Funpack NDP 2019 pupuk budaya kitar, guna semula
Menjadi rebutan ramai saban tahun sejak pertama kali diperkenalkan pada 1991, beg cenderahati atau 'Funpack' Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) kembali dengan rekaan dan kandungan yang lebih mampan dan mesra alam sekitar pada tahun ini.
SINGAPURA: Menjadi rebutan ramai saban tahun sejak pertama kali diperkenalkan pada 1991, beg cenderahati atau 'Funpack' Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) kembali dengan rekaan dan kandungan yang lebih mampan dan mesra alam sekitar pada tahun ini.
Selain cenderahati seperti bendera kecil, snek biskut dan roti serta kupon-kupon diskaun, beg cenderahati 2019 dilengkapi dengan botol air sukan yang boleh diguna semula serta straw minuman buluh yang akan digunakan sebagai mainan tepuk tangan atau 'clappers' sewaktu perbarisan pada 9 Ogos kelak.
Ponco atau baju hujan yang tidak digunakan pula akan dikumpulkan di akhir setiap sesi raptai dan pratonton NDP agar dapat diagihkan semula di pertunjukan seterusnya.
Menurut Pengerusi Logistik dan Kewangan Jawatankuasa NDP, ME6 Ignatius Tham, ia merupakan antara langkah-langkah yang diambil pihak penganjur NDP bagi menyokong usaha Singapura untuk mengurangkan sisa.
"Ada di antara kandungan Funpack yang hanya muncul di pasaran baru-baru ini, seperti straw minuman buluh. Jadi, kami mengadaptasikan dengan pantas dan ingin membawa produk itu ke tahap nasional untuk memupuk budaya guna semula. Kami berharap, dengan mengeluarkan produk yang berkualiti, mereka yang menghadiri NDP akan menggunakan Funpack mereka buat jangka masa yang panjang", kongsi beliau.

Seiring dengan inisiatif 'Kekal Bersedia', Yayasan Temasek berganding bahu dengan NDP buat julung-julung kalinya untuk mereka beg yang boleh digunakan semula semasa kecemasan.
Terdapat dua kod QR yang akan melancarkan lelaman Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk memberikan lebih banyak maklumat tentang cara-cara menyediakan beg persiapan darurat, sementara laman Persatuan Palang Merah Singapura pula, menyediakan maklumat mengenai kursus pernafasan kardiopulmonari (CPR) dan mesin bantuan pernafasan AED percuma.
Pengarah Program Yayasan Temasek, Fatima Mustafa, menekankan: "Pada pendapat saya, tidak mungkin seseorang itu selamat sepenuhnya dan saya fikir setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk mempersiapkan diri untuk apa jua situasi kecemasan."
Funpack NDP 2019 yang mengambil masa sekitar 6 bulan untuk direka boleh didapatkan dalam versi merah dan putih. Tali begnya pula boleh diubah suai sebagai beg sandang atau beg galas.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.