Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Fort Canning...penting dalam sejarah kita, sejarah S'pura yang panjang' - 3 taman bersejarah dibaik pulih

Sebanyak tiga taman bersejarah akan dibaik pulih dan diberi wajah baru di dalam dan sekitar Taman Fort Canning sebagai sebahagian daripada usaha Lembaga Taman Negara (NParks) untuk memulihara warisan kawasan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Feb 2018 02:21PM Dikemas Kini : 03 Feb 2018 10:52PM

SINGAPURA: Sebanyak tiga taman bersejarah akan dibaik pulih dan diberi wajah baru di dalam dan sekitar Taman Fort Canning sebagai sebahagian daripada usaha Lembaga Taman Negara (NParks) untuk memulihara warisan kawasan tersebut.

Dikenali sebagai Taman Diraja, Kebun Bunga Pertama dan Taman Jubli, taman-taman berkenaan akan menyusur sejarah Singapura pada abad ke 14, 19 dan 20, kata Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong, pagi tadi (3 Feb).

Dua jejak warisan juga akan dipulihara sebagai sebahagian daripada usaha naik taraf, kata Encik Wong semasa berucap di pelancaran Festival at the Fort iaitu sebuah acara bagi meraikan sejarah Fort Canning Hill dan kawasan sekelilingnya.

Kawasan tersebut selama ini juga dikenali sebagai Bukit Larangan dalam bahasa Melayu.

"Fort Canning merupakan bahagian penting dalam sejarah kita, sejarah Singapura yang panjang, jauh sebelum kemerdekaannya. Kami mahu memastikan kisah-kisahnya terus diingati. Itulah sebabnya kami mempunyai rancangan untuk melakukan kerja-kerja naik taraf di Fort Canning," kata Encik Wong.

Sebagai contoh, Kebun Bunga Pertama akan dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan yang diperkenalkan di Singapura pada awal abad ke-19 yang penting bagi Perdagangan Rempah.

Sebahagian daripada Armenian Street juga akan dikhaskan untuk pejalan kaki dan diubah menjadi sebuah taman sebagai sebahagian daripada tempat riadah Kebun tersebut.

Menurut Encik Wong, Taman Fort Canning juga akan lebih mudah dikunjungi.

Misalnya, tangga bergerak yang berbumbung akan membawa para pengunjung dari Stesen MRT Fort Canning ke Pusat Fort Canning.

“Kami sedang membina penghubung untuk menghubungkan taman itu dengan mercu tanda berdekatan. Tangga bergerak berbumbung juga akan membawa para pengunjung dari stesen MRT Fort Canning ke puncak bukit dan dari Stamford Green ke Taman Fort Canning.”

Pusat Fort Canning pula akan menjadi tuan rumah pameran utama sempena 200 tahun Singapura pada tahun depan serta ruang bagi pelbagai kegiatan baru.

Orang ramai dipelawa memberi saranan tentang rancangan tersebut antara 3 hingga 11 Februari melalui laman NParks.

Kerja-kerja naik taraf itu akan bermula pada bulan Mac dan dijangka siap secara bertahap-tahap mulai Jun 2019. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan