Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Flat, estet HDB lebih mesra warga emas sebagai persiapan hadapi 'masyarakat amat tua' SG: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Flat, estet HDB lebih mesra warga emas sebagai persiapan hadapi 'masyarakat amat tua' SG: PM Lee

Warga tua di sebuah blok HDB Singapura. (Gambar fail: CNA/Javier Lim)

SINGAPURA: Flat dan kawasan kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menjadi lebih mesra warga emas sedang penduduk Singapura terus menua, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (20 Ogos).

Dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad malam, Encik Lee menekankan bahawa hampir 25 peratus rakyat Singapura akan mencecah usia 65 tahun ke atas menjelang 2030.

"Ramai warga emas telah memberitahu kami bahawa mereka mahu meniti usia senja di rumah mereka di rumah dan kawasan kejiranan mereka sendiri," tambahnya.

“Mereka sudah biasa dengan persekitaran itu, rasa selesa, dan membentuk persahabatan yang bermakna. Dan ini adalah sesuatu yang sangat baik. Kami akan membantu seramai mungkin warga emas yang boleh.”

Flat yang ada akan menjadi lebih mesra warga emas, dengan peningkatan kepada program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif atau EASE, tambahnya.

Di bawah program itu sekarang, warga emas boleh memasang kelengkapan seperti tanjakan untuk membantu mereka keluar masuk dari rumah mereka, serta palang pegangan dan lantai kalis licin di dalam tandas, kata Encik Lee.

Tidak lama lagi, warga emas akan dapat memilih daripada set kelengkapan yang diperluaskan di bawah program yang dipertingkatkan, atau EASE 2.0, tambahnya.

Sebagai contoh, ini termasuk tempat duduk mandi yang boleh dilipat atau pintu masuk tandas yang dilebarkan bagi mereka yang berkerusi roda, tambahnya.

"Dan kehidupan boleh menjadi lebih selamat dan lebih selesa," kata Encik Lee.

EASE diperkenalkan ke semua bandar pada 2013. Pada April, HDB berkata bahawa kira-kira 283,900 isi rumah telah memasang kelengkapan mesra warga emas di bawah program itu. Ia kemudian diperluaskan pada April untuk memasukkan ciri-ciri seperti pengangkat kerusi roda, yang sebelum ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada satu program rintis.
ESTET LEBIH SELAMAT, MESRA WARGA TUA

Singapura juga akan menjadikan tempat yang lebih selamat dan selesa bagi warga emas untuk bergerak di kawasan kejiranan mereka, kata Perdana Menteri.

Jalan-jalan raya dan laluan pejalan kaki yang sering digunakan warga emas akan dirombak dan lebih banyak tempat rehat akan dibina, tambahnya.

"Selain itu, disediakan lebih banyak taman terapeutik, laluan kecergasan, dan mesin senaman, untuk menggalakkan warga emas kekal aktif," kata Encik Lee.

Jalan raya juga akan menjadi lebih mesra pejalan kaki, dengan langkah seperti isyarat lampu hijau lebih panjang untuk memberi lebih banyak masa kepada warga emas menyeberang jalan, tanjakan bebas halangan dan lintasan zebra ditinggikan untuk membantu pengguna kerusi roda, serta penanda jalan 3D serta jalan raya lebih sempit untuk memperlahankan kereta, katanya.

Kementerian Pengangkutan mengumumkan pada Mac bahawa lebih banyak lif akan disediakan di jambatan untuk memudahkan penduduk Singapura yang semakin tua.

Dalam ucapannya pada Ahad, Encik Lee berkata papan tanda yang lebih besar dan berwarna-warni dengan simbol yang biasa dilihat akan dipasang di sekitar blok HDB, untuk membantu warga emas ingat blok mereka sendiri semasa pulang ke rumah.

Singapura juga akan membina lebih banyak kemudahan "untuk mereka yang memerlukan lebih banyak lagi bantuan bagi kehidupan seharian mereka", katanya.

Dalam satu kenyataan media berasingan pada Ahad, Kementerian Pembangunan Negara dan HDB berkata mereka akan melancarkan lebih banyak Apartmen Penjagaan Masyarakat, yang menyepadukan perumahan mesra warga emas dengan perkhidmatan penjagaan yang boleh disesuaikan, "untuk membolehkan warga emas menua di rumah mereka sendiri".

“Kami akan terus menjadikan Singapura sebuah tempat tinggal yang lebih mesra untuk warga emas sekarang dan akan datang,” kata Encik Lee pada Ahad.

“Kami akan melakukannya di merata Singapura, bermula dengan kawasan yang mempunyai lebih ramai warga emas seperti Ang Mo Kio dan Bukit Merah.”

Dalam ucapannya itu, Encik Lee juga menekankan peri pentingnya penuaan aktif dan pelaburan Singapura dalam khidmat penjagaan kesihatan untuk warga emas.

"Pemerintah memainkan peranan besar dalam menyediakan penjagaan, tetapi warga emas juga mesti memainkan peranan untuk menjaga diri kita sendiri," tambahnya.

PM Lee menarik perhatian pelancaran SG Lebih Sihat pada Julai, dan menggalakkan rakyat Singapura supaya mendaftar untuk program itu apabila mereka menerima jemputan unutk berbuat demikian.

Selain kesihatan fizikal, Encik Lee juga menekankan bahawa "salah satu ancaman terbesar" kepada kesejahteraan warga emas ialah rasa kesunyian.

“Hari ini, ramai warga emas tinggal bersendirian. Mereka berisiko menjadi terasing secara sosial. Pasangan mereka mungkin telah meninggal dunia, dan anak-anak mereka mungkin tinggal di tempat lain bersama keluarga mereka sendiri.”

Pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu warga emas kekal terlibat dan aktif secara sosial, katanya.

Sebagai contoh, pusat penuaan aktif telah ditubuhkan di merata negara, kata Encik Lee, sambil menggalakkan rakyat Singapura membawa ahli keluarga mereka yang sudah berusia menyertai pusat berdekatan.

“Dan jika anda sendiri seorang warga emas, saya sangat menggalakkan anda untuk menyertai pusat berhampiran anda, kerana ramai warga emas menikmati masa yang seronok di sana. Ambil langkah pertama ke arah penuaan aktif, supaya anda boleh hidup dengan baik dan menua dengan baik.”

Langkah-langkah itu adalah sebahagian daripada program kebangsaan baharu yang dipanggil Sihat Menua SG atau Age Well SG, yang akan melengkapkan SG Lebih Sihat, kata Encik Lee pada Ahad.

Program itu akan diterajui oleh Kementerian Kesihatan, Pengangkutan dan Pembangunan Negara. Butiran lanjut akan diumumkan pada masa hadapan, kata Kementerian Pembangunan Negara dalam kenyataan medianya.

"Jadi kami mengambil langkah besar untuk mempersiapkan masyarakat yang sangat tua," kata Encik Lee.

“Bersama-sama, kita akan menjadikan Singapura sebuah tempat tinggal yang menarik untuk semua peringkat umur, di mana warga emas boleh menua dengan rasa hormat, berhubung dengan rakan dan keluarga.”
Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan