Skip to main content

Singapura

Flat BTO pertama Sembawang North mula dijual pada Jul

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jul 2025 11:07AM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 09:19PM
SINGAPURA: Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di kawasan perumahan baharu Sembawang North akan dilancarkan pada Julai, umum Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (6 Jul).

Projek Sembawang Beacon akan menawarkan 775 unit, dengan pelbagai jenis flat daripada Flat Fleksi 2 bilik kepada lima bilik dan 3Gen, dan masa menunggu adalah sekitar tiga tahun.

Unit-unit itu adalah sebahagian daripada sekitar 5,500 flat BTO yang akan mula dijual bulan ini, termasuk di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Tampines, Toa Payoh dan Woodlands.

Menurut HDB, projek yang akan datang itu menandakan langkah pertama dalam rancangannya untuk "mengubah Sembawang North".

Dikelilingi oleh Admiralty Link, Admiralty Lane dan Canberra Road, ia terletak di sekitar Stesen MRT Sembawang, Sembawang Mart dan taman kejiranan, memberikan penduduk akses ke kemudahan-kemudahan sedia ada dan pengangkutan awam, menurut HDB.
Sembawang Mart terdiri daripada pasar raya, pusat makanan dan kedai runcit, manakala terdapat juga pelbagai kedai dan pilihan tempat makan yang terletak berdekatan.

Kemudahan-kemudahan lain seperti pusat kejiranan, taman seluas 1 hektar dengan taman permainan dan sudut kecergasan, dan rangkaian laluan berbasikal dan laluan pejalan kaki juga akan diperkenalkan pada masa akan datang.

Dalam catatannya di Facebook pada Ahad (6 Jul), Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata: "HDB dan NParks bekerjasama rapat dengan agensi-agensi rakan kongsi untuk memastikan penduduk dapat menikmati akses ke pelbagai kemudahan, ruang hijau yang subur dan pengangkutan awam yang dihubungkan dengan baik."
Taman permainan bertemakan rumah api di Sembawang Beacon memberi penghormatan kepada warisan maritim bandar tersebut. (Imej: HDB)
SEMBAWANG BEACON

Pada Oktober tahun lalu, HDB mengumumkan bahawa Sembawang North akan menjadi tapak seluas 53 hektar dalam bandar Sembawang, menyediakan kira-kira 10,000 unit rumah - 8,000 flat BTO dan 2,000 unit rumah privet - apabila dibangunkan sepenuhnya.

"Apabila dibangunkan sepenuhnya kelak, kediaman-kediaman di Sembawang North akan disediakan dengan rangkaian kemudahan yang komprehensif, ruang hijau dan pengangkutan awam yang baik," kata Encik Chee pada Ahad.

Menurut HDB, reka bentuk Sembawang Beacon diilhamkan daripada warisan maritim yang kaya di kawasan itu. Ia pernah menempatkan pangkalan tentera laut British pada tahun 1920-an, di mana rumah hitam-putih berfungsi sebagai kuarters untuk pegawai tentera laut.

"Blok-blok perumahan dan anjung di mana penumpang diturunkan di Sembawang Beacon direka bentuk sedemikian rupa untuk menggabungkan unsur-unsur yang mengingatkan rumah kolonial ini, menampilkan muka bangunan berwarna putih yang menampilkan bingkai hitam tebal," kata HDB.

"Warna biru pada muka bangunan flat menyerlahkan warna laut, sambil memberi penghormatan kepada warisan kawasan itu."

Di tingkat bawah, skrin hitam-putih bukan sahaja akan menyediakan tempat berteduh tetapi turut mencerminkan tirai yang biasanya terdapat di koridor dan beranda kolonial. Selain itu, ruang rekreasi, termasuk taman permainan yang menampilkan motif dan elemen laut seperti struktur permainan rumah api, akan memaparkan tema maritim.

Sementara itu, landskap projek itu akan "mendekatkan alam semula jadi" dengan penduduk, dengan beberapa ruang hijau seperti taman di atas bumbung dan halaman terbuka, serta tumbuhan asli yang "dipilih dengan teliti untuk mengindahkan" alam sekitar, dan menarik fauna seperti burung dan rama-rama, kata HDB.

Tumbuhan seperti pokok Sembawang juga akan ditanam di kawasan awam untuk mewujudkan tempat berkumpul yang "menyemarakkan semangat Singapura lama", tambahnya.

Selain itu, ciri-ciri seperti taman hujan akan digabungkan untuk menyalurkan air hujan daripada paras permukaan.

HDB turut mendedahkan bahawa ia akan terus menggabungkan warisan dan ciri-ciri tersendiri setiap bandar ke dalam perancangan dan reka bentuk kawasan perumahan baharu, supaya "karakter unik" dan identiti kawasan-kawasan itu dapat dipelihara untuk generasi masa depan.

Kira-kira 19,600 flat BTO akan dilancarkan pada 2025, sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk meningkatkan bekalan perumahan awam dan memenuhi permintaan yang meningkat.

"Kami tetap komited untuk memastikan bekalan perumahan awam yang kukuh, dengan sekurang-kurangnya 50,000 flat baharu akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura," tambah Encik Chee pada Ahad (6 Jul).
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita