Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Free Food For All agih 1,000 set beriani sempena Hari Makanan Sedunia

Anggaran Waktu Membaca:
Free Food For All agih 1,000 set beriani sempena Hari Makanan Sedunia

Free Food For All agih 1,000 set beriani sempena Hari Makanan Sedunia. (Gambar: Free Food For All)

SINGAPURA: Sempena Hari Makanan Sedunia, badan kebajikan Free Food For All (FFFA) mengagihkan sekitar 1,000 bento nasi beriani pada Sabtu (15 Okt), kepada para penduduk Tampines.

Usaha FFFA itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan isu jaminan bekalan makanan sempena Hari Makanan Sedunia.

Ia juga disambut setiap tahun bagi menandakan penubuhan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada 1945.

Usaha oleh FFFA itu turut disokong oleh PAP Tampines North.



Jika selalunya pengagihan makanan dilakukan dari rumah ke rumah, kali ini konsepnya agak berbeza.

Ia dilakukan dengan cara yang unik iaitu menerusi konsep 'Food Truck' atau trak makanan di blok 492H Tampines Street 45.

"Kita gunakan konsep trak makanan ini kerana ia boleh menyemarakkan satu suasana seperti pesta. Kita boleh lihat, di sini lebih santai dan ia turut menunjukkan yang kita boleh datang bersama-sama untuk saling membantu jiran tetangga," kongsi Ahli Lembaga FFFA, Encik Mohamad Faiz Selamat.

Selain itu, badan itu juga berharap usaha pengagihan makanan itu dapat membangkitkan sifat ihsan dalam kalangan masyarakat.

"Kami rasa perbuatan atau pengagihan makanan memberi satu peluang untuk masyarakat memberi dan menyemarakkan satu semangat empati," ujar Encik Faiz.

"Empati adalah satu usaha untuk seorang lebih memahami dan dengan secara tulus ikhlas, merasakan apakah situasi (sebenar) seseorang itu. Bukan hanya belas kasihan sahaja, tetapi juga untuk mengetahui, memahami situasi mereka dan mendekati masalah-masalah yang mereka ada dengan lebih tulus dan lebih ikhlas," tambahnya lagi.


(Gambar: Free Food For All)

Menurut FFFA, sambutan kali ini amat menggalakkan dengan ramai yang sudah mula beratur kira-kira 15 minit sebelum pengagihan bermula.

KESEMUA 1,000 SET BENTO BERIANI DIAGIHKAN DALAM SATU SETENGAH JAM

Menurut badan itu lagi, kesemua 1,000 set bento nasi beriani berjaya diagihkan dalam masa satu setengah jam.

Malah, ia juga menarik perhatian para penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat.



"Saya beruntung kerana dapat dipilih untuk menerima makanan ini. Manfaatnya ialah untuk anak-anak saya sebab saya pun mempunyai ramai anak," kongsi seorang penduduk Tampines.

"Sekurang-kurangnya mereka akan tahu apa itu inisiatif untuk mendapatkan makanan-makanan percuma supaya tidak membazir makanan," tambahnya lagi.

PERLU FIKIR BAGAIMANA UNTUK MEMPELBAGAIKAN SUMBER MAKANAN DI SINGAPURA

Acara itu turut dihadiri Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Tampines, Encik Baey Yam Keng, yang sama-sama bantu mengagihkan makanan.

Bagi beliau, acara sempena Hari Makanan Sedunia itu juga boleh meningkatkan kesedaran masyarakat tentang jaminan bekalan makanan di dunia.

(Gambar: Free Food For All)

"Saya rasa adalah penting untuk kita menghargai akses kepada makanan yang bersih dan sihat. Jadi di Singapura, kita mungkin bukan seperti tempat-tempat lain yang mempunyai kesulitan dalam akses ini tetapi saya rasa penting untuk kita mengetahui cara mengambil berat untuk orang lain," kongsi Encik Baey.



"Makanan membawa masyarakat bersama tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu melihat jaminan bekalan makanan dan daya bingkas di Singapura. Bagaimana untuk mempelbagaikan sumber makanan kita supaya dapat kita dapat akses mudah dan mencukupi kepada makanan sepanjang tahun," tambahnya lagi.

Lebih 10 relawan FFFA dan PAP Tampines North menyingsing lengan bagi mengagihkan set bento nasi beriani itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan