Forum Belia CNA bersama DPM Wong kupas isu kesihatan mental
SINGAPURA: Isu perlindungan perubatan lebih dimampui bagi masalah kesihatan mental adalah antara pelbagai isu yang sedang dibincangkan dan butirannya akan diumumkan apabila ia siap kelak.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata demikian di Forum Belia CNA semasa sesi soal jawab berhubung isu-isu keprihatinan para belia pada Jumaat (25 Nov).
"Berhubung kesihatan mental, masih terdapat stigma - anda enggan berbual mengenainya, anda berasa tidak selesa dan anda mungkin enggan tampil untuk mendapatkan bantuan," kata DPM Wong.
"Walaupun anda ingin mendapatkan bantuan, anda kurang pasti ke mana untuk mendapatkannya dan kemudian ada isu-isu berhubung perlindungan perubatan, perlindungan insuran, kemampuan.
"Jadi ada pelbagai isu yang kami sedar dan kami mahu memperbaikinya. Sudah ada sebuah pasukan bertindak dan butiran lanjut akan didedahkan nanti," kata Encik Wong.
DPM Wong menambah, Singapura perlu meningkatkan keupayaannya dalam menangani masalah kesihatan mental.
Beliau berkata, terdapat usaha berterusan untuk menghapuskan stigma berhubung masalah kesihatan mental demi menggalak lebih ramai orang mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, persoalannya sekarang adalah - siapa yang boleh menyediakan sokongan tersebut.
"Kita perlu bangunkan keupayaan merentasi pelbagai institusi, bukan sahaja dalam penjagaan kesihatan, bukan sahaja dalam IMH atau sektor swasta tetapi juga kaunselor sekolah yang juga berada di universiti, politeknik dan ITE kita. Juga di tempat kerja. Bina keupayaan supaya penduduk faham tentang kesihatan mental dan mampu memberikan tindak balas," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.