Gagal jalani NS, hukuman penjara ditambah jadi 13 bulan
Hukuman penjara seorang lelaki berusia 32 tahun yang gagal menunaikan tanggungjawab Perkhidmatan Negara (NS) ditambah kepada 13 bulan selepas dia gagal dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman tersebut.
SINGAPURA: Hukuman penjara seorang lelaki berusia 32 tahun yang gagal menunaikan tanggungjawab Perkhidmatan Negara (NS) ditambah kepada 13 bulan selepas dia gagal dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman tersebut.
Douglas Tan, yang mempunyai kerakyatan Malaysia dan Singapura, pada awalnya dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan, yang menurut Hakim Hoo Sheau Peng pada Isnin (22 Okt) sebagai "tidak mencukupi".
Tan, seorang siswazah undang-undang, dilahirkan di Singapura dan mempunyai sijil lahir, pasport dan kad pengenalan Malaysia.
Peguam Tan berhujah bahawa anak guamnya itu tidak sedar tentang tanggungjawab NS yang perlu dijalani dan kes Tan sama seperti kes-kes lain di mana pesalah dikenakan denda sahaja.
Menurut dokumen mahkamah, Tan sedang menuntut di United Kingdom apabila diberi makluman untuk berdaftar bagi NS.
Bapanya membuat permohonan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) agar Tan dapat menunda NS, namun permohonan tersebut ditolak.
Tan mendakwa dia hanya maklum tentang tanggungjawabnya untuk menjalani NS apabila kembali ke Malaysia pada 2008.
Namun Hakim Hoo berkata: "Dalam pandangan saya, adalah mustahil bahawa tertuduh tidak sedar tentang tanggungjawab NS atau dia percaya bahawa ibu bapanya sudah menyelesaikan hal tersebut."
Hakim Hoo menarik perhatian bahawa Tan memegang pasport Singapura sehingga berusia 11 tahun dan selepas itu menggunakan setem Hak Masuk pada pasport Malaysia yang membolehkannya masuk Singapura sebagai warga Singapura. Menurutnya, Tan memanfaatkan "keistimewaan itu berulang kali".
Tan menetap di Singapura selama dua tahun pada 2000 dan 2001 semasa menuntut di Sekolah Anglo-Chinese (Independent). Dia tidak memerlukan visa pelajar, membayar yuran sekolah yang sudah disubsidi dan mengambil biasiswa Program Elektif Muzik yang hanya dibuka kepada warga Singapura.
"Dalam pandangan saya, setelah menuntut di Singapura dalam sebuah sekolah lelaki, adalah mustahil baginya untuk tidak sedar bahawa warga negara lelaki Singapura perlu menjalani NS," tambah Hakim Hoo.
Pihak pendakwa juga berkata Tan pada 2010 melahirkan kesediaan untuk menjalani NS jika MINDEF dapat beri jaminan dia tidak akan dihukum.
"Apabila jaminan itu tidak diberikan, dia bertindak untuk terus menjauhkan diri dan hanya pulang (ke Singapura) pada waktu yang dia sendiri tetapkan," kata Timbalan Pendakwa Raya Ho Lian-Yi.
Tan menyerah diri kepada pihak berkuasa pada Mac 2016 dan sudah tamat menjalani NS bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Atas kesalahannya Tan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.