Skip to main content

Singapura

Flat 5 bilik Bukit Merah dijual semula pada harga rekod S$1.2 juta

Sebuah flat lima bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Merah dijual semula pada harga rekod S$1.2 juta pada April, menurut laporan syarikat runding cara hartanah OrangeTee & Tie.

Anggaran Waktu Membaca:
Flat 5 bilik Bukit Merah dijual semula pada harga rekod S$1.2 juta

Flat lima bilik di Bukit Merah dijual semula pada harga rekod S$1.2 juta. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 10 May 2019 11:25AM Dikemas Kini : 10 May 2019 11:28AM

SINGAPURA: Sebuah flat lima bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Merah dijual semula pada harga rekod S$1.2 juta pada April, menurut laporan syarikat runding cara hartanah OrangeTee & Tie.

Flat seluas 112 meter persegi yang terletak di Blok 9A Boon Tiong Road itu mempunyai baki tempoh pajakan lebih 90 tahun. Urus niaga bagi flat berkenaan mengatasi harga penjualan S$1.185 juta bagi sebuah rumah teres HDB seluas 237 meter persegi di Jalan Bahagia yang dijual pada September lalu.

Ia juga lebih tinggi daripada harga sebuah flat lima bilik Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS) di Boon Keng Road yang dijual pada kira-kira harga yang sama Januari lalu.

Ini merupakan kali pertama harga flat standard HDB melepasi harga flat bukan standard paling mahal, menurut laporan OrangeTee & Tie yang meneliti data awam flat jualan semula HDB bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Laporan itu menarik perhatian bahawa meskipun "hanya 26 flat standard dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta sejak April 2019," jumlah itu "meningkat secara tetap sejak beberapa tahun lalu".

Laporan berkenaan menyatakan bahawa permintaan bagi flat jualan semula HDB "kekal kukuh" sedang jumlah penjualan bagi suku pertama tahun ini meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, dengan 4,835 flat dijual.

Jumlah urus niaga meningkat 8.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Namun berdasarkan perbandingan suku ke suku, ia merosot 14.2 peratus.

Laporan itu menyatakan bahawa permintaan bagi flat-flat HDB lebih matang - berusia sekurang-kurangnya 40 tahun - masih tinggi meskipun "terdapat keprihatinan mengenai nilai berkurangan flat-flat matang dan kesan negatif akibat langkah meredakan pasaran baru-baru ini."

Jumlah rekod 2,536 flat seumpama itu dijual pada tahun lalu, manakala 628 unit sedemikian dijual antara Januari hingga Mac ini.

Jumlah flat lebih matang yang dijual pada suku pertama tahun ini membentuk hampir 14 peratus keseluruhan urus niaga.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita