Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forum IPS pasca GE2020: Pengundi lebih tua semakin guna wadah digital; parti politik terlepas isyarat penting online

Tidak kira usia, kebanyakan pengundi  Singapura berpaling kepada sumber online bagi berita dan pandangan semasa Pilihan Raya Umum (GE) baru-baru ini menurut satu tinjauan oleh Institut Kajian Dasar (IPS).  

Anggaran Waktu Membaca:
Forum IPS pasca GE2020: Pengundi lebih tua semakin guna wadah digital; parti politik terlepas isyarat penting online

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 08 Oct 2020 09:55PM Dikemas Kini : 08 Oct 2020 09:57PM

SINGAPURA: Tidak kira usia, kebanyakan pengundi Singapura berpaling kepada sumber online bagi berita dan pandangan semasa Pilihan Raya Umum (GE) baru-baru ini menurut satu tinjauan oleh Institut Kajian Dasar (IPS).

Sementara itu, satu analisis berasingan ke atas catatan Facebook semasa pilihan raya mendapati kemenangan Parti Pekerja (WP) di GRC Sengkang mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan jika parti-parti politik menumpukan lebih banyak perhatian kepada isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi secara online.

Dapatan kajian ini dibentangkan di Forum Online IPS pada Khamis (8 Okt) dengan penstriman langsung di Facebook.

Ia meninjau sekitar 2,000 rakyat dari 13 hingga 21 Julai untuk melihat kaitan antara penggunaan media dengan ciri-ciri politik, penyertaan dan sikap mengundi. Data yang dikumpulkan diberi nilai wajaran berdasarkan kadar jantina, kaum dan kumpulan usia warganegara yang mengambil bahagian.

IPS menjalankan tinjauan serupa yang mengkaji penggunaan internet serta media semasa dua GE lalu pada 2011 dan 2015.

Semasa forum itu juga, Encik Chua Chin Hon, Ketua Penganalisis Data di Analytix Labs, membentangkan analisis data media sosial yang dikumpulkan oleh firma khidmat kecerdasan buatannya.

JURANG GENERASI

Media massa tradisional seperti televisyen, akhbar dan radio serta wadah digital adalah paling popular dalam kalangan pengundi lebih tua tetapi wadah digital kerap kali digunakan oleh semua kumpulan usia.

Tinjauan itu meninjau tabiat penggunaan media oleh empat kumpulan usia:

  • Pengundi kali pertama berusia antara 21 hingga 26 tahun
  • Belia lain berusia antara 27 hingga 35 tahun
  • Generasi terhimpit berusia antara 36 hingga 55 tahun
  • Generasi 'Boomers' berusia 56 tahun dan ke atas

“Apa yang menarik adalah pentingnya khidmat pesanan segera sebagai satu sumber berita untuk generasi 'boomers'," kata Dr Carol Soon, Ketua Jabatan Masyarakat dan Budaya di IPS, dalam taklimat media pada Rabu.

Penggunaan media oleh kumpulan itu paling banyak berubah berbanding 2015, tambah beliau.

Tahun ini, mereka menggunakan khidmat pesanan segera sama banyak dengan generasi lain untuk mendapatkan maklumat mengenai pilihan raya.

Kajian itu juga mendapati lebih muda usia seorang pengundi, semakin kurang cenderung bagi mereka mengundi Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah.

Sekitar lebih separuh daripada 2,018 responden melaporkan parti mana yang mereka undi dan daripada itu:

  • 72.1 peratus adalah generasi 'boomers'
  • 64.6 peratus adalah generasi terhimpit
  • 60.1 peratus adalah belia lain
  • dan 56.6 peratus pengundi kali pertama menyatakan mereka mengundi PAP.

Bagi semua kumpulan usia, sumber media paling popular adalah lelaman online media massa Singapura seperti The Straits Times, TODAY dan CNA. Televisyen menduduki tempat kedua, disusuli dengan laman berita dan maklumat khusus di wadah online sahaja seperti Rice Media serta Mothership.

Wadah media tradisional - televisyen, akhbar dan radio - semuanya jatuh dari segi kepentingan dalam GE baru-baru ini bagi kesemua kumpulan usia.

Dapatan utama lain:

Lelaman online media massa Singapura lebih penting buat pengundi PAP manakala pengundi pembangkang lebih berminat untuk mengenali calon-calon di laman rangkaian sosial dan lelaman parti.

Bagaimana pengundi menggunakan internet juga mempengaruh parti mana yang mereka undi. Namun, peramal paling kuat tentang bagaimana mereka mengundi adalah respons kepada satu soalan mengenai alasan utama mereka mengundi sesebuah parti. Ini termasuk rekod prestasi parti atau untuk mempunyai pandangan alternatif di Parlimen.  

Dr Soon berkata khidmat pesanan segera masih banyak digunakan dalam model siaran dan parti-parti politik boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menambah baik hubungan dua hala dengan rakyat.

