Flat BTO baru dibina di Sin Ming; projek pertama di kawasan itu dalam lebih 30 tahun

Tapak pembinaan sebelah Blok 25 Sin Ming Road. (Gambar: Chew Hui Min/CNA)
SINGAPURA: Lebih 900 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang dibina di Sin Ming Road bagi satu projek yang belum lagi dilancarkan.
Maklumat mengenai projek itu pertama kali dimuat naik ke laman forum sembang Reddit awal minggu ini. Berdasarkan papan di luar tapak binaan, projek perumahan awam yang disarankan itu akan menempatkan lima blok kediaman dengan sebanyak 984 flat secara keseluruhannya.
Estet baru yang terletak bersebelahan Blok 25 Sin Ming Road itu akan dilengkapi dengan "kemudahan-kemudahan masyarakat sosial" seperti taman atas bumbung dan tempat letak kereta bertingkat.
Flat terakhir dibina di kawasan Sin Ming - terletak antara Thomson dan Bishan di bahagian tengah Singapura - selesai dibina pada 1988, iaitu 35 tahun yang lalu.
Menurut para penganalisis, permintaan flat BTO yang baru itu dijangka "kukuh" disebabkan oleh permintaan terpendam bagi perumahan di kawasan tersebut.
Flat-flat baru itu dijangka selesai dibina pada suku kedua 2027, menurut papan projek di tapak binaan.
HDB menyatakan, ia akan membina flat lebih awal daripada permintaan atau tempahan sebenar, selagi boleh. Sejak Mei 2011, HDB sudah membuka dan menawarkan tender bagi kerja-kerja binaan untuk sebahagian besar projek BTO lebih awal sebelum keputusan pusingan pemilihan flat diumumkan.
"HDB nampaknya membina flat-flat BTO terlebih dahulu supaya dapat menyiapkannya dalam masa yang lebih singkat," kata Pengarah Kanan Penyelidikan Huttons, Lee Sze Teck.
"Sebelum ini, ia biasanya dilakukan di estet-estet belum matang seperti Tengah dan Choa Chu Kang."
Tahun ini, HDB akan melancarkan sekitar 23,000 flat untuk memenuhi permintaan yang kukuh.
Tapak Sin Ming tidak kelihatan sebagai sebahagian daripada dua pelancaran BTO seterusnya pada Mei dan Ogos, di mana HDB akan menawarkan flat-flat di Tengah, Bedok, Kallang Whampoa, Serangoon, Chua Chu Kang, Bukit Merah dan Queenstown.
Penganalisis hartanah Nicholas Mak berkata flat-flat itu mungkin dilancarkan pada November tahun ini atau Februari 2024.
Naib Presiden Kanan Penyelidikan & Analitik di OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, menarik perhatian bahawa flat-flat tersebut akan ditempatkan berdekatan dengan sekolah-sekolah "baik" seperti Catholic High dan Ai Tong.
Mungkin ada juga permintaan yang sihat disebabkan oleh kekurangan flat baru di kawasan tersebut dan harga rumah privet baru di kawasan-kawasan berdekatan, seperti Upper Thomson, Bishan, Ang Mo Kio dan Lentor, agak tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.