Flat BTO kekal dimampui; harga naik seiringan dengan pendapatan penduduk: DPM Wong
Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) kekal dimampui, dengan harga flat berubah sejajar dengan pendapatan penduduk, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (1 Mei).
(Gambar: HDB)
Berucap di Rapat Hari Buruh, Encik Wong berkata: "Apabila anda fikirkan tentang harga mampu milik, jangan sekadar lihat pada harga asas flat BTO; sebaliknya pertimbangkan juga bagaimana harganya selaras dengan pendapatan, serta bahagian pendapatan yang diperlukan untuk melunaskan pinjaman perumahan."
Buat masa ini, isi rumah biasa lazimnya menggunakan kurang daripada 25 peratus pendapatan mereka untuk membayar pinjaman rumah, seperti pada tahun 1980, kata Encik Wong dalam ucapannya.
Pada 1980, harga flat BTO empat bilik di sebuah bandar baru adalah sekitar S$40,000 dan pendapatan purata isi rumah adalah sekitar S$900.
Kini, harga bagi flat serupa di sebuah estet belum matang seperti Bukit Batok berharga S$350,000 - harga telah meningkat hampir 10 kali ganda sejak 1980, kata Encik Wong yang juga merupakan Menteri Kewangan.
"Namun pendapatan purata isi rumah juga telah meningkat 10 kali ganda, daripada S$900 kepada S$9,000 kini. Jadi harga flat BTO pada hakikatnya telah meningkat selari dengan pendapatan penduduk," kata Encik Wong.
Perbandingan itu juga tidak termasuk geran perumahan sehingga S$80,000 yang disediakan bagi pembeli rumah kali pertama, katanya.
"Jadi jika anda lakukan perbandingan yang betul, perbandingan yang adil, flat-flat BTO masih kekal dimampui," katanya.
"Dan sebahagian besar daripada pemilik rumah kali pertama hari ini membayar pinjaman perumahan mereka melalui caruman CPF (Tabung Simpanan Pekerja), dengan sedikit atau hampir tiada wang tunai yang ditokok," kata beliau.
Masalah utama yang dihadapi Singapura kini adalah kekurangan flat BTO disebabkan bekalan yang dilengahkan akibat pandemik COVID-19, kata Encik Wong.
"Kami kini sedang berusaha melunaskan tunggakan - menambah bekalan dan membina lebih banyak flat BTO," katanya, sambil menambah bahawa 20,000 flat akan siap dibina pada tahun ini.
Menurutnya, Singapura telah mewujudkan "perumahan awam yang terbaik di dunia".
"Perumahan awam yang boleh dimampui dan mudah diakses - seperti akses kepada pendidikan dan jagaan kesihatan bertaraf pertama - akan selalu menjadi bahagian utama daripada kompak sosial kita di Singapura," kata Encik Wong.
Pada minggu lalu, Singapura melancarkan pusingan ketiga langkah-langkah meredakan harga pasaran hartanah sejak Disember 2021.
Warga asing yang membeli sebarang hartanah kediaman di Singapura kini perlu membayar Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD) sebanyak 60 peratus, iaitu naik seganda berbanding 30 peratus sebelum ini.
Sementara itu, rakyat setempat yang membeli hartanah kediaman kedua perlu membayar 20 peratus kadar ABSD, naik daripada 17 peratus.
Mereka yang ingin membeli hartanah kediaman ketiga atau seterusnya pula perlu membayar 30 peratus ABSD berbanding 25 peratus sebelumnya.
Rakyat Singapura yang membeli hartanah kediaman yang pertama tidak perlu membayar ABSD.
Kadar 30 peratus juga dikenakan ke atas penduduk tetap Singapura yang membeli hartanah kediaman mereka yang kedua.
Penduduk tetap yang membeli hartanah kediaman ketiga dan selanjutnya perlu membayar 35 peratus ABSD, berbanding 30 peratus sebelum ini.
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada minggu lalu berkata bahawa kadar yang dinaikkan itu merupakan langkah-langkah awal untuk meredakan permintaan pelaburan setempat dan asing di tengah-tengah minat yang kian meningkat bagi hartanah kediaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.