Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forum RLAF kumpul idea wujudkan ekosistem sokongan padu bagi golongan kurang upaya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menganjurkan sebuah forum untuk membincangkan cara mewujudkan sebuah ekosistem yang padu bagi menyokong golongan kurang upaya (PwD).

Forum yang diadakan pada Sabtu (24 Sep), sempena Hari RLA tahun ini membawa tema "Mengatasi Cabaran, Memperkukuh Penyertaan Orang Kurang Upaya".

Ia dihadiri 60 wakil dari 25 agensi khidmat sosial, institusi, dan pertubuhan Melayu/Islam.

(Sumber: MUIS)
(Sumber: MUIS)

 

 

Tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata forum tersebut menyediakan platform untuk membincangkan serta memikirkan tentang amalan-amalan terbaik bagi membangunkan sebuah masyarakat inklusif, selain menggalakkan lebih banyak kerjasama antara agensi perkhidmatan sosial dan masyarakat Islam di negara ini.

"Pandemik COVID-19, seperti yang kita tahu, telah membawa banyak cabaran kepada masyarakat di seluruh dunia, terutamanya kumpulan yang lebih terdedah, dan ini termasuk orang kurang upaya. Mereka terdedah kepada kesan negatif pandemik yang termasuk kehilangan pekerjaan dan pengasingan sosial.

"Dalam sektor perkhidmatan sosial, sokongan berterusan amat penting bagi agensi perkhidmatan sosial kami untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi kerja baik mereka dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada golongan tersebut," kata beliau.

Dr Muhammad Faishal berkata beliau berbesar hati melihat pelbagai projek yang dijalankan di bawah kerjasama yang terjalin melalui Hari RLA - antara pertubuhan dari masyarakat Islam Singapura dan agensi perkhidmatan sosial untuk Orang Kurang Upaya.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pertubuhan baru termasuk MudaSG, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), MENDAKI, Madrasah A-Arabiah Al-Islamiah, Al-Ma'arif serta APSN, Persekutuan Palsi Serebrum Singapura, Persatuan Disleksia dan Persatuan bagi Cacat Pendengaran.

APSN Ltd, sebuah agensi khidmat sosial yang membantu individu kurang upaya intelektual ringan, adalah rakan utama dalam forum sulung RLA tahun ini.

Wakilnya, Cik Marina Chong berkata: "Banyak sekali idea-idea yang dikongsikan para peserta forum yang akan membawa hasil yang positif dan bermakna."

Perkongsian sedemikian turut dialu-alukan anggota Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Encik Iman Yusoff.

“Kami bersyukur kerana mempunyai platform seperti Forum RLA di mana rakan kongsi kami boleh secara kolektif memikirkan idea dalam usaha kami untuk mewujudkan ekosistem sokongan padu untuk masyarakat, terutamanya golongan PwD yang berpotensi memerlukan sokongan sebagai usahawan dan pencari kerja,” kata beliau.

RLAF dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berganding bahu untuk mengumpul dana bagi Cabaran Presiden bagi manfaat agensi perkhidmatan sosial yang menyokong golongan orang kurang upaya.

Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen menyampaikan cek bernilai S$50,000 sebagai menyokong inisiatif pengumpulan dana RLAF itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/rr
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan