Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forum Bapa Sepanjang Hayat bincangkan isu pendidikan bapa & anak

Golongan bapa ada peranan yang penting dalam pendidikan anak-anak selain mendampingi mereka bagi ikatan yang kukuh.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan bapa ada peranan yang penting dalam pendidikan anak-anak selain mendampingi mereka bagi ikatan yang kukuh.

Demikian antara isu yang dikupas dalam forum anjuran Bapa Sepanjang Hayat (BSH) dan Pusat Kebapaan (CFF) pada Ahad (26 Mei).

Sesi yang diadakan sebagai sebahagian daripada kegiatan menjelang Hari Bapa BSH dan CFF itu juga bertujuan mengukuhkan ikatan sesama masyarakat dan memperkasakan golongan bapa.

Bagi forum yang diadakan di Hab Tampines Kita (OTH) itu, empat panelis diundang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam kedua-dua aspek pendidikan dan juga membina keluarga.



Mereka terdiri daripada Profesor Kejuruteraan di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan mantan Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Yaacob Ibrahim, Pengarah Pendidikan di Yayasan MENDAKI, Fairoz Leonard D’Cruz, Ketua Pegawai Eksekutif, SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Pakar Keluarga, Mohamed Khair Mohamed Noor serta mudir Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Herman Cher Ma'in.

Sepanjang dua jam, para panelis berkongsi kepakaran serta perspektif masing-masing dalam membesarkan anak-anak mereka.

Lebih menarik lagi, selain pendidikan anak-anak, topik bapa yang ingin sambung belajar sementara menjaga anak yang masih menuntut juga turut dibincangkan.



Seramai 50 peserta yang hadir itu bukan sahaja melibatkan golongan bapa, bahkan golongan ibu juga hadir untuk bertukar-tukar pandangan serta mengajukan soalan.

"Daripada soalan-soalan yang dikemukakan, saya nampak bahawa mereka peka dan mereka sedar bahawa peri pentingnya kebapaan terhadap membimbing keluarga lebih-lebih lagi terutamanya lagi anak-anak mereka supaya lebih berjaya lagi di bidang akademik dan juga di bidang agama insya-Allah," kata Encik Herman kepada wartawan Syawal Yusoff.

Encik Herman juga menekankan betapa masih ada ruang dan peluang untuk golongan bapa membimbing anak-anak mereka di setiap peringkat pendidikan anak-anak mereka.

"Bapa boleh menghadiri kegiatan-kegiatan sekolah anaknya dan kedua boleh merapatkan dirinya atau perkenalkan diri dengan guru-guru yang mengajar anaknya.

"Lagi satu peluang untuk bapa ialah untuk membina rangkaian di antara kawan-kawannya yang mungkin dapat memberikan manfaat kepada maklumat yang anaknya ada mengenai kerjaya yang boleh diceburi anaknya di masa hadapan," tambahnya.

KAD UCAPAN, MENARI K-POP ANTARA SAJIAN HARI BAPA

Menjelang sambutan Hari Bapa tahun ini, beberapa acara telahpun disusun untuk meraikan serta memupuk hubungan yang lebih kukuh di antara bapa dengan anak.

Hasil kerjasama dengan MENDAKI, lebih 7,500 pelajar dari Program Tuisyen MENDAKI akan menulis dan menghantar kad ucapan bagi menghargai jasa bapa mereka.

Para relawan BSH pula akan bantu untuk menghantar kad-kad tersebut secara pos kepada para bapa beberapa hari sebelum Hari Bapa pada 16 Jun.

Bagi menggalak gaya hidup yang lebih aktif pula, sebuah acara tarian 'K-Pop' turut disajikan melibatkan 10 pasangan bapa dan anak.

Ia diharap dapat memberi peluang untuk para bapa dan anak memahami minat masing-masing menerusi aktiviti yang menyeronokkan.



"Acara K-Pop ini juga sesuatu yang sedang popular. Jadi kita akan buat satu aktiviti ini untuk mengeratkan dan merapatkan hubungan dengan bapa dengan anak-anak mereka," kata Pengerusi BSH, Bramsha Osman.

Lebih banyak lagi kegiatan menarik boleh dijangkakan termasuk sesi 'jamming' dan bot naga boleh dijangkakan pada bulan kebapaan pada September ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan