Gabungan hidangan 3 negara ‘pesona’ Permata Singapore rai ulang tahun SG, Malaysia & Indonesia
Nasi Goreng Rawon dan Punten dengan Sambal Ijo Ikan Bilis antara sajian di Permata Singapore. (Gambar: Cef Mel Dean)
Inilah antara matlamat Permata Singapore dalam menjulang semangat perpaduan menerusi makanan jalanan di Singapura, Malaysia dan Indonesia sepanjang bulan Ogos ini.
Bertempat di Gedung Kuning, Permata Singapore berhasrat memartabatkan warisan kaya kulinari rantau ini menerusi perjalanan gastronomi yang membangkitkan deria rasa dan selera pelanggan.
Pengarah Kulinari Permata Singapore Cef Mel Dean berkongsi dengan BERITA Mediacorp: "Memandangkan ia kena dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan ketiga-tiga negara, ia sebagai satu penghormatan bagi meraikan Singapura dan negara-negara jiran sebagai satu rumpun.
"Bahkan pelanggan Singapura kami membentuk 75 peratus, manakala mereka dari Malaysia dan Indonesia pula 25 peratus. Jadi kami juga memaparkan makanan serantau yang lebih rencam supaya ia menjadi lebih menarik dan dekat di hati mereka."
CIPTA KELAINAN PADA HIDANGAN
Cef Mel juga mencipta kelainan pada hidangan bufet di restoran itu dengan membangkitkan deria dan "bermain dengan tekstur makanan".
Antara hidangan yang menarik perhatian sepanjang bulan Ogos ini di bangunan bersejarah itu termasuk Nasi Goreng Rawon, Ayam Merah Enchilada, Seafood Lemak Casserole, Punten dengan Sambal Ijo Ikan Bilis dan Mi Siam Mamak.
Nasi Goreng Rawon adalah makanan jalanan unik Surabaya yang menggabungkan dua makanan ruji kulinari Indonesia yang dimakan bersama tempeh, keropok dan sambal geprek yang mencerminkan daya kreatif dan kerencaman seni kulinari Indonesia.
Ayam Merah Enchilada pula adalah hidangan 'fusion' yang menggabungkan makanan Malaysia dengan enchilada dari Mexico bagi mewujudkan sajian berempah, berkrim dan manis yang unik.
Seafood Lemak Casserole juga merupakan makanan 'fusion' dengen elemen tradisional Lemak Cili Padi yang dicampur dengan 'casserole' kentang.
Turut mengikuti trend semasa, Punten dengan Sambal Ijo Ikan Bilis yang tular di TikTok pada awal tahun ini juga ditampilkan, yang mana ia seperti nasi lemak yang dikepal dan dimakan dengan sambal hijau dan ikan bilis.
Lebih menarik lagi, Cef Mel turut berkongsi bahawa Sambal Geprek dan Sambal Ijo tersebut bakal disediakan di pasaran dalam bentuk sejuk beku tidak lama lagi.
Malah, bukan sekadar restoran, Permata Singapore juga menyimpan hasrat untuk menjadi pusat sehenti bagi pembelajaran tentang budaya Melayu.
"Kita mahu menjadi tempat untuk pembelajaran, di mana pihak sekolah datang untuk mengenali tentang sejarah dan budaya pemakanan orang Melayu.
"Jadi kami bukan sekadar restoran, kami mahu menjadi tempat untuk mempelajari budaya dan mengadakan bengkel," kata Cef Mel.
Hidangan bufet "1-for-1" bagi jamuan tengah hari dan jamuan malam turut ditawarkan sempena Ogos, bulan bersejarah bagi ketiga-tiga negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.