Skip to main content

Singapura

FITRAH lancar buku panduan kerohanian pertama untuk banduan Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA : Sebuah buku panduan pemulihan kerohanian khusus bagi banduan Muslim, dilancarkan pada Sabtu (27 Dