Forum sembang ilmu ajak belia bincang sejarah dan masa depan masyarakat Melayu S'pura
Mendalami kesan penjajahan terhadap masyarakat Melayu, peranan institusi dan pemimpin agama dalam memperkuatkan semangat yakin diri dalam masyarakat, hangat dibahaskan dalam satu sesi sembang ilmu pada Sabtu (6 Feb).
SINGAPURA: Mendalami kesan penjajahan terhadap masyarakat Melayu, peranan institusi dan pemimpin agama dalam memperkuatkan semangat yakin diri dalam masyarakat, hangat dibahaskan dalam satu sesi sembang ilmu pada Sabtu (6 Feb).
Dianjurkan bersama Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan World Scientific Publishing, tumpuan perbincangan berpandukan buku Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays, yang mengupas peranan masyarakat Melayu dalam pembangunan Singapura, melebihi 200 tahun lalu.
Sesi perbincangan di auditorium Taman Warisan Melayu itu diadakan sempena siri 'Sembang Ilmu'.
Bertajuk Understanding Our Past, Building For The Future: Malay Youths and History Making (Memahami Sejarah Kita, Membangun untuk Masa Depan: Belia Melayu dan Catat Sejarah), para peserta mengupas peranan masyarakat Melayu dalam pembangunan Singapura, bersama barisan panel yang terdiri daripada penyunting bersama buku tersebut iaitu mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar, Encik Zainul Abidin Rasheed, mantan Anggota Parlimen, Haji Wan Hussin Zoohri dan Zamil Kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat serta tiga mahasiswa - Ahmad Ubaidillah Mohamed Khair, Universiti Yamouk serta Liyana Nasyita dan Nur Hikmah Md Ali dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
"GUNA SEJARAH UNTUK BANGKITKAN MASYARAKAT"
Sepanjang dua jam, anggota panelis belia masing-masing membentangkan sumbangan masyarakat Melayu terhadap pembangunan Singapura serta nilai-nilai penting yang membantu membentuk kehidupan masyarakat.
(Liyana Nasyita Shukarman, Ahmad Ubaidillah Mohamed Khair dan Nur Hikmah Md Ali)
Mahasiswa Universiti Yamouk, Ahmad Ubaidillah Mohamed Khair, 24 tahun menyentuh aspek agama dalam masyarakat Melayu dan peranan asatizah serta nilai tradisi agama.
"Impian saya ialah bagi golongan belia kita menilai balik agama, tradisi agama kita supaya kita boleh menggunakan tradisi kita dengan sebaik mungkin.
"Bagaimana kita boleh gunakan pelajaran daripada sejarah masyarakat Melayu kita untuk membangkitkan masyarakat bagi pembangunan dan kemajuan masa depan," kata Ahmad Ubaidillah yang masih menuntut di tahun keempat Universiti di Jordan.
Mahasiswa Pengajian Melayu di NUS, Liyana Nasyita Shukarman, 27 tahun pula menyentuh tentang perlunya mengimbau kembali kesan penjajahan dan feudalisme kepada kehidupan hari ini.
"Kita selalu fikir belia kita ini tak kisah tentang masalah-masalah hari ini, tentang masalah-masalah sosial, tapi melalui soalan-soalan mereka itu, saya ada rasa yang mereka sebenarnya mahu membuat satu perubahan tapi kadang-kadang mereka tidak tahu nak bermula dari mana.
"Pemimpin-pemimpin kita harus sedar yang belia kita nak buat perubahan tapi mereka perlu bimbingan. Jadi, bimbingan itu perlu dan perbincangan itu harus sentiasa berlaku," ujar Liyana Nasyita.
Nur Hikmah Md Ali dari NUS pula mengupas isu pendidikan dan pembangunan wanita masyarakat Melayu.
Peranan pemimpin dalam memupuk perbincangan kritikal dalam masyarakat, juga disentuh dalam sesi soal jawab bersama panelis.
Bagi editor bersama buku tersebut, Haji Wan Hussin Zoohri, pemimpin katanya perlu bersikap terbuka kepada semangat berwacana dan menghormati pandangan yang berbeza. Dan tabiat itu perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.