Skip to main content

Singapura

FOKUS tinjau keberkesanan Zon Warga Emas

Kini terdapat tujuh Zon Warga Emas di merata negara. Jumlahnya dijangka meningkat lima kali ganda dalam masa empat tahun lagi. Dalam FOKUS minggu ini, BERITAMediacorp meninjau keberkesanan Zon Warga Emas.

Anggaran Waktu Membaca:

Kini terdapat tujuh Zon Warga Emas di merata negara.

Jumlahnya dijangka meningkat lima kali ganda dalam masa empat tahun lagi.

Skim itu dilancarkan pada 2014 bagi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat bagi warga tua.

Dalam FOKUS minggu ini, wartawan Nur Isyana Isaman meninjau keberkesanan Zon Warga Emas.

Skim Zon Warga Emas diumumkan oleh Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim semasa Perbahasan Jawatankuasa Peruntukan, dua tahun lalu.

Program itu melibatkan pemasangan ciri-ciri keselamatan jalan raya yang mesra warga emas, di kawasan-kawasan perumahan yang ramai penduduk tua, banyak berlaku kemalangan melibatkan mereka, dan berdekatan tempat-tempat kemudahan untuk golongan itu.

Ciri-ciri tersebut disesuaikan dengan keadaan jalan raya di setiap zon.

Kini, tujuh Zon Warga Emas telahpun siap. 

Bukit Merah View menjadi estet pertama yang dilengkapi zon itu. Ia siap pada Oktober 2014.

Ini diikuti pula oleh Zon Warga Emas di Jurong West Street 52 yang siap pada Februari tahun lalu.

Dan baru-baru ini, sekitar dua bulan lalu, zon tersebut siap di lima lokasi iaitu Bedok North Street 3, Lengkok Bahru, Tampines Street 11, Woodlands Drive 14 dan Yishun Ring Road. 

Zon Warga Emas di Yishun Ring Road meliputi 1.7 kilometer.

Ia bermula dari kawasan dekat Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim hingga ke simpang antara Yishun Ring Road dan Yishun Ave 3. 

Apabila memasuki Zon Warga Emas, para pemandu disambut dengan sebuah papan tanda, yang turut memaklumkan tentang had kelajuan untuk kawasan itu.

"Ciri seterusnya adalah mempunyai satu aras di mana ketinggiannya tidak berapa tinggi supaya jikalau ada kecemasan, kenderaan-kenderaan boleh belok dan pergi ke lintasan yang lain untuk meneruskan perjalanan," kata Dr Faishal Ibrahim, yang merupakan AP GRC Nee Soon.

Zon itu juga dilengkapkan dengan lintasan dua peringkat yang membolehkan warga emas untuk berhenti seketika di pembahagi jalan.

Lintasan tidak rasmi itu juga dinaikkan sedikit supaya mereka yang melintas kelihatan lebih ketara kepada pemandu. Ciri itu juga serupa bonggol jalan, dan memperlahankan kenderaan.

Seorang penduduk Yishun, Cik Azizah Abdul Kader memberi pendapatnya tentang lintasan dua peringkat itu: "Kalau kita nampak kereta datang, kita berdiri. Selepas itu, kita jalan ke tengah. Selepas itu, kita tunggu sekejap, tengok sebelah kiri tak ada apa-apa, kita terus jalan."

Di samping itu, warga emas mempunyai lebih banyak masa untuk menyeberang jalan di lintasan berlampu isyarat. Lintasan itu juga sudah dilebarkan.

Encik Janis Kassim, yang menetap di Yishun, memuji ciri-ciri tersebut: "Mereka yang menggunakan tongkat - itu bagus untuk mereka, lagi lebar. Dan masa, saya lihat, panjang sikit, lagi bagus. Kadang-kadang, ada orang-orang tua kaki sakit kan."

"Senang melintas, ada lintasan zebra. Kalau lampu 'green man', kita boleh melintas. Tak macam dulu, dulu kenderaan laju-laju, kita nak melintas, susah," tambah Cik Maimon Samuri, yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak. 

Ciri baru yang lain juga disambut baik oleh seorang pengguna jalan raya di Yishun.  

Cik Katijah Ali mengulas tentang penutup-penutup longkang yang kini dipasang dengan salutan anti-gelincir. Beliau berkata: "Dulu, kita perlu berhati-hati, gunakan selipar yang betul, tebal-tebal. Kalau tidak, nanti licin. Tapi di sana, longkangnya tak licin, dah bagus, jalan tetap saja."

Menurut Dr Faishal, bagi para pemandu, Zon Warga Emas menimbulkan suasana yang berlainan, di mana mereka perlu meningkatkan tahap berjaga-jaga.

Dan secara tidak langsung, tambah Dr Faishal, Zon Warga Emas telah mewujudkan "wadah bagi pertalian emosi di kalangan pengguna-pengguna jalan raya".

"Apabila seorang pemandu masuk ke dalam Zon Warga Emas ini, dengan melihat isyarat dan merasakan suasana di zon ini, mereka boleh merasakan bahawa mereka perlu memainkan peranan untuk meningkatkan tahap keselamatan. Dan keselamatan ini adalah bagi warga emas dan kerana mereka rasa prihatin tentang kehidupan warga emas.

"Dan ini adalah satu jalinan yang baik kerana kalau kita rasa prihatin tentang semua pengguna jalan raya, tidak kira mereka yang berjalan kaki, mereka yang berbasikal dan lain-lain, dan semua golongan ini memainkan peranan masing-masing, ia akan meningkatkan lagi tahap keselamatan kita apabila kita menggunakan jalan raya di merata Singapura," jelas Dr Faishal. 

Pada akhir tahun nanti, Zon Warga Emas di empat lagi kawasan dijangka siap, iaitu Marine Crescent, Hougang, Clementi dan Toa Payoh.

Empat zon lain di Bedok North, Telok Blangah, Woodlands dan Commonwealth dijangka siap menjelang suku ketiga tahun depan.

Ini sekaligus membawa jumlah keseluruhan Zon Warga Emas kepada 15.

Dan menjelang 2020, pihak berkuasa merancang untuk melaksanakan 35 zon sedemikian.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita