (STC) menyarankan gaji asas lebih tinggi bagi para pengawal keselamatan privet dan waktu kerja lembur dikurangkan.
Gambar: AETOS
SINGAPURA: Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Keselamatan (STC) menyarankan gaji asas lebih tinggi bagi para pengawal keselamatan privet dan waktu kerja lembur dikurangkan.
Ini menyusuli satu semakan ke atas Model Gaji Progresif (PWM) dan Pengecualian Waktu Kerja Lembur (OTE) bagi industri keselamatan privet, menurut STC dalam satu kenyataan media hari ini (23 Nov).
Sekitar 34,000 pekerja keselamatan tempatan dijangka meraih manfaat daripada perubahan-perubahan tersebut.
KENAIKAN TAHUNAN
Antara saranan utama STC ialah kenaikan tahunan bagi setiap peringkat gaji asas bagi tempoh tiga tahun dari 1 Januari 2019 hingga 2021.
"STC menyarankan kenaikan sebanyak S$300 bagi peringkat gaji asas PWM yang berpangkat Pengawal Keselamatan; dan S$285 bagi pangkat Pengawal Keselamatan Kanan ke atas dari 2019 hingga 2021. Kenaikan yang lebih tinggi disarankan bagi 2021 iaitu tahun di mana OTE akan dihapuskan - supaya gaji kasar sebahagian besar daripada pengawal keselamatan tidak terjejas teruk disebabkan pengurangan waktu bekerja lembur."
STC juga menyarankan kenaikan sekurang-kurangnya tiga peratus setiap tahun bagi peringkat gaji asas PWM "untuk semua pangkat" dari tahun 2022 hingga 2024.
Tujuannya untuk membantu industri itu "merancang dengan lebih baik perbelanjaan kos tenaga manusia" bagi kontrak perkhidmatan baru.
PENGURANGAN WAKTU KERJA LEMBUR
STC juga menyarankan untuk menghapuskan OTE mulai 1 Januari 2021 untuk "memperbaiki keadaan bekerja dan mencapai kesimbangan kerja dan keluarga dengan yang lebih baik" bagi para pengawal keselamatan.
Buat masa ini, agensi-agensi keselamatan diberi OTE untuk memenuhi keperluan operasi mereka berdasarkan kes masing-masing.
STC menambah bahawa tempoh 3 tahun diperlukan untuk perubahan itu supaya agensi-agensi keselamatan dan pelanggan mereka dapat menyemak semula operasi dan keperluan tenaga manusia serta melaksanakan huraian-huraianan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia."
Tambahan pula, agensi keselamatan yang mengerahkan kakitangan keselamatan untuk bekerja waktu giliran 12 jam, enam hari seminggu digalak supaya membenarkan pekerja mereka mengambil lagi dua hari rehat dalam sebulan.
NAIK TARAF KEMAHIRAN DAN TEKNOLOGI
Sedang permintaan bagi khidmat keselamatan bertambah dalam sekitaran masa kini, STC juga menggesa syarikat-syarikat untuk memanfaatkan huraian teknologi dan geran pemerintah untuk "meningkatkan daya penghasilan dan kurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia."
Para pengawal keselamatan dan agensi-agensi juga digalakkan untuk meningkatkan kemahiran para pekerja.
STC menyatakan ia berharap perubahan-perubahan tersebut akan memastikan pengawal keselamatan kekal cekap melaksanakan tugas dan dapat menarik golongan muda untuk menyertai sektor keselamatan.
Agensi-agensi keselamatan sudahpun digesa untuk memulakan perancangan awal dan bekerjasama dengan pelanggan mereka untuk menyemak semula keperluan operasi dan tenaga manusia mereka.
STC menyatakan perubahan-perubahan ini perlu kerana permintaan bagi perkhidmatan keselamatan kian meningkat "dengan kemunculan bangunan-bangunan dan prasarana baru" serta "ancaman pengganasan yang kian meningkat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.