Gain City serap GST 9%, Zaky Alwie Travel & Services serap kenaikan GST 1 peratusan mata
SINGAPURA: Encik Mohammad Syarihin Irwan dan Cik Nur Faraika baharu berpindah ke rumah baharu mereka lewat tahun lalu.
Pasangan itu membuat persiapan awal dan sudah membelanjakan kira-kira S$2,000 untuk membeli pelbagai peralatan untuk rumah mereka.
BELI SEBELUM 2024 UNTUK ELAK KENAIKAN GST

"(Ini kerana) penjualan akhir tahun dan kita pun tahu bahawa terdapat kenaikan GST 9 peratus pada 2024 sebab itu kita membuat pembelian secepat mungkin," kongsi Encik Syarihin, 25 tahun, kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kita sudah membuat bayaran penuh sebab kami tidak suka berhutang dan kita juga tidak ingin harganya naik sebab itu kita bayar penuh," tambahnya.
Ketika ditemui di gedung Gain City di Sungei Kadut, pasangan suami isteri itu sedang mencari mesin basuh baharu.
"Kami sudah pindah ke rumah baharu tetapi saya ambil mesin basuh dari rumah lama saya jadi saya rasa beli yang baharu lagi baguslah sebab (yang lama) itu pun sudah mula rosak," jelas Encik Syarihin.
Mereka memilih Gain City kerana mahu memanfaatkan promosi tahun baharunya yang menyerap GST 9 peratus sehingga 4 Februari ini.
"Ia membantu sebab walaupun GST 9 peratus, tetapi perbezaannya agak banyak kerana apabila kita membuat pembelian pun kita membayar penuh. Dan kita boleh melihat (perbezaan) dari segi harganya," ujar Encik Syarihin.
Menurut Gain City, harga untuk barang nilai tinggi seperti perkakas elektronik dinaikkan selepas pelarasan harga dilakukan selepas GST dinaikkan kepada 9 peratus.

"Untuk membantu pengguna menyesuaikan diri dengan perubahan itu, sepanjang tempoh promosi Januari, Gain City telah menyerap sepenuhnya GST 9 peratus dan juga menyediakan rebat tunai sehingga S$3,888," kongsi Wakil Gain City, Nur Afiqah Zubir kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.
Ia turut menawarkan hadiah percuma dengan pembelian minimum yang ditetapkan.
"Kami percaya dalam menawarkan kepada pelanggan kami nilai yang luar biasa, terutamanya dalam tempoh pelarasan ekonomi ini," kata Nur Afiqah.
JUMLAH PELANGGAN MENINGKAT 50 PERATUS PADA DISEMBER

Gain City menyatakan ia menyaksikan lonjakan dalam jumlah aktiviti jualan menjelang kenaikan GST kepada 9 peratus.
Sejak Oktober tahun lalu, Gain City telah menambah pembelian secara berkumpulan untuk pemilik rumah baharu.
"Ia menyumbang kepada peningkatan luar biasa sebanyak 50 peratus dari segi jumlah pelanggan pada bulan Disember berbanding bulan-bulan sebelumnya," kata Cik Afiqah.

Tambahnya, selain kategori yang diterima baik seperti alat hawa dingin, perkakas besar, peralatan audio-visual
peralatan, dan perabot, ia turut menyaksikan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelanggan muda dalam peralatan seperti kunci digital, penyelesaian rumah pintar, mesin basuh pinggan mangkuk dan pembersih air.
ZAKY ALWIE TRAVEL & SERVICES SERAP GST 1 PERATUS UNTUK PAKEJ UMRAH
Dalam pada itu, syarikat Zaky Alwie Travel & Services menerima pelbagai pertanyaan daripada para jemaah pada tahun lalu mengenai kenaikan GST tahun ini.

"Ada yang tanya kalau selepas naiknya GST, adakah harga berubah dan sebagainya. Sekali lagi, kami selalu menerapkan kepada jemaah-jemaah bahawa kami tidak akan menaikkan harga melainkan harga hotel dan harga syarikat penerbangan yang naik. Jadi ramai daripada mereka mungkin terkesan daripada kenaikan peratusan GST," dedah Pengarah Pengurusan, Shaikh Ahmad Zaki Shaik Alwie kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jadi ada jemaah yang mungkin risau dan mereka buat bayaran penuh untuk mengelakkan naiknya GST tersebut," tambahnya.
Namun syarikat itu tidak menaikkan harga buat sementara waktu ini agar tidak membebankan para jemaah.

Meskipun bukan syarikat berdaftar GST, Zaky Alwie Travel & Services turut berdepan dengan kenaikan GST kerana berurusan dengan syarikat penerbangan, cukai lapangan terbang dan sebagainya.
"Kenapa saya pilih untuk serapkan GST kerana perbezaan harga ekoran kenaikan peratusan mata tersebut tidak menjadikan bebanan untuk kos kami. Kami tidak ingin membebankan para jemaah yang akan datang dengan kenaikan harga disebabkan oleh GST tersebut," jelas Encik Shaikh Ahmad Zaki.
Walau bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan harga pakej-pakej umrah yang ditawarkannya akan berubah selepas musim haji nanti.
"Musim kenaikan harga itu bermula selepas Haji jadi untuk sekarang ini, kita sudah mendapat harga daripada Awal Muharram 1444 Hijriah sampai ke akhirnya. Tetapi untuk permulaan 1445 Hijriah ini sehingga habis ini, kita sudah ada harga tetapi tidak ada harga selepas Haji.
"Selalunya, ia akan keluar dua tiga bulan sebelum Haji bermula bermaksud dalam Syawal, kita sudah ada harga untuk Muharram tahun depan. Jadi dari situ, kita sudah boleh menjangkakan harga-harga yang mungkin akan naik ataupun tidak," kata Encik Zaki.
Tambah Encik Zaki terdapat juga trend harga umrah yang semakin meningkat namun ia sama sekali tidak menjejas permintaan untuk umrah, yang "semakin hari, semakin naik".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.