Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Flat HDB baharu, kemudahan komersial dibina sebelah stesen MRT Kembangan

Anggaran Waktu Membaca:
Flat HDB baharu, kemudahan komersial dibina sebelah stesen MRT Kembangan

(Gambar: JGP Architecture [S] Pte Ltd)

SINGAPURA: Untuk menyediakan penduduk Bedok town dengan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan, flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kemudahan komersial baharu akan dibina berdekatan stesen MRT Kembangan.

Pembangunan yang dirancang di estet Kembangan akan berada di sepanjang Jalan Kembangan dan Lengkong Tiga. Ia mungkin mempunyai dua blok 18 tingkat, dengan kira-kira 340 unit flat dua bilik Flexi dan empat bilik.

Demikian menurut HDB pada Jumaat (2 Feb).

HDB menarik perhatian bahawa pembangunan Bina Ikut Tempahan (BTO) "boleh memenuhi keperluan keluarga yang ingin tinggal berdekatan ibu bapa mereka bagi penjagaan dan sokongan bersama, serta warga emas yang ingin mendapat saiz rumah yang sesuai".

Terdapat rancangan untuk membangunkan bangunan lima tingkat bersebelahan flat tersebut, menyepadukan Kelab Masyarakat (CC) Kembangan baharu, tempat letak kereta bertingkat, pasar raya, pusat penjaja, kemudahan jagaan kesihatan bagi pesakit yang tidak dimasukkan ke dalam wad hospital serta kedai runcit.

KELAB MASYARAKAT KEMBANGAN BAHARU

HDB menyatakan Kelab Masyarakat Kembangan sedia ada akan dibangunkan semula dan berkongsi tempat dengan pembangunan yang disepadukan.

Kelab masyarakat baharu itu akan menyediakan lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi, seperti gelanggang bola keranjang tertutup, dewan serbaguna yang boleh menempatkan tiga gelanggang badminton, bilik acara, bilik aktiviti, studio memasak, studio tarian, bilik muzik, gim, dan gelanggang futsal terbuka.

"CC baharu itu juga akan mempunyai plaza masyarakat di aras pertama, bersama dengan gelanggang bola keranjang tertutup, dibayangkan menjadi tarikan utama di mana penduduk boleh berkumpul bagi pelbagai aktiviti dan acara masyarakat," tambah HDB.

"Rancangannya adalah untuk membangunkan semula CC Kampong Kembangan menjadi taman kejiranan, untuk menyediakan penduduk dengan kawasan mesra alam, kerana padang sedia ada akan dibangunkan sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu."

Taman baharu itu, seluas 0.34 hektar, mungkin menampilkan taman permainan 3 Generasi, dengan dua taman permainan untuk kanak-kanak, sudut kecergasan dengan peralatan senaman untuk dewasa dan warga emas, serta gelanggang serba guna.

HDB menyatakan Kelab Masyarakat Kampong Kembangan akan beroperasi di tempat tersebut sehingga 30 Jun, dan akan berpindah ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi buat sementara, yang terletak di seberang stesen MRT Eunos.

KEMUDAHAN LAIN DALAM PERANCANGAN

Laluan berlari-lari anak yang dirancang untuk dibina, kira-kira 1.5 kali lebih panjang daripada laluan sedia ada, akan menghubungkan kawasan kejiranan dengan taman berdekatan.

Turut dalam perancangan adalah laluan basikal khusus di sepanjang Jalan Kembangan dan Penghubung Taman Siglap yang dipertingkatkan. Ia akan memberi penunggang basikal akses yang lebih baik ke Taman East Coast dan Bedok Reservoir.

Bagi kemudahan komersial, HDB menyatakan bahawa pasar raya, pusat penjaja dan kedai lain mungkin disediakan dalam pembangunan yang dicadangkan.

Sebuah prasekolah, pusat rangkaian penduduk, dan pusat dialisis buah pinggang serta kemudahan jagaan kesihatan bagi pesakit yang tidak dimasukkan ke dalam wad hospital juga mungkin disediakan sebagai sebahagian daripada kemudahan itu, tambah HDB.

Untuk memperbaiki akses kepada pengangkutan awam, laluan berbumbung yang menghubungkan pembangunan baharu ke stesen MRT Kembangan mungkin dibina.

Perhentian bas sedia ada di sepanjang Jalan Kembangan juga boleh dinaik taraf untuk "menggabungkan ruang bas di mana bas boleh berhenti di perhentian bas tanpa menghalang lalu lintas di sepanjang jalan".

LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN KESULITAN

HDB menyatakan bahawa langkah-langkah akan dilaksanakan untuk mengurangkan kesulitan yang berpunca daripada pembinaan tersebut, seperti memasang laluan berbumbung sementara dari stesen MRT Kembangan ke Blok 110 hingga 116.

Ia menambah bahawa warden trafik juga akan ditempatkan untuk mengurus trafik masuk dan keluar di tapak pembinaan, serta kawasan khas di tapak binaan "untuk meletak kenderaan pembinaan supaya ia tidak memasuki jalan awam".

Penghadang tinggi yang disepadukan dengan penghadang bunyi akan dipasang untuk mengurangkan bunyi dan habuk dari pembinaan, dedah HDB.

Ia menambah bahawa aktiviti pembinaan di tapak tersebut akan dielakkan pada awal pagi atau lewat malam, dengan tahap bunyi pembinaan dipantau.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan