FOKUS: Anak-anak kecil impikan masa depan S'pura yang berteknologi, mampan & mesra alam
Pernahkah anda tertanya-tanya, bagaimanakah agaknya wajah Singapura Kita, satu generasi dari sekarang? Itulah juga soalan yang diajukan BERITAmediacorp kepada sekumpulan murid Darjah 2 untuk menagih jawapan mereka.
BERITAmediacorp: Lebih seminggu sudah berlalu, sejak Singapura meraikan Hari Kebangsaan yang ke-54 dengan tumpuan khas diberikan kepada tahun Dwiabad atau Bicentennial dan Generasi Merdeka.
Lantaran itu, pernahkah anda tertanya-tanya, bagaimanakah agaknya wajah Singapura Kita, satu generasi dari sekarang?
Itulah juga soalan yang diajukan BERITAmediacorp kepada sekumpulan murid Darjah 2 untuk menagih jawapan mereka.
NEGARA PESAT MEMBANGUN SEJAK 1965
Umum tahu betapa pesatnya pembangunan negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada 1965.
Dari sebuah pulau kecil hingga menjadi antara pusat inovasi dan pendidikan terbaik di rantau.
Memandang ke depan pula, terbetik dalam kotak pemikiran apakah pula visi golongan muda tentang Singapura, 20 hingga 30 tahun akan datang.
Bagi mendapatkan jawapan itu, BERITA menemui anak-anak kecil iaitu para pelajar Darjah 2 dari Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim.
Ditubuhkan pada 1995 dan dinamakan sempena mantan menteri negara Allahyarham Ahmad Ibrahim, sekolah itu kaya dengan sejarah.
Lawatan ke sana juga membuka mata tentang bagaimana sejarah digabungkan dengan pemodenan untuk membawa manfaat kepada ramai.
Sekolah tersebut misalnya, dilengkapi dengan beberapa kemudahan yang baru seperti Dewan Sukan Dalam Bangunan, padang buatan dan makmal pengajaran.
Dalam pada itu, terdapat satu kurikulum menarik yang ditawarkan iaitu pelajaran Perubatan Tradisional Asia yang memanfaatkan pendekatan teknologi.
WAWASAN ADALAH SATU ASPEK PENTING KEHIDUPAN
BERITA disertai Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim untuk sama-sama mencungkil apakah visi anak muda kita bagi negara.
"Wawasan adalah satu aspek yang paling penting dalam kehidupan kita dan anak-anak kita harus mempunyai wawasan kerana apabila seseorang itu ada wawasan ia memberi laluan, motivasi kepada mereka, lagi-lagi di Singapura dengan ekosistem pendidikan yang baik dan amat maju dan juga dengan peluang-peluang yang ada.
"Ia boleh memberikan ruang kepada anak-anak kita untuk bukan saja memikirkan visi atau wawasan mereka tetapi merealisasikan wawasan ini supaya ia boleh mendatangkan kebaikan warga kita bersama," kongsi beliau yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Selama sejam, kami menyertai kelas Darjah 2 yang cuba menghasilkan visi mereka tentang 'Singapura Kita' 20-30 tahun mendatang.
Kami menyaksikan sendiri bagaimana kanak-kanak berkenaan diperkenalkan kepada keadaan negara pada masa lampau dan bagaimana ia berubah saban tahun.
Mereka juga diperkenalkan dengan beberapa sampel lukisan masa depan negara yang dilakukan sebelum ini untuk mendapatkan ilham sendiri.
Malah kami diberi kesempatan untuk menyertai 'Kumpulan Harimau' dalam "melakarkan masa depan Singapura".
"Saya dapat melihat dan juga memikirkan bagaimana imaginasi mereka apabila kita ke tahap masa hadapan. Bagaimana mereka lihat, wawasan mereka dan visi mereka dan kalau kita lihat lukisan-lukisan ini, ia memaparkan unsur-unsur ICT penting dan menyeluruh dalam kehidupan generasi akan datang," kata Dr Faishal.
ANAK KECIL IMPIKAN BANGUNAN ADA PANEL SURIA, KERETA TANPA PEMANDU, ROBOT DI SEKOLAH
Sejurus selepas kegiatan melukis masa depan negara tamat, kami melihat sendiri beberapa lukisan yang dibuat anak-anak kecil berkenaan.
Mereka mahukan bangunan-bangunan menghijau dan mesra alam seperti menggunakan panel-panel suria.
Ada yang sudah membayangkan sekolah masa depan yang mana para murid tidak lagi perlu membawa beg ke sekolah sebaliknya cermin mata khas yang mempunyai fungsi kecerdasan buatan (AI) yang dapat memancarkan kandungan pembelajaran yang harus diikuti.
Bagi aspek pengangkutan dan tenaga manusia, para murid berkenaan berkongsi sebahagian besar akan dioperasi tanpa manusia atau menampilkan ciri-ciri penggunaan robot.
Jelas, anak muda kita mahukan sebuah negara yang mampan, mesra alam dan paling jelas penggunaan teknologi canggih dalam kehidupan seharian mereka.
Adakah itu sekilas Singapura Kita 20 hingga 30 tahun nanti? Begitulah nampaknya jawapan anak-anak kecil yang ditemui.
Selepas melihat kesemua visi yang dikongsi itu, Dr Faishal memberitahu bahawa beliau yakin kesemuanya dapat dikecapi Singapura pada masa depan.
Beliau berkongsi: "Di MOE, kita juga tahu dan mahukan teknologi digunakan dalam proses pengajaran guru dan juga proses pembelajaran anak-anak kita.
"Jadi kita sedang membangunkan, aspek-aspek yang tertentu dan kita ada pelan induk tentang bagaimana penggunaan ICT dan ini bukan saja dari aspek bagaimana kita boleh meningkatkan tahap interaktif tetapi memudahkan proses pembelajaran tetapi yang masih kita perlukan adalah proses pembelajaran dan juga hubungan antara guru dan pelajar masih diperlukan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.