Forum Bloomberg 'bukti keyakinan' terhadap S'pura: Gan Kim Yong
Forum Ekonomi Baru Bloomberg pada bulan depan, merupakan satu "bukti keyakinan" masyarakat perniagaan terhadap Singapura dan keupayaan negara ini dalam menangani COVID-19, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Isnin (25 Okt).
SINGAPURA: Forum Ekonomi Baru Bloomberg pada bulan depan, merupakan satu "bukti keyakinan" masyarakat perniagaan terhadap Singapura dan keupayaan negara ini dalam menangani COVID-19, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Isnin (25 Okt).
Encik Gan berkata forum yang akan diadakan dari 16 hingga 19 November itu, juga penting bagi peranan Singapura sebagai sebuah hab perniagaan.
"Singapura adalah hab perniagaan dan perjalanan; ramai orang dari merata dunia datang ke sini untuk berjumpa, jalin rangkaian perniagaan dengan satu sama lain (dan) dengan syarikat-syarikat Singapura," katanya.
"(Ia) penting... untuk terus berhubungan dengan seluruh dunia. Ini akan bantu kita mengekalkan status sebagai sebuah hab bandar, dan ini seterusnya juga akan menyokong pemulihan ekonomi kita dan mewujudkan (pekerjaan baik) bagi rakyat Singapura."
Beliau menambah: "Ia penting bukan sahaja bagi industri MICE, tetapi juga penting bagi kedudukan strategik Singapura sebagai sebuah hab perniagaan. Forum Bloomberg ini adalah bukti keyakinan terhadap Singapura dan keupayaan kita menangani COVID-19 dalam perjalanan ke arah hidup bersama COVID-19.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak penganjur bagi memastikan ia dapat dianjurkan dengan selamat."
Bercakap kepada wartawan di luar satu acara, Encik Gan turut mengulas tentang saiz kumpulan rombongan yang dibenarkan makan bersama, sambil berkata bahawa salah satu daripada matlamat utama acara seperti forum Bloomberg adalah untuk menjalin rangkaian perniagaan.
"Anda ingin berjumpa seramai orang yang mungkin, " kata Encik Gan, yang juga merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19.
"Bagi memastikan forum Bloomberg dan acara-acara MICE berkesan, kami perlu memastikan bahawa mereka mempunyai ruang untuk berinteraksi antara satu sama lain supaya mereka boleh menjalin rangkaian," katanya.
Encik Gan menambah disebabkan anggota delegasi mempunyai waktu terhad di Singapura, mereka "perlu memanfaatkan sepenuhnya setiap masa yang ada".
"Ini sebabnya kami membenarkan mereka untuk memanfaatkan waktu makan untuk meneruskan perbincangan perniagaan."
Encik Gan berkata demikian sehari selepas agensi-agensi Pemerintah menjelaskan bahawa protokol bagi delegasi di forum itu serupa dengan aturan sedia ada bagi acara-acara MICE dan majlis perkahwinan.
Forum Bloomberg merupakan sidang global yang pertama diadakan di Singapura tahun ini. Lebih 300 anggota rombongan dari 51 negara dijangka menghadiri forum itu, menurut Bloomberg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.