TERLEPAS PANDANG ISYARAT

Parti-parti politik semakin baik dalam menerbitkan kandungan media sosial tetapi ia kebanyakannya diguna sebagai saluran pengedaran atau apa yang Encik Chua sebutkan sebagai sikap 'fire-and-forget' atau tiada tindakan susulan.

Jika parti-parti menelitinya dengan mendalam, undi beralih kepada Pembangkang dan kemenangan mengejutkan WP di GRC Sengkang mungkin kurang memeranjatkan, kata Encik Chua.

Bekas wartawan itu meneliti jumlah tanda suka atau 'likes', perkongsian, komen dan reaksi daripada lebih 8,000 catatan berkaitan GE dari 15 laman Facebook.

Laman-laman yang dianalisa termasuk empat parti politik, pertubuhan berita dan tokoh awam utama seperti Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan adik lelakinya Lee Hsien Yang, yang semasa pilihan raya mengumumkan beliau menyertai Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang baru dibentuk.

Encik Chua menggariskan empat isyarat yang, pada pendapat beliau, terlepas pandang oleh parti-parti politik.

Kurang peka terhadap COVID-19: Menjelang Hari Penamaan Calon, interaksi pengguna dengan catatan Facebook berkaitan COVID-19 merosot secara mendadak daripada puncaknya pada April. Ini membawa isyarat bahawa trend biasa di mana pengundi berpihak kepada parti memerintah semasa waktu krisis tidak akan menjadi kenyataan dalam GE.

Insiden Ivan Lim: Kontroversi berhubung calon PAP yang digugurkan di tengah-tengah kempen pilihan raya meneri a lapan kali lebih banyak interaksi berbanding pelancaran manifesto PAP. Ini adalah petanda besar yang pertama bahawa mesej utama parti itu mengenai pekerjaan tidak bergema dengan pengundi.

“Jurang semangat": Interaksi dengan catatan berkaitan mesej PAP tentang pekerjaan memuncak jauh lebih awal sebelum Hari Penamaan Calon manakala mesej Pembangkang yang menafikan PAP kebebasan bertindak tanpa batasan sampai kemuncaknya tepat pada masanya menjelang hari mengundi.

Kejutan Sengkang": Interaksi dengan catatan berkaitan calon-calon GRC Sengkang jauh lebih tinggi bagi catatan WP berbanding catatan PAP. Ini menunjukkan "jurang besar" dalam populariti antara kedua-dua pasukan.

Encik Chua menarik perhatian bahawa parti-parti politik memuat naik jumlah kandungan yang belum pernah dilakukan di Facebook, kebanyakanya dalam bentuk video. Bagi PAP pula catatan harian paling aktif ialah purata 12 sepanjang tempoh berkempen manakala PSP pula mengeluarkan sekurang-kurangnya 9.1 catatan sehari.

PENGUNDI YANG BERALIH UNDI

Tinjauan IPS itu juga mengajukan soalan kepada responden tentang sama ada mereka mengundi bagi parti yang lain tahun ini berbanding pada 2015.

Ia mendapati sekitar 64 peratus pengundi yang berpindah undi dari PAP kepada Pembangkang tahun ini adalah kaum lelaki manakala pada GE yang lalu, kebanyakan wanita - 70 peratus - yang berbuat demikian.

Pada 2015, 33 peratus pengundi yang tinggal di flat-flat satu dan dua bilik beralih undi dari PAP ke Pembangkang. Namun tahun ini, tiada seorang pun responden dalam kumpulan tersebut melaporkan beralih undi.

Kumpulan pengundi yang beralih undi dari Pembangkang ke PAP juga kurang berminat dalam pilihan raya dan paling kurang mengikuti e-rapat. Kumpulan ini paling prihatin tentang mutu calon, menurut dapatan kajian itu.

Mereka yang beralih undi dari PAP ke Pembangkang kemungkinan besar menandatangani satu petisyen pada enam bulan lalu dan mengikuti e-rapat pembangkang. Mereka paling kurang percaya akhbar dan radio dan paling prihatin tentang mempunyai pandangan alternatif di Parlimen.

Kajian itu juga mendapati pengundi yang beralih undi tidak menunjukkan perbezaan dalam penggunaan media mereka berbanding pengundi lain.

PENDAMPINGAN POLITIK ONLINE

Kepercayaan pada media massa meningkat secara keseluruhan pada GE tahun ini dengan dapatan badan pemikir menunjukkan bahawa pengundi lebih muda lebih cenderung berpaling kepada media sosial untuk meluahkan pandangan apabila mereka tidak mempercayai apa yang dilaporkan dalam media massa.

IPS juga menguji responden mengenai pengetahuan politik mereka dan mendapati mereka yang kurang berpengetahuan lebih cenderung meluahkan pandangan di media sosial.

Generasi tua 'boomers' mempunyai pengetahuan politik lebih tinggi secara keseluruhannya tetapi pengundi kali kedua menunjukkan kenaikan terbesar dalam pengetahuan politik mereka antara 2015 hingga 2020.   

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa