Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Free Food For All dan Project Goodwill Aid sebar keceriaan Deepavali kepada lebih 150 keluarga

Sambutan Deepavali tahun ini bertambah manis buat lebih 100 keluarga berpendapatan rendah di Boon Lay dan Chai Chee, diserikan makanan dan kuih-muih yang disampaikan dua badan amal, Free Food For All (FFFA) dan Project Goodwill Aid (PGA) bagi menyambut perayaan penuh berwarna warni itu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sambutan Deepavali tahun ini bertambah manis buat lebih 100 keluarga berpendapatan rendah di Boon Lay dan Chai Chee.

Manakan tidak, mereka dapat menikmati makanan dan kuih-muih yang disampaikan dua badan amal, Free Food For All (FFFA) dan Project Goodwill Aid (PGA) bagi menyambut perayaan penuh berwarna warni itu.

SUMBANGAN KECIL BADAN AMAL, BESAR MAKNANYA BUAT PENERIMA HABUAN

Sejak enam tahun lalu, sudah menjadi satu tradisi buat penduduk beragama Hindu di estet perumahan matang Boon Lay untuk menantikan kedatangan PGA setiap kali tibanya Deepavali. Tahun ini, mereka tidak dihampakan.

Acara pengagihan makanan dan kuih muih berlangsung pada Sabtu (26 Okt) dengan dewan serbaguna di Blok 176A Boon Lay Drive mula dibanjiri penduduk pada jam 1.30 tengah hari. Dalam masa sejam sahaja, kesemua barangan berjaya diagihkan untuk sekitar 100 keluarga. Bagi golongan yang sukar hadir ke dewan untuk menerima habuan, para relawan PGA malah pergi rumah ke rumah untuk menghantarnya sendiri.

Menurut pengasas PGA, Cik Siti Nurani Salim: "Kami mahu melihat warga Hindu yang kurang berpendapatan terutama sekali anak-anak kecil dan juga warga emas sebatang kara dapat menyambut perayaan mereka seperti orang-orang lain."

Usaha murni Cik Siti bersama para sukarelawannya amat dihargai penerima.

"Di sini ada ramai penduduk warga tua jadi mereka semua ambil. Kita satu tahun satu kali dapat beraya jadi suka. Jadi gembiralah," kata Cik Devi, yang pertama kali menerima habuan Deepavali.

Buat Encik Nathan pula, pemberian habuan itu sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaannya.

"Isteri saya berpenyakit kencing manis, darah tinggi, ginjal dan dia terpaksa menjalani dialisis. Jadi sekarang kita pergi jumpa doktor pun mahal juga. Semua naik teksi, bas pun semua mahal. Jadi orang boleh tolong kita, kita pun senang hati," jelas Encik Nathan.

SAMBIL MEMBERI HABUAN, AMBIL PELUANG DIDIK PENDUDUK AMAL KESEJAHTERAAN HIDUP

Tempias usaha murni itu turut dirasakan para penghuni flat sewa di Chai Chee. Selama dua hari (26 & 27 Okt) berturut-turut, para kakitangan FFFA dan mahasiswa dari Pusat Alice untuk Pengajian Kejururawatan, Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS), menyumbang masa dan tenaga mereka untuk menagihkan habuan makanan dari rumah ke rumah buat 50 keluarga berpendapatan rendah.

Semangat perayaan itu tidak sahaja dikongsi bersama penduduk beragama Hindu, bahkan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama. Selain barang makanan, setiap keluarga turut menerima barangan kebersihan diri seperti berus dan ubat gigi.

Jika biasanya, FFFA membuat agihan dengan berhimpun di dewan serbaguna, penghantaran dari rumah ke rumah itu memberi mereka peluang untuk mengenali lebih mendalam penduduk yang kebanyakkannya, golongan berusia.

"FFFA baru saja bertapak di Chai Chee dan kita ingin menyedarkan para penduduk bagi isu-isu yang dekat kepada hati mereka. Isu-isu seperti pembuangan makanan dan juga untuk memberi kuasa kepada para penduduk supaya mereka boleh membina masyarakat yang lebih bagus," kata Encik Mohd Saddiq Mohd Sa’id, seorang jurucakap FFFA.

Pengagihan di Chai Chee itu selaras dengan pembukaan pusat FFFA yang terbaru di Blok 21 Chai Chee Road. Pengasasnya, Encik Nizar Mohd Shariff berharap mereka dapat membantu lebih ramai golongan susah.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan