Skip to main content

Singapura

Forum Bersamamu 2025 galak persediaan sebelum nikah; strategi bina rumah tangga kukuh

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persediaan sebelum berkahwin dan strategi membina rumah tangga yang kukuh adalah antara topik utama yang dibincangkan dalam Forum Bersamamu, anjuran Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Orang Islam (ROMM) pada pagi Ahad (1 Jun).

Forum sempena Pesta Keluarga Kebangsaan 2025 itu bertemakan “Perkahwinan: Sebuah Perjalanan Cinta Sejati”.

Acara dimulakan dengan majlis cukur rambut bagi sembilan bayi, diikuti dengan bengkel-bengkel bermanfaat serta aktiviti kekeluargaan yang menyeronokkan.

Forum Bersamamu kali ini dianjurkan dengan kerjasama antara ROMM dan rakan komuniti seperti MUIS, MENDAKI, PPIS, KidSTART dan Masjid Darul Ghufran.KEMBANGKAN KHIDMAT RESPONSIF KHUSUS KELUARGA MUSLIM

Related article image
Forum Bersamamu 2025 menarik 230 peserta, melebihi sasaran awal penganjur.

Pemangku Menteri Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim berkata: "Semenjak Bersamamu ditubuhkan enam tahun lalu, kita dapat melihat bukan sahaja prosesnya diperbaiki tahun demi tahun, tetapi juga bilangan mereka yang bekerjasama.

"Badan-badan seperti PPIS, M3 dan juga mereka yang tampil ke hadapan untuk menyumbang dalam proses mengukuhkan lagi keluarga perkahwinan semakin bertambah. Atas sebab itu, rangkaian yang sedang kita bangunkan semakin kukuh dan ini menunjukkan bagaimana kita sebagai satu masyarakat mahukan satu hubungan yang kukuh, yang mempunyai rangkaian, sokongan dan juga nilai-nilai baik yang harus kita bangunkan pada permulaan perkahwinan," kata Dr Faishal.

PPIS, misalnya, meluaskan khidmat sokongannya daripada menangani isu keluarga tiri hinggalah kepada persediaan menyeluruh sebelum dan selepas perkahwinan.

"Melalui Bersamamu, kami menyumbang pandangan dan kepakaran untuk membentuk dasar dan perkhidmatan yang responsif terhadap keperluan keluarga Muslim yang semakin berkembang. Kami juga bekerjasama rapat dengan ROMM dalam inisiatif seperti pembangunan keupayaan Kadi dan Naib Kadi. Kerjasama antara agensi ini memperkukuh keseluruhan ekosistem dalam membina keluarga yang kukuh dan berdaya tahan. Ini selaras dengan keprihatinan PPIS untuk memperkukuh institusi keluarga serta memperkasa dan mendorong keluarga ke arah kecemerlangan," kongsi Cik Aidaroyani Adam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS.

SOKONGAN DARI PASANGAN SENASIB

Related article image
Cik Nursyahidah Abdul Rahim dan suami bersembang dengan tetamu terhormat, Pemangku Menteri Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim. (Gambar: Roslinda Rahmat)
Antara pasangan yang hadir ialah Cik Nursyahidah Abdul Rahim dan suaminya.

Mereka sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan cahaya mata. Namun, forum ini memberi mereka harapan.

"Bila saya datang ke forum sebegini, saya rasa saya tidak keseorangan. Saya rasa 'Oh ada juga pasangan-pasangan yang melalui apa yang saya lalui dan apa bantuan yang tersedia, apa sokongan yang kita dapat'. Saya rasa ia benar-benar membantu saya dalam, bukan sahaja pengalaman, bukan sahaja pengetahuan, tapi juga dari aspek emosi. Saya rasa saya tidak keseorangan dan saya rasa ramai lagi yang juga seperti saya, yang juga satu hari menantikan ada sinar kebahagiaan untuk mereka juga," ujar Cik Nursyahidah.

Forum tahun ini menampilkan tiga panelis termasuk Presiden PERGAS dan Naib Kadi Ustaz Md Tarmizi Abdul Wahid; Pengasas IlmHub, Ustazah Shameem Sultanah; dan Pakar Terapi Kanan di PPIS Cik Nabilah Bagarib.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita