Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Flat BTO 4 bilik di Keppel Club mungkin bernilai lebih S$700,000; permintaan tinggi dijangkakan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pembeli yang berminat untuk membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tapak padang golf Keppel Club mungkin harus membayar lebih S$700,000 bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) empat bilik. 

Demikian menurut para penganalisis hartanah pada Rabu (13 Apr). 

Flat-flat BTO itu mungkin akan menyaksikan permintaan yang tinggi dan sesetengah flat mungkin akan diletakkan di bawah Model Perumahan Awam Lokasi Perdana (PLH), menurut para penganalisis. 

Sungguhpun demikian, adalah penting untuk memastikan perumahan awam kekal dalam kemampuan pelbagai segmen penduduk dan mungkin terdapat unit sewa yang diperuntukkan di kawasan tersebut, tambah para penganalisis hartanah. 

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee mengumumkan pada Selasa (12 Apr) bahawa kira-kira 6,000 flat HDB akan dibangunkan di tapak Keppel Club, dengan projek BTO pertama dijangka akan dilancarkan dalam masa tiga tahun. 

Walaupun bekalan sebanyak 6,000 flat baru HDB ditawarkan di tapak Keppel Club "agak banyak", flat-flat itu  berkemungkinan akan habis dijual memandangkan “permintaan dijangka amat menggalakkan" dalam kalangan rakyat Singapura untuk membeli flat di lokasi-lokasi perdana, kata Ketua Kajian dan Kandungan PropNex Wong Siew Ying.  

Di bawah Model PLH, para pembeli flat BTO di lokasi perdana akan berdepan dengan Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama sekurang-kurangnya 10 tahun, iaitu seganda tempoh bagi projek-projek biasa BTO. 

Flat-flat tersebut juga akan ditawarkan subsidi tambahan, namun mereka yang akhirnya akan menjual unit mereka harus membayar sebahagian daripada harga jualan semula flat berkenaan kepada HDB. 

Jika flat-flat di tapak tersebut dijual di bawah model PLH, flat empat bilik mungkin berharga antara S$600,000 dengan S$700,000, manakala flat tiga bilik pula antara S$400,000 hingga S$450,000, menurut Cik Wong. 

Pelancaran BTO di Telok Blangah Beacon pada Mei 2021 yang terletak berdekatan dengan tapak Keppel Club  menyaksikan harga flat tiga bilik dan empat bilik masing-masing bermula dari S$420,000 dan S$600,000, menurutnya lagi. 

"Dengan tapak Keppel Club terletak di lokasi perdana, kami menjangkakan flat-flat di Keppel Club mungkin mahal dan Pemerintah mungkin harus memberikan lebih banyak subsidi untuk memastikan flat-flat itu kekal dimampui," tambah Cik Wong. 

Para penganalisis bersetuju bahawa pelancaran flat-flat BTO di tapak Keppel Club akan memacu kenaikan harga hartanah-hartanah lain di daerah tersebut. 

Para pembeli yang tidak mahu membeli flat PLH boleh menimbangkan pilihan flat jualan semula atau BTO di daerah tersebut, dan permintaan bagi flat-flat seumpama itu mungkin meningkat, dengan harganya juga dijangka akan meningkat, menurut Pengarah Kanan Kajian Huttons Asia Lee Sze Teck. 

Flat jualan semula di kawasan berhampiran dengan Telok Blangah Towers sudah mencecah S$975,000 bagi flat premium empat bilik, dan ia mugkin menjangkaui S$1 juta apabila flat BTO di tapak Keppel Club sudah dilancarkan, tambah Encik Lee. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan