"Football For Hope: Battle of The Legends" berjaya kumpul hampir S$90,000 untuk NKF
SINGAPURA: Inisiatif amal "Football For Hope: Battle of The Legends" berjaya mengumpulkan dana hampir S$90,000 untuk Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) setakat ini.
Inisiatif itu dianjurkan pesakit ginjal yang menerima rawatan dialisis di NKF, Encik Samsudin Rahmat, yang merupakan bekas pemain bola sepak negara.
Petang tadi (25 Dis), lebih 800 penyokong menyaksikan perlawanan sumbangsih antara pasukan Stable Boys United dan Singapore All Stars di Stadium Jalan Besar.

Selama lebih sejam, para penyokong seronok dapat menyaksikan para pemain legenda seperti Fandi Ahmad, Malek Awab dan Nazri Nasir beraksi di padang.
Di akhir perlawanan pasukan Singapore All-Stars kalah 6-4 di tangan Stable Boys United yang turut dianggotai penyanyi Hady Miza.
GALAK PARA PESAKIT GINJAL TERUS KEKAL AKTIF DAN TABAH HARUNGI KEHIDUPAN
Namun, apa yang lebih penting adalah mesej yang ingin disampaikan, iaitu untuk menggalak para pesakit ginjal untuk terus kekal aktif dan tidak patah semangat dalam mengharungi kehidupan.
"Sebagai seorang pesakit ginjal, saya ingin terapkan perkara utama - jangan takut jumpa doktor apabila anda rasa anda mempunyai sakit ginjal. Jumpa doktor secepatnya dan dapatkan rawatan awal. Saya adakan perlawanan seperti ini untuk mengemukakan bahawa penyakit ginjal ini harus dielakkan," kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
"Acara ini juga berharap untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesihatan ginjal dan menggalak semua untuk menjaga kesihatan menerusi bola sepak sebagai satu sukan.
"Ia penting untuk Singapura sedang kita mendakapi strategi "SG Lebih Sihat" untuk memperbaiki kesihatan dan menangani penyakit-penyakit kronik menerusi penjagaan pencegahan. Dalam pada itu, NKF juga berharap untuk mengumpul dana bagi menyokong sekitar 5,500 pesakit ginjal," kata Dr Faishal kepada BERITA Mediacorp.

NKF berharap dapat mengumpul sebanyak S$100,000. menerusi inisiatif "Football For Hope".
Sebahagian besar daripada jumlah dana yang diterima sejauh ini disumbangkan beberapa syarikat termasuk Mitsubishi Electric, Woh Hup, Singapore Pools dan OUE.
PARA PEMAIN TURUN PADANG, RAIKAN HARI JADI KE-82 RAHMAT MAWAR
Perlawanan sumbangsih itu juga mengiktiraf sumbangan Rahmat Mawar, legenda bola sepak Singapura yang telah mengharumkan nama negara dalam tahun 1970-an.
Encik Rahmat yang menyambut ulang tahun beliau yang ke-82 pada Isnin (25 Dis), diwakili anak-anak dan cucunya kerana tidak dapat hadir atas sebab-sebab kesihatan.
Malah, semasa dihubungi BERITA Mediacorp petang tadi, Encik Rahmat berkata bahawa beliau menghadapi kesukaran berjalan jauh atas sebab masalah pernafasan.

Menantunya, Encik Md Shaari Harun berkata: "Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Samsudin dan rakan-rakan kerana bersusah payah menganjurkan acara ini."
"Ia satu penghormatan bukan sahaja kepada Rahmat Mawar, juga kepada rakan-rakan seangkatan yang banyak menyumbang kepada bola sepak Singapura," tambah beliau lagi.
Orang ramai masih boleh terus menyalurkan sumbangan kepada inisiatif itu menerusi Giving.SG sehingga hujung tahun ini.
Pihak NKF berharap dapat terus bekerjasama dengan Encik Samsudin untuk mengadakan acara "Football For Hope" setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.