Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Flat konsep terbuka HDB tawar lebih banyak 'kebebasan', namun nilai jualan semula boleh terjejas, kata pereka dalaman

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ketika Cik Nad memilih flat empat biliknya di bawah projek Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Julai 2020, beliau sudah membayangkan sebuah rumah dengan susun atur yang jauh berbeza daripada flat perumahan awam yang lain.

Bersama suaminya, mereka berbincang dengan lima pereka dalaman tentang kemungkinan merobohkan semua dinding di flat mereka untuk mewujudkan sebuah apartmen dengan hanya satu bilik tidur.

"Saya tidak mahu ia kelihatan seperti susun atur BTO biasa," katanya kepada Mediacorp. "(Dan) ia tidak sesuai dengan gaya hidup kami untuk mempunyai begitu banyak bilik tidur yang tidak digunakan."

Satu bilik digabungkan dengan bilik tidur utama dan dijadikan ruang belajar ketika bekerja dari rumah, dan satu lagi digunakan untuk membesarkan ruang tamu mereka.

Justeru, beliau amat tertarik dengan flat baharu berkonsep terbuka HDB yang bakal ditawarkan pada Oktober.

Konsep "White Flats" itu akan dirintis bagi projek BTO di kawasan Kallang-Whampoa, dengan ruang tamu dan bilik tidur tidak dipisahkan oleh dinding, kata HDB pada Isnin (27 Mei).

Susun atur itu memberi kebebasan kepada pembeli untuk menyesuaikan ruang flat berdasarkan keperluan mereka.

Bagi Cik Nad, jika ditawarkan flat sedemikian empat tahun lalu, beliau dapat mengurangkan kos ubah elok sekitar S$50,000 termasuk merobohkan beberapa dinding dan mencipta siling palsu untuk menyembunyikan palang.

PILIHAN BERUBAH-UBAH

Sejak beberapa tahun lalu, lebih ramai orang mahukan fleksibiliti dalam susun atur rumah mereka, kata pemain industri dan pakar kepada Mediacorp.

"Sebelum (tahun) 2000-an, pembeli secara amnya bimbang jika bilik yang ada cukup untuk menempatkan keluarga empat orang atau lebih. Penyediaan dinding adalah penting," kata Profesor Tai Lee Siang, ketua seni bina dan reka bentuk mampan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Tetapi dengan perubahan demografi dan saiz keluarga yang lebih kecil, terdapat kurang keperluan untuk mengekalkan jumlah bilik, katanya.

Pemilik rumah juga kerap menukar bilik tidur menjadi pejabat.

"Ini selalunya melibatkan dinding dirobohkan untuk mencipta sekatan dan pintu kaca yang boleh dibuka," katanya.
Gambar: HDB
Encik Ryan Ho, pengurus cawangan di firma reka bentuk dalaman Dots 'n' Tots, berkata kira-kira 20 peratus pelanggannya meminta dinding dirobohkan atau dialih.

Ramai daripada mereka juga mahukan ruang tamu yang lebih besar, tetapi keperluan pelanggan berbeza-beza bergantung pada tahap kehidupan mereka, katanya.

Prof Tai juga berkata langkah HDB itu adalah baik kerana ia menyediakan kanvas kosong untuk pemilik menyesuaikan dan menggunakan ruang dengan pembaziran yang minimum.

"Apa yang kami alami sekarang ialah orang sering mengadu tentang ruang terbuang dalam susun atur BTO mereka. Kami benar-benar tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya," kata Cik Yeap Wei Ting, seorang pereka dalaman kanan di 9 Creation.

Beliau berkata mempunyai susun atur konsep terbuka memberi pereka ruang untuk meneroka serta mungkin juga memperkenalkan bahan baharu ke pasaran Singapura.

UNTUK YANG MUDA DAN TUA?

HDB berkata flat berkonsep terbuka itu akan menarik minat pemilik rumah muda yang mungkin lebih suka mengukir ruang dalam rumah menggunakan idea susunan perabot.

Cik Yeap berkata sesetengah pelanggan yang lebih muda mungkin mahukan ruang yang fleksibel untuk memenuhi hobi mereka.

"Kami memerlukan ruang untuk meletakkan, sebagai contoh, piano atau alat instrumen, atau konsol permainan dan semua itu," katanya.

Bagaimanapun tambahnya beberapa pelanggan yang lebih tua dan sudah bersara juga mahukan fleksibiliti dalam susun atur flat mereka.

"Oleh kerana usia tua mereka, mereka bimbang akan terlanggar barang dan perabot. Mereka mahu berehat ... tanpa perlu risau tersandung sesuatu."

Kos untuk merobohkan dinding flat boleh menelan belanja yang tinggi, dan buat masa ini, ia hanya boleh dilakukan mereka yang stabil dari segi kewangan.

KESAN NEGATIF

Semasa Cik Nad dan suaminya membuat perancangan reka bentuk rumah baharu mereka, ramai orang menasihatkan supaya tidak membuat perubahan drastik pada susun aturnya kerana ia boleh menjejaskan nilai jualan semula flat tersebut.

Pasangan itu merancang untuk menjual flat mereka sebaik sahaja tempoh minimum lima tahun tamat.

"Ia memerlukan demografi yang sangat khusus untuk berminat dengan susun atur ini," katanya, merujuk kepada pasangan dwi-pendapatan-tanpa-anak.

"Tetapi pada masa ini semakin ramai (orang) memilih untuk tidak mempunyai anak, jadi saya harap dalam tempoh lima tahun kita dapat mencari pasangan yang menghargai perkara ini. Sebagai alternatif, kita mungkin perlu memasang semula dinding apabila kita menjual," sambung beliau.

Bagi keluarga yang kemudiannya memutuskan mahu mencipta bilik baharu di rumah mereka, Encik Ho dari Dots 'n' Tots berkata kosnya boleh mencecah setinggi S$10,000.

"Mereka perlu (membayar) kos dinding untuk mencipta bilik (dan) kos pintu dan bingkai pintu baharu," katanya. Memasang alat hawa dingin juga akan dikenakan bayaran tambahan.

"Mereka mesti merancang dan berfikir dengan teliti apabila mereka melakukan pengubahsuaian pertama (untuk susun atur konsep terbuka). Mereka perlu merancang lebih fleksibiliti untuk masa depan," katanya.
 
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan