Skip to main content

Singapura

Gagasan Masyarakat Gemilang terima sambutan pemimpin dan karyawan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pemimpin masyarakat dan karyawan menyambut baik gagasan Menteri Masagos Zulkifli untuk mengorak langkah secara kolektif ke arah membina Masyarakat Gemilang.

Antara inisiatif utama ialah Forum bagi Masyarakat Gemilang Serantau yang diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu semasa Majlis Hari Raya bersama Menteri di Pan Pacific Singapore pada Jumaat (4 April).

Program amalan terbaik yang sebelum ini memupuk kemajuan masyarakat Muslim di Singapura kini akan diperluaskan kepada golongan Muslim minoriti di luar negara.

Ia bertujuan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan masyarakat Islam minoriti, melibatkan delegasi dari Filipina, Kemboja dan Thailand.
(Gambar: Nazirah Jamzuri)
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman berkata Singapura unik dalam membina keharmonian masyarakat berbilang kaum dan boleh berkongsi pengalaman dengan negara jiran yang menghadapi cabaran serupa.

"Saya rasa ini merupakan salah satu keunikan Singapura yang dapat kita dapat kongsi bersama dengan negara-negara jiran kita yang sama-sama menghadapi cabaran di mana kaum Muslim mereka merupakan kaum Muslim minoriti.

"Tapi dengan pengalaman kita sebagai sebuah negara yang majmuk, yang berbilang kaum, walaupun masyarakat Islam merupakan masyarakat minoriti, kita telah menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan daripada masyarakat-masyarakat lain dan menyumbang kepada pembangunan dan kebaikan ekonomi negara," ujar Dr Maliki.
(Gambar: Nazirah Jamzuri)
Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad, turut menyambut baik pengembangan program untuk masyarakat Muslim di rantau ini.

Encik Zaqy berkata: "Apa yang kita boleh membawa kepada rantau dan dunia ialah jika dilihat masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah satu masyarakat yang minoriti dan di sini juga kita mempunyai kelebihan kita di mana walaupun kita satu masyarakat yang minoriti, kita mempunyai rakyat yang yakin dan membangunkan anak-anak dan generasi karyawan yang agak yakin juga dalam menjayakan prestasi mereka dalam arena pendidikan dan pekerjaan."

Peluang untuk menawarkan biasiswa atau program amali kepada pelajar Islam peringkat menengah dari ketiga-tiga negara tersebut, bagi melanjutkan pelajaran di madrasah-madrasah Singapura, juga sedang diteroka.

Selain itu, para sukarelawan tempatan akan diberikan peluang untuk ke luar negara menjalankan program pembinaan kapasiti^dengan kerjasama rakan kongsi seperti Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF).

Untuk terus memajukan masyarakat Melayu/Islam Singapura ke tahap lebih tinggi sebagai Masyarakat Gemilang, Encik Masagos menekankan perlunya masyarakat "Melangkah Bersama, Merangkai Jalinan dan Merentas Sempadan".

Antara aspek penting dalam langkah ini adalah penggunaan teknologi, termasuk Kecerdasan Buatan (AI).

Presiden Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, berkongsi bagaimana AI kini semakin memainkan peranan besar dalam sektor perubatan.

"Sekarang ini kalau kita buat mamogram, images akan dibaca oleh AI juga jadi walaupun kita ada doktor untuk membaca gambar-gambar ultrasound dan CT scan, tapi kita juga menggunakan AI supaya kita tidak salah diagnos," ujar beliau.

Usaha ke arah menjayakan masyarakat Melayu/Islam yang bukan sekadar minoriti biasa turut disambut baik oleh pelbagai pemimpin masyarakat.

Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, menyifatkan mesej-mesej dalam ucapan Menteri Masagos sebagai cukup berinspirasi.

"Saya dapati bahawa mesej yang disampaikan itu amat berkesan, terutama sekali di akhir-akhir ucapannya di mana beliau menggesa kita bersatu padu, slaing membantu mereka yang memerlukan dna mengorak langkah secara kolektif, masyarakat Melayu/Islam untuk menghadapi tidak kira cabaran apa, demi kemaslahatan masa depan masyarakat kita," kata Encik Nassar.
(Gambar: Nazirah Jamzuri)
Sementara itu, Penolong Pengarah Daya Tahan Masyarakat, Satu Sektor Masjid, Encik Muhammad Faizal Abdollah, turut menggariskan peri pentingnya membina rangkaian lebih luas dengan masyarakat Islam serantau.

"Ini bagi saya satu peringatan yang baik kerana untuk menjadi satu masyarakat yang cemerlang di Singapura, kita harus bekerjasama dengan masyarakat-masyarakat lain supaya masyarakat Islam, bukan sahaja di Singapura cemerlang tetapi juga di negara lain," jelasnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita