Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gagal isytihar bawa masuk barangan mewah, wanita didenda lebih S$32,000

Seorang wanita warga Singapura berusia 42 tahun didenda lebih S$32,000 kerana gagal mengisytiharkan barang-barang mewah yang dibeli dari luar negara, menurut pihak Kastam Singapura pada Khamis (20 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Gagal isytihar bawa masuk barangan mewah, wanita didenda lebih S$32,000

Beg-beg berjenama yang cuba dibawa masuk tanpa membayar cukai (Gambar: Kastam Singapura)

Diterbitkan : 20 Sep 2018 11:54PM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 11:56PM

SINGAPURA: Seorang wanita warga Singapura berusia 42 tahun didenda lebih S$32,000 kerana gagal mengisytiharkan barang-barang mewah yang dibeli dari luar negara, menurut pihak Kastam Singapura pada Khamis (20 Sep).

Dalam kenyataan medianya, Kastam Singapura menyatakan Tammy Tien Mi didenda hampir S$32,900 oleh Mahkamah Negara selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal mengisytiharkan barangan yang boleh dicukai yang dibawa masuk ke Singapura.

Pada 27 Januari 2018, Tien tiba di Lapangan Terbang Changi dari Perancis. Apabila ditanya oleh para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sama ada dia ada apa-apa untuk diisytihar, Tien menjawab "tidak".

Namun beberapa tas tangan ditemui apabila bagasi Tien diimbas menggunakan alat X-Ray. Para pegawai ICA kemudian merujuk Tien ke Kastam Singapura bagi penyiasatan lanjut.

Apabila diperiksa lebih lanjut, para pegawai Kastam Singapura menemui 30 barangan mewah. Ini termasuk tas tangan, kasut, pakaian dan barangan perhiasan yang dibeli oleh Tien dari beberapa butik di Perancis. Nilai kesemua barangan yang ditemui adalah hampir S$470,000.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang boleh dikenakan pula adalah sekitar S$33,000.

"Sudah menjadi tanggungjawab sesiapa yang memasuki Singapura untuk mengisytihar secara menyeluruh dan tepat segala barangan yang boleh dikenakan cukai yang dibawa, untuk tujuan pembayaran cukai dan GST," menurut Kastam Singapura.

Di bawah Akta Kastam, sesiapa yang didapati bersalah gagal mengisytiharkan barangan yang boleh dicukai, boleh didenda sehingga S$10,000 atau sama nilai dengan cukai yang seharusnya dibayar. Mereka juga boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa