Flat di Toa Payoh Lorong 8 terbakar; penduduk dipindahkan

SINGAPURA: Para penghuni sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Toa Payoh dipindahkan pada Jumaat malam (12 Aug) selepas kebakaran tercetus di salah satu unitnya.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataannya di Facebook menyatakan ia dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 222 Toa Payoh Lorong 8 pada sekitar 8.50 malam.
"Para ahli bomba sedang menjalankan operasi untuk memadamkan kebakaran," tambah kenyataan tersebut.
Para pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) turut berada di tempat kejadian, menurut seorang pembaca Mediacorp yang menetap di blok tersebut.
Pembaca itu, yang enggan mendedahkan identitinya, berkata kebakaran itu tercetus sekitar 8.10 malam.
"Saya berada di dalam bilik saya. Saya terhidu bau asap sebelum diberitahu tentang kebakaran yang berlaku ketika itu," katanya lagi.
"Saya fikir ia sempena Bulan Hantu, tetapi saya ternampak kepulan asap agak tebal dan ia memasuki bilik saya menerusi tingkap."
Pembaca itu kemudian bergegas meninggalkan flatnya dan turun ke tingkat bawah.
"Saya nampak orang lain keluar daripada rumah mereka dan jiran di tingkat bawah berkata kebakaran itu berlaku di tingkat tiga. Jadi saya naik semula untuk memberitahu jiran saya," katanya.
"Saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dan saya terus keluar daripada bilik saya."
Apabila ditanya sama ada beliau menyedari apa yang berlaku sebelum kebakaran tercetus, penduduk itu berkata beliau mendapati bau asap itu "sedikit luar biasa" seolah-olah ia berpunca dari sumber elektrik.
Pembaca itu turut melaporkan bahawa terdapat "letupan kecil" sedang api marak pada sekitar 8.25 malam.
Pada waktu itu, pasukan bomba SCDF dan para pegawai SPF sudahpun berada di tempat kejadian, yang mengepung kawasan terjejas.
Sebahagian besar penghuni blok itu sudahpun meninggalkan flat mereka ketika itu, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.