Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FOKUS: Adakah usaha lahirkan generasi pendeta pelapis mencukupi?

Ketandusan bakat-bakat pelapis meneruskan perjuangan memperkasa bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu menimbulkan tanda tanya mengenai arah tuju perkembangan bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketandusan bakat-bakat pelapis meneruskan perjuangan memperkasa bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu menimbulkan tanda tanya mengenai arah tuju perkembangan bahasa Melayu.

Adakah usaha-usaha sedia ada dalam "melahirkan" generasi pendeta pelapis mencukupi? BERITAMediacorp meninjau isu itu dalam FOKUS minggu ini.

PEMERGIAN TOKOH BAHASA, BUDAYA TINGGALKAN KESAN MENDALAM

Pemergian tokoh-tokoh gergasi dunia bahasa dan budaya Melayu tanah air seperti Pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, sasterawan disegani Cikgu Aliman Hassan serta tokoh bahasawan, Cikgu Mohamed Naim Daipi, meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Melayu.

Persoalannya adalah, adakah ada individu pelapis bagi mengganti ataupun mengisi kekosongan yang ditinggalkan?

Proses "melahirkan" generasi pendeta pelapis memakan masa. Adakah usaha-usaha sedia ada mencukupi untuk menarik minat serta menyokong pembangunan golongan pelapis ini di kalangan generasi muda Singapura?

ANTARA CIRI PENDETA IALAH "BERBUDI BICARA"

Cikgu Mohamed Noh Daipi, pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), menerangkan bahawa salah satu ciri pendeta adalah seseorang yang "berbudi bicara".

"Seorang yang berbudi bicara itu dapat mengimbangi fikiran, idea dan tindakannya mengikut syariah, nilai-nilai moral agama dan juga adat dan masyarakat.

"Dan beliau tahu apa yang hendak dikatakan, bagaimana hendak mengatakannya, sesuai dengan khalayak dan keadaan yang ditanyakan masyarakat. Yang penting, seseorang pendeta itu harus diakui oleh masyarakatnya sendiri," kata Cikgu Mohamed Noh Daipi.

Mahasiswa tahun ketiga di Jabatan Pengajian Melayu NUS, Said Mahadi Said Izzidin, berkata: "Pendeta pelapis itu harus ada. Tetapi, saya rasa seiring dengan itu, kita harus meningkatkan lagi ataupun mengadakan anjakan paradigma di dalam masyarakat sendiri untuk lebih menghargai tentang budaya dan bahasa Melayu. Supaya pendeta ini dapat disanjung oleh masyarakat kita sendiri."

KEMPEN BULAN BAHASA MENYUMBANG KEPADA PERJUANGAN

Salah satu wadah yang menyumbang kepada perjuangan tersebut adalah kempen tahunan Bulan Bahasa.

Jumlah peserta Bulan Bahasa terus meningkat saban tahun sejak 2011, dengan kempen tahun lalu menarik penyertaan lebih 43,000 orang, kenaikan 100 peratus berbanding 2014.

Tahun lalu juga mencatat tambahan acara Bulan Bahasa sebanyak 40 peratus.

"Saya rasa Bulan Bahasa boleh diluaskan lagi untuk menjadikannya lebih inklusif. Harus ada kesinambungan, bukan sahaja satu acara yang tamat begitu sahaja. Tetapi, ada kesinambungannya supaya budaya itu dapat disanjung dan dimartabatkan," kata Said Mahadi.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), menggariskan arah tuju usaha-usaha yang sedia ada.

"Kita mahu memberikan peluang bagi mereka yang ghairah dan mempunyai minat untuk mendalami usaha ini, di mana kita akan melakarkan program-program yang memberikan peluang untuk mereka memikirkan dengan lebih mendalam, aspek-aspek bahasa, budaya dan kesusasteraan.

"Dan juga memberikan lebih banyak wadah bagi masyarakat kita memikirkan dan juga membangunkan usaha ini, supaya pada masa akan datang kita boleh mendapatkan satu generasi pendeta pelapis untuk meneruskan perjalanan, yang sudah dilakarkan oleh para pendeta yang kita kehilangan," kata Dr Faishal.

SUKATAN PELAJARAN KHUSUS TURUT MAINKAN PERANAN

Selain kempen Bulan Bahasa, sukatan pelajaran khusus, seperti program-program EMAS dan MLEP, serta latihan dan peluang bagi para guru mempertingkat kemahiran, juga menyokong ke arah usaha mengangkat bahasa Melayu.

Naib Presiden Asas '50, Suraidi Sipan, berkata: "Kita harus menggembleng tenaga dan harus bersatu bagi mempraktikkan impian agar ia menjadi satu kenyataan.

"Pendeta itu seorang yang berilmu daripada segala hal dan kalau kita hendak wujudkan orang-orang seperti ini, banyak yang perlu kita fikirkan.

"Jika keseluruhan masyarakat sama-sama memberi sokongan dan dorongan yang cukup padu dan padat, saya percaya kita dapat mengangkat bahasa Melayu itu ke arah yang sama taraf dengan negara-negara jiran kita."

Yang pasti, terpulang kepada generasi muda Singapura untuk menyahut cabaran dalam meneruskan perjuangan memartabatkan persuratan Melayu.

Mahasiswa tahun ketiga, Bahasa dan Sastera Melayu di UniSIM, Rasyidah Rosdi, berkata: "Sebagai golongan muda, saya rasa kerana kita adalah pelapis. Tanpa anak Melayu sendiri, siapa yang akan meneruskan pelajaran ini."

Perjuangan memartabat dan memperkasa bahasa Melayu akan terus berliku. Justeru keseluruhan masyarakat Melayu Singapura secara amnya memainkan peranan penting untuk sama-sama memberi dorongan padu dalam usaha "melahirkan" para pendeta pelapis, terutama di kalangan generasi muda.

"Generasi yang berbudaya, mempunyai penghayatan bahasa dan kesusasteraan adalah satu masyarakat yang murni dan juga cantik, kalau kita lihat menerusi kaca mata budaya kita," kata Dr Faishal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan