Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forum M³ diadakan Feb 2020 bagi perhalusi bidang tumpuan di 8 M³@Bandar

Sebuah forum perbincangan dipanggil Forum M³ bakal diadakan pada bulan Februari tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah forum perbincangan dipanggil Forum M³ bakal diadakan pada bulan Februari tahun depan.

Demikian diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, dalam satu sesi bersama media baru-baru ini.

Ini adalah sebahagian daripada perancangan untuk mempertingkat program dan inisiatif-inisiatif bagi tahun 2020.

Pada tahun depan, inisiatif-inisiatif M³ bakal memasuki fasa kedua dan menurut Encik Masagos, tumpuan akan diberi kepada usaha memperhalusi program-program dan bidang tumpuan sedia ada di kesemua lapan M³@Bandar, yang kebanyakannya dirintis pada tahun ini.

Maka itu, Forum M³ akan membuka ruang untuk menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan demi menilai inisiatif-inisiatif di bawah M³ serta berkongsi amalan-amalan terbaik dari kesemua lapan M³@Bandar.

Ini kerana, bidang tumpuan setiap M³@Bandar, iaitu di Bedok, Choa Chu Kang, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Woodlands, Pasir Ris-Punggol, Tampines, berlainan.

Ia termasuklah bidang tumpuan dari segi kesediaan kewangan, pengukuhan institusi keluarga dan kesihatan.

CIPTASAMA@M³ DIMULAKAN PADA SUKU PERTAMA 2020

Menjelang suku pertama tahun depan pula, siri perbincangan CiptaSama@M³, yang diumumkan pada bulan Julai tahun ini, akan dimulakan. Ia bagi menggalak anggota masyarakat untuk sama-sama saling bertukar-tukar pandangan demi membentuk dasar-dasar masa akan datang.

Encik Masagos memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sebelum ini, yang mengatakan bahawa rakyat tidak boleh mengharap Pemerintah untuk mengetahui segala-galanya.

"Terdapat perkara-perkara tertentu yang mana Pemerintah mesti berani membuat keputusan kerana ia adalah isu-isu yang berat seperti pertahanan atau air misalnya.

"Tetapi terdapat juga isu-isu lain yang kita perlu sama-sama berbincang, memahami dan mencari keseimbangan dan membentuk dasar-dasar itu bersama-sama," ujar Encik Masagos.
Encik Masagos juga mendedahkan bahawa MENDAKI berhasrat untuk memperkukuh program-program bimbingan mentor bagi masyarakat Melayu/Islam setempat.

Encik Zaqy Mohamad di sesi pendampingan penuntut IHL anjuran Mendaki pada 28 Sep (Gambar: MENDAKI)

Encik Zaqy Mohamad di sesi pendampingan penuntut IHL anjuran Mendaki pada 28 Sep (Gambar: MENDAKI)

Untuk mencapai matlamat itu, MENDAKI bakal menubuhkan sebuah pejabat bimbingan mentor untuk golongan belia pada tahun depan. Namun perinciannya hanya akan diumumkan selepas Belanjawan 2020.

PROGRAM SIJIL POSSISWAZAH ISLAM DIMULAKAN APRIL 2020

Antara program lain yang akan dimulakan pada tahun depan termasuk Pendaftaran bagi Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

PCICS mewajibkan semua lulusan institusi pengajian tinggi Islam luar negara untuk menjalani program selama setahun itu sebagai prasyarat sebelum diterima masuk ke dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Ketua PCICS, Dr Mohammad Hannan Hassan, memberi taklimat kepada para lulusan dan ibu bapa mereka tentang rangka kerja program. (Gambar: MUIS)

Taklimat untuk para lulusan dan ibu bapa mereka tentang rangka kerja PCICS. (Gambar: MUIS)

Malah kelas bagi kohort pertama program sepenuh masa itu akan dimulakan April tahun depan.

"Dalam banyak kerjaya, contohnya guru-guru di Singapura, hanya kerana anda mendapat ijazah kepujian kelas pertama dalam fizik, ini tidak bermakna anda boleh terus ke sekolah-sekolah untuk mengajar".

"Kenapa? Kerana anda perlu memahami pedagogi. Anda perlu memahami ilmu fizik untuk Darjah 3. Ilmu fizik untuk Darjah 5 dan Menengah 4 adalah berbeza.

"Dan perkara yang sama perlu disebarkan kepada para asatizah kita," jelas Encik Masagos.

Beliau menambah, kemahiran-kemahiran tersebut (pedagogi) mungkin tidak mereka pelajari di universiti-universiti tempat mereka menuntut, walau setinggi mana prestij universiti berkenaan.

Lantaran itu kata Encik Masagos, lebih baik untuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) "mendedahkan mereka dengan cara sangat lasak tentang konteks Islam dan masyarakat di Singapura" menerusi PCICS.

Namun demikian Encik Masagos akur bahawa pihaknya turut menerima maklum balas dari para lulusan tersebut dan "akan cuba menghuraikannya". 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan