Skip to main content

Singapura

Gabenor Makkah, Madinah puji jemaah S'pura, dedah Masagos

Jemaah Singapura dipuji oleh pihak berkuasa Makkah dan Madinah atas sikap tertib semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jemaah Singapura dipuji oleh pihak berkuasa Makkah dan Madinah atas sikap tertib semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci.

Pujian ini disampaikan kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura Masagos Zulkifli dalam lawatannya bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Haji Saudi yang berlangsung hingga esok (28 Dis).

Dalam catatan di laman Facebooknya hari ini, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, berkongsi tentang pertemuan beliau dengan Gabenor Makkah, Putera Khaled bin Faisal Al Saud dan anaknya, Timbalan Gabenor Madinah, Putera Saud bin Khalid Al Faisal.

Encik Masagos turut menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua gabenor atas usaha menaik taraf prasarana di Tanah Suci "demi keselamatan dan keselesaan jemaah Haji dan Umrah".

"Peluasan Masjidil Haram dan kawasan Tanah Suci telah mempermudahkan umat Islam untuk melakukan ibadah dengan selesa dan selamat," tambah Encik Masagos di laman Facebooknya.

Menurut beliau lagi, para gabenor turut meluahkan kata-kata pujian bagi warga Singapura.

"Saya gembira mendengar pujian mereka tentang jemaah Singapura yang terkenal dengan sikap tertib dan patuh dengan peraturan agar kebajikan mereka terpelihara," kata Encik Masagos.

"Saya berharap para jemaah kita akan terus mengharumkan nama Singapura pada masa hadapan."

Sewaktu lawatannya, Encik Masagos akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh Bin Taher Benten bagi membincangkan urusan jemaah Singapura serta hal-hal lain berkaitan musim Haji akan datang, yang dijadualkan berlangsung pada Ogos tahun depan.

Di Madinah, Encik Masagos dijadual akan mengadakan sesi dialog dengan para pelajar Singapura.

Beliau akan diiringi Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Hassan Maricar, Timbalan Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood dan para pegawai kanan lain.

Mesyuarat Menteri Haji ini adalah yang pertama dihadiri Encik Masagos sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita