Flat HDB di Yishun ini yang pertama dijual pada harga lebih S$1 juta
Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY
SINGAPURA: Sebuah flat eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Yishun dijual pada harga lebih S$1 juta pada bulan lalu dalam pasaran jualan semula.
Ini merupakan kali pertama ia berlaku di bandar HDB tersebut dan kali kedua bagi sesebuah estet belum matang.
Flat pertama di estet belum matang yang dijual pada harga S$1 juta, adalah sebuah maisonette seluas 117 meter persegi di Hougang pada 2018.
Flat jumbo seluas 187 meter persegi di Blok 652 di Yishun Avenue 4 itu dijual pada harga S$1.038 juta.
Blok tersebut terletak berdekatan dengan kemudahan seperti Hospital Khoo Teck Puat, Safra Yishun dan Taman Yishun.
Cik Arissa Tan, 30 tahun, seorang ejen hartanah yang mewakili penjual flat tersebut berkata perjanjian antara pembeli dan penjual dimuktamadkan dalam tempoh tiga minggu sejak flat itu berada dalam pasaran jualan semula pada November lalu.
Penjual juga menerima tiga tawaran antara S$900,000 hingga S$1.038 juta dalam tempoh tersebut, Cik Tan memberitahu Mediacorp pada Khamis (10 Mac).
Apabila Mediacorp mengunjungi blok berkenaan, beberapa penduduk berkata mereka tidak tahu tentang penjualan tersebut dan terkejut bahawa unit itu menerima tawaran harga yang sangat tinggi.
Data rasmi menunjukkan bahawa flat berkenaan berusia 30 tahun dengan baki pajakan 69 tahun empat bulan.
Bagaimanapun, penduduk berkata mereka menyedari bahawa ada permintaan bagi rumah flat yang lebih besar di blok tersebut.
Penduduk lain berkata kemudahan di sekitar kawasan itu seperti sekolah, hospital dan taman boleh menjadi tarikan buat pembeli.
Cik Tan berkata beliau dan pasangan beliau yakin bahawa akan ada pembeli bagi flat yang dijual dengan nilai S$1 juta.
Pertama sekali, flat jumbo tidak lagi dibina oleh HDB. Flat berkenaan adalah gabungan dua unit lebih kecil, sekaligus menjadikannya lebih besar daripada flat biasa yang seluas antara 134 meter persegi dengan lebih 186 meter persegi.
BEKALAN FLAT BESAR TERHAD
Para penganalisis hartanah menyatakan saiz flat yang besar adalah sebab mengapa ia mencecah nilai jutaan dolar.
Encik Nicholas Mark, ketua penyelidikan dan perundingan di firma hartanah ERA Singapore, menyatakan bahawa flat Yishun adalah yang terbesar antara 29 flat jualan semula HDB yang berurus niaga sekurang-kurangnya S$1 juta bulan lalu.
Cik Wong Siew Ying, ketua penyelidikan dan kandungan di PropNex Realty, berkata bahawa pembeli sanggup membayar harga premium bagi flat eksekutif "bersaiz besar" disebabkan bekalannya yang terhad.
JUALAN FLAT YISHUN YANG LUAR BIASA
Sekalipun demikian, penjualan flat tersebut adalah "terpencil" dan tidak bermakna flat di Yishun dan estet belum matang lain akan dijual pada harga lebih S$1 juta dan harganya terus meningkat, menurut para penganalisis.
Cik Wong dari PropNex Realty berkata bahawa kebanyakan flat eksekutif dan flat lima bilik di kawasan Yishun sudah dibina lebih lama, dengan baki tempoh pajakan 70 tahun dan ke bawah. Bermakna, peluang untuk flat di Yishun terus dijual pada harga sejuta dolar agak rendah dalam jangka terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.