Skip to main content

Singapura

Four Seasons Durian tawar kembalikan wang selepas kek bulan mini D24 ditarik balik terkait keracunan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Four Seasons Durian tawar kembalikan wang selepas kek bulan mini D24 ditarik balik terkait keracunan makanan

(Gambar: SFA)

Diterbitkan : 13 Sep 2024 06:16PM
SINGAPURA: Syarikat Four Seasons Durian menyatakan ia akan membayar balik wang bagi kek bulan mini D24 selepas semua produk tersebut ditarik balik oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (12 Sep).

Agensi itu mengesan paras bakteria Bacillus cereus yang tinggi, iaitu bakteria dikaitkan dengan keracunan makanan, yang melebihi had maksimum yang ditetapkan dalam peraturan makanan Singapura.
Syarikat tersebut menggesa para pelanggannya untuk tidak memakan produk yang terkesan itu, dan menambah ia sedang bekerjasama sepenuhnya dengan SFA.

Para pelanggan yang ingin mendapatkan wang mereka semula perlu melakukannya selewat-lewatnya esok (14 Sep).

Mereka perlu membawa kek bulan mini D24 serta resit, ke salah satu cawangannya di pusat beli-belah NEX atau Century Square, atau di kios terletak di Takashimaya dan VivoCity.

Syarikat itu menekankan kesihatan dan keselamatan para pelanggannya "diutamakan" dan ia komited untuk "menangani isu tersebut dengan segera".

"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti punca isu ini dan sedang melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan untuk mencegah kejadian serupa pada masa depan," umum Four Seasons Durian.

PUNCA KERACUNAN MAKANAN

Bacillus cereus adalah punca kebanyakan keracunan makanan, yang biasanya ditemui di dalam persekitaran serta saluran usus serangga dan mamalia.

Individu yang terkesan mungkin mengalami gejala seperti pening, muntah, kekejangan perut dan cirit birit, jelas SFA.

Individu yang sudah makan kek bulan yang terkesan dan bimbang tentang kesihatan mereka digesa untuk mendapatkan nasihat perubatan, tambah agensi itu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita