FOKUS: Bagaimana cara manfaatkan Kredit SkillsFuture?
Kurang 1 peratus rakyat sudah menggunakan Kredit SkillsFuture mereka dalam masa tiga bulan sejak ia dilancarkan awal tahun ini.
SINGAPURA: Kurang 1 peratus rakyat sudah menggunakan Kredit SkillsFuture mereka dalam masa tiga bulan sejak ia dilancarkan awal tahun ini.
Pemerintah menyifatkannya sebagai perangkaan yang sihat dan respons yang baik. Namun, jika anda belum menggunakan Kredit SkillsFuture, jangan khuatir kerana ia tiada tarikh tamat tempoh.
Laporan FOKUS minggu ini menjelaskan bagaimana orang ramai boleh memanfaatkan Skim Kredit SkillsFuture.
Skim Kredit SkillsFuture bermula pada 1 Januari lalu. Di bawah skim itu, setiap rakyat yang berusia 25 tahun dan ke atas menerima kredit bernilai S$500 bagi membayar kursus kemahiran.
Sekitar S$5.2 juta sudah diagihkan dan lebih 18,000 rakyat daripada 2.5 juta yang layak sudah menggunakan kredit mereka dalam tiga bulan pertama tahun ini.
Lebih 12,500 kursus disediakan - dari memasak hingga mendandan rambut.
Menurut Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA), lima bidang popular di bawah Skim Kredit SkillsFuture adalah maklumat dan perhubungan, keselamatan dan penyiasatan, kemahiran bahasa, produktiviti dan inovasi, serta makanan dan minuman (F&B).
KURSUS POPULAR DI MENDAKI SENSE
Apa pula kursus-kursus yang menerima sambutan hangat di MENDAKI SENSE, yang sebahagian besar pesertanya merupakan individu Melayu/Islam?
Pengarah Eksekutif MENDAKI SENSE, Mohd Heikal Yusope, berkata: "Antara kursus-kursus yang amat popular adalah kursus-kursus seperti komputer, khususnya kursus seperti Microsoft Office, Powerpoint dan juga Excel.
"Kami amat berbangga kerana kami mendapat banyak pendaftaran dari warga emas dan ini amat memberangsangkan.
"Untuk generasi muda pula, kursus-kursus yang mereka minati adalah kursus-kursus seperti kecemerlangan perkhidmatan dan kepimpinan."
Pada bulan lalu, lebih 380 orang menyertai kursus-kursus tersebut menggunakan Kredit SkillsFuture mereka. Jumlah itu meningkat hampir tiga kali ganda daripada hanya 145 peserta pada bulan Januari.
Awal bulan ini, WDA memberi amaran tentang penipuan Kredit SkillsFuture yang tersebar di Internet.
Beberapa pertubuhan menawarkan wang tunai kepada orang ramai jika mereka mendaftar untuk kursus-kursus tertentu menggunakan Kredit SkillsFuture. Mereka tidak perlu menghadiri kursus tersebut, namun Kredit SkillsFuture akan diberikan kepada penyedia kursus itu.
Menurut seorang peguam, Amolat Singh dari Amolat & Partners, kedua-dua penyedia dan individu yang terlibat dalam penipuan itu akan dikenakan hukuman yang setanding, kerana di bawah undang-undang, individu itu bersubahat.
Kata Encik Heikal lagi: "Ramai rakyat kita yang tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan Kredit SkillsFuture ini dengan secara seluruhnya.
"Contohnya, ramai rakyat yang mungkin tidak tahu bagaimana untuk memasuki portal SkillsFuture dan untuk mendaftarkan diri mereka untuk kursus-kursus yang ada."
Jadi, bagaimana untuk menggunakan Kredit SkillsFuture anda? Anda perlu melungsuri laman SkillsFuture.
Tekan butang cari untuk mengetahui kursus-kursus yang layak bagi Kredit SkillsFuture. Setelah mengenal pasti kursus yang ingin disertai, tekan sebuah ikon untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kemudian, anda boleh mendaftarkan diri untuk kursus itu, namun hanya melalui penyedianya dan bukan melalui portal Kredit SkillsFuture.
Selepas pendaftaran disahkan, masuk ke akaun Kredit SkillsFuture anda menggunakan SingPass untuk membuat tuntutan.
Jika anda tidak mahu mendahulukan wang tunai, pastikan anda membuat tuntutan itu sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh mula kursus. Kemudian ketika anda membuat tuntutan, pilih untuk menghantar bayaran kepada penyedia kursus.
Anda juga boleh mengemukakan soalan, menghantar maklum balas dan mendapatkan lebih banyak bantuan berkaitan Kredit SkillsFuture di portal tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.