'Forum Theatre' PPIS pendekatan interaktif baharu bincang cabaran peranan wanita
(Gambar: PPIS)
Dari tempat duduk, seorang penonton bangun, melangkah ke hadapan dan mengambil alih watak lalu mengubah jalan cerita yang sedang berlangsung.
Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, edisi Harmony Raya anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) tahun ini menampilkan segmen baharu, Forum Theatre, yang mengetengahkan cabaran kehidupan sebenar yang dihadapi wanita di tempat kerja, dalam keluarga serta masyarakat dalam bentuk sebuah pementasan.
Melalui segmen itu, garis antara pelakon dan penonton menjadi kabur, membuka ruang kepada pelbagai perspektif untuk diteroka menerusi perspektif si penonton itu.
'FORUM THEATRE' TONJOL CABARAN SEMASA SAMBIL GALAK PERBINCANGAN MERENTAS AGAMA DAN BANGSA
Antara peserta ialah Syairah Kimberley, 34 tahun, yang melihat ruang sedemikian sebagai penting dalam menggalakkan perbincangan yang lebih terbuka dan pelbagai.
"Adalah penting untuk kita mempunyai pelbagai ruang untuk berinteraksi dan meneroka isu serta idea seperti ini dan tidak hanya bergantung pada satu pendekatan, tetapi pelbagai kaedah," kata pengarah Interfaith Youth Circle itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Aidaroyani Adam, berkata: “Isu yang dihadapi wanita seperti keseimbangan kehidupan, tanggungjawab penjagaan dan tekanan sosial bukan isu terpencil dalam satu masyarakat sahaja, malah ia merentas latar belakang dan juga pengalaman.”
Justeru, pendekatan baharu itu menggalakkan “perbincangan (yang) lebih jujur dan juga bermakna serta membuka ruang untuk ada sifat empati dan juga pemahaman bersama” dalam kalangan masyarakat majmuk.
GESA MASYARAKAT UNTUK TERUS KEKAL ‘SATU HATI’
Interaksi harian seperti segmen tersebut, menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, boleh membentuk keharmonian di Singapura.
Berucap di acara itu pada Sabtu (11 Apr), Dr Faishal menyeru agar rakyat Singapura memupuk semangat ‘satu hati’ sambil menekankan ia merupakan tanggungjawab bersama.
Ini lebih-lebih lagi kerana keharmonian antara agama dalam masyarakat majmuk seperti Singapura turut “menuntut rasa saling menghormati, kefahaman yang tulus serta kesediaan untuk berjalan seiring walaupun terdapat perbezaan pandangan”.
“Rasa saling percaya harus terus diperkukuh, terutamanya dalam dunia yang kian berubah di mana perkembangan luar negara boleh menjejas sentimen tempatan dengan mudah,” kata Dr Faishal.
KEHARMONIAN PERLU TERUS DIPUPUK DALAM DUNIA YANG SEMAKIN BERPECAH
Dalam dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu, keharmonian tidak boleh diambil mudah, sebaliknya perlu dipelihara dan diperkukuh secara berterusan, tambah beliau.
Dr Faishal menekankan bahawa keharmonian yang dinikmati rakyat Singapura hari ini merupakan hasil usaha berpanjangan merentas generasi, dan tidak boleh dianggap sesuatu yang terjamin.
Merujuk kepada dapatan tinjauan 2024 yang dilakukan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan OnePeople.SG, beliau berkata: “Rakyat Singapura melihat keharmonian kaum dan agama sebagai kukuh.”
“Ini merupakan hasil usaha bertahun-tahun, kepercayaan serta pilihan harian yang dibuat oleh generasi daripada pelbagai agama dan latar belakang,” tambahnya.
Meski kukuh, beliau menegaskan bahawa “keharmonian merupakan satu usaha yang tidak akan pernah berakhir”.
“Keharmonian tidak berlaku secara kebetulan. Ia sesuatu yang perlu dipelihara, dipupuk dan dipilih setiap hari,” ujar Dr Faishal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.