Fort Connaught dibuka kepada orang ramai sempena ulang tahun ke-81 Singapura jatuh ke tangan Jepun
SINGAPURA: Ramai yang mungkin tahu tentang peranan penting yang dimainkan Kubu Fort Siloso dalam pertahanan Singapura semasa Perang Dunia Kedua (WWII),
Namun perkara yang sama mungkin tidak boleh dikatakan tentang Fort Connaught.
Sebagai salah satu daripada lima kubu yang dibina pada penghujung abad ke-19 untuk pertahanan Singapura, Fort Connaught mempertahankan laluan maritim Pelabuhan Keppel.
Tapak Meriam (Gambar: Perbadanan Pembangunan Sentosa)
Orang ramai kini berpeluang mengikuti lawatan berpandu khas ke Fort Connaught apabila ia dibuka buat pertama kalinya kepada awam sejak pembinaannya pada 1878.
Lawatan berpandu anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dan Lembaga Warisan Negara (NHB) itu adalah antara tawaran istimewa program ‘Battle for Singapore’ tahun ini.
Para pengunjung berpeluang meneroka kawasan Fort Connaught untuk melihat sekilas sejarah, pembinaan dan peranan kubu itu dalam pertahanan kawasan pesisiran pantai Singapura semasa pencerobohan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
KISAH MENARIK TENTANG KUBU FORT CONNAUGHT MENANTI PARA PESERTA
Pos Pemantauan (Gambar: Perbadanan Pembangunan Sentosa)
Fort Connaught dibina untuk mempertahankan Pelabuhan Keppel dan merupakan kemudahan pembinaan dan pembaikan kapal penting di Singapura.
Ia mempunyai meriam 9.2 inci yang digunakan untuk menentang tentera Jepun dan adalah yang terbesar di Pulau Sentosa
"Mereka boleh menyertai lawatan ini ke tempat-tempat eksklusif dan istimewa seperti Tembok Kubu, Pos Pemantauan, Tapak Meriam, dan Magazin Bawah Tanah. Dan ini tempat-tempat yang eksklusif untuk para peserta mempelajari tentang Perang Dunia Kedua," kongsi Ketua Bersama Inisiatif Budaya dan Warisan SDC, Encik Muhammad Saifullah Kamaludin.
Salah satu kisah menarik, tambah beliau, adalah kisah-kisah sama ada meriam-meriam di situ ditembak ke arah sasaran yang salah..
(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Meskipun sudah lebih 80 tahun sejak Perang Dunia Kedua berlalu, Encik Saifullah, 33 tahun, menekankan pentingnya memperingati sejarah, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda.
"Bukan hanya Fort Connaught sahaja, saya rasa kubu-kubu yang lain penting juga di Singapura, lagi-lagi semasa Pertempuran Singapura. Ramai askar dikerahkan dan juga meriam beroperasi pada masa itu untuk mempertahankan Singapura daripada serangan Jepun. Saya rasa itu amat penting untuk generasi-generasi akan datang untuk mempelajari sejarah kita.
"Lawatan ini menunjukkan tempat-tempat yang tidak pernah diketahui orang ramai dan para peserta boleh mempelajari lebih banyak tentang Perang Dunia Kedua," tambah beliau.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Laluan ke Fort Connaught agak mencabar kerana ia cuba "mengekalkan ekologi, warisan dan integriti struktur' tapak bersejarah itu.
Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Muzium NHB Encik Gerald Wee berkata lembaga itu sentiasa mencari tapak-tapak tersembunyi untuk dikongsi bersama orang ramai.
"Ini dengan harapan mereka akan faham dan pelajari lebih lanjut tentang sejarah perang dunia. Kesudahannya, kami ingin orang ramai meraih inspirasi daripada daya tahan dan perpaduan yang ditonjolkan oleh para perintis perang kita," tambahnya.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Lawatan berpandu ke Fort Connaught akan diadakan antara 11 Februari hingga 26 Februari ini.
Tiket-tiket berharga S$20, dan dibuka untuk pendaftaran pada 8 Februari menerusi laman https://bsg2023.peatix.com.
Hanya mereka berusia 13 tahun ke atas digalak untuk sertai aktiviti itu dan mereka di bawah usia 16 tahun perlu ditemani orang dewasa.
'Battle for Singapore' berlangsung dari 10 Februari hingga 5 Mac ini dan menampilkan pelbagai program yang membawa orang ramai meneroka sejarah perang Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.