Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gabungan mahasiswa garis ​kaitan 'luas' antara universiti S'pura dengan industri bahan api fosil

Satu gabungan mahasiswa di Singapura menyeru universiti-universiti supaya membuat peralihan daripada industri bahan api fosil menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada laporan kumpulan itu hari ini (17 Jan), yang memperincikan kaitan "meluas" antara pihak-pihak tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Gabungan mahasiswa garis ​kaitan 'luas' antara universiti S'pura dengan industri bahan api fosil

Seorang pelajar menulis mesej di papan utnuk menyokong tindakan iklim dan peralihan ke tenaga bersih. (Gambar: Students Taking Action for NUS to Divest)

SINGAPURA: Satu gabungan mahasiswa di Singapura menyeru universiti-universiti supaya membuat peralihan daripada industri bahan api fosil menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada laporan kumpulan itu hari ini (17 Jan), yang memperincikan kaitan "meluas" antara pihak-pihak tersebut.

Bertajuk "Fossil-Fuelled Universities" atau universiti-universiti dijana bahan bakar fosil, laporan setebal 68 muka surat itu menggariskan kaitan antara industri bahan bakar api dengan universiti dalam bidang-bidang termasuk kewangan dan pengurusan.

Ia diterbitkan oleh Students for a Fossil Free Future (S4F), iaitu satu gabungan yang terdiri daripada 40 mahasiswa daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) serta Kolej Yale-NUS.

Berdasarkan laporan tersebut, kedua-dua NUS dan NTU mempunyai dana endowmen yang "secara tidak langsung" dilaburkan dalam bahan api fosil.

Bagi NUS, jumlahnya adalah "sekurang-kurangnya S$5.9 juta" - satu perangkaan yang disimpulkan oleh laporan itu daripada satu kenyataan yang diberikan Pejabat Pelaburan NUS pada Mac 2019. Menurut kenyataan itu, pelaburan tidak langsung universiti tersebut dalam bahan api fosil membentuk peratusan "satu angka yang rendah" daripada jumlah dana endowmennya iaitu, setakat 2021, bernilai S$5.9 bilion.

Pelaburan NTU mempunyai "pendedahan minimum kepada industri bahan api fosil" tetapi laporan itu tidak dapat meletakkan satu perangkaan padanya kerana universiti tersebut tidak mendedahkan saiz pendedahannya berbanding jumlah dana endowmennya sebanyak S$2.5 bilion.

Lagi empat universiti tempatan yang dihubungi oleh gabungan mahasiswa itu - SMU, SUTD, Pendidikan Global SIM dan Institut Teknologi Singapura (SIT) - tidak mendedahkan pendedahan mereka kepada aset berkaitan bahan api fosil, menurut laporan tersebut.

"Dengan melabur dalam industri bahan api fosil, universiti menyokong secara kewangan industri itu dan menunjukkan keyakinan terhadap industri tersebut untuk membawa pulangan jangka panjang," jelas para penulis.

Mereka menambah, langkah melucutkan pelaburan daripada industri bahan api fosil akan menghantar satu "isyarat jelas sosial" bahawa perbuatan bergantung secara berterusan kepada bahan api fosil adalah "satu langkah yang mundur" dan syarikat-syarikat yang berbuat sedemikian akan ketinggalan.

ANGGOTA LEMBAGA, BIASISWA DENGAN KAITAN BAHAN API FOSIL

Melangkaui pelaburan berkaitan bahan api fosil, laporan itu juga membangkitkan keprihatinan berhubung kemungkinan "konflik kepentingan", dengan menyentuh tentang kehadiran para pemimpin industri bahan api fosil - dahulu dan sekarang - yang berada di bawah lembaga universiti.

"Kami juga menyedari anggota Lembaga Pengarah mungkin sudahpun berhenti bekerja untuk syarikat bahan api fosil secara khusus, untuk meneruskan kerjaya yang lebih mampan atau menyelaraskan kerjaya mereka dengan nilai peribadi mereka," menurut gabungan itu.

“Kami menggalakkan anggota sedemikian untuk berkongsi keputusan atau rasional mereka dengan universiti mahupun masyarakat.

"Memandangkan anggota Lembaga Pengarah mempunyai kedudukan dan pengaruh sosial yang ketara, perkongsian seumpama itu akan meningkatkan kepentingan yang diletakkan oleh masyarakat, pelajar serta pendidik pada kemampanan dan memerangi perubahan iklim," tambah laporan itu.

Laporan itu turut menekankan kaitan dalam akademik, di mana sesetengah biasiswa dan anugerah dibiayai oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan industri bahan api fosil.

Ia memberi contoh biasiswa yang dianugerahkan oleh syarikat-syarikat seperti Shell, ExxonMobil, Keppel Offshore & Marine, Glencore dan Geo Energy Group, sebuah syarikat pelombongan dan perdagangan arang batu.

GUNA BERSAMA RUANG KAMPUS

Laporan itu juga mengkritik apa yang disebutnya sebagai "menggunakan secara bersama" ruang kampus oleh syarikat-syarikat bahan api fosil.

Ia memberi contoh siri Konsert Kampus ExxonMobil di NUS, satu tajaan yang dimulakan pada 1986.

Meskipun laporan itu mengiktiraf nilai acara tersebut dalam memberi peluang kepada pelajar untuk membuat persembahan muzik, ia menyatakan biasiswa itu juga membolehkan ExxonMobil untuk "mempromosikan syarikatnya kepada khalayak universiti yang luas dan memupuk imej positif selain memperlekehkan kegiatannya yang memudaratkan alam sekitar dan sosial".

SARANAN

Laporan tersebut membentangkan satu set saranan kepada universiti-universiti untuk menangani "hubung kait" industri bahan api fosil dengan "fungsi pembangunan profesional" universiti.

Ia termasuk melucutkan pelaburan semua pegangan kewangan daripada syarikat-syarikat bahan api fosil dan aset berkaitan bahan api fosil menjelang 2030. Ini di samping membangunkan rancangan untuk memperoleh kaedah alternatif pembiayaan daripada syarikat yang komited untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Laporan itu juga menggesa agar pendidikan krisis iklim dilaksanakan di semua universiti dalam masa satu atau dua tahun.

Gabungan mahasiswa itu menggambarkan laporan tersebut sebagai "usaha kajian bebas dari bawah" oleh lebih 60 individu termasuk mahasiswa sedia ada, alumni, akademik, anggota persatuan awam dan peguam.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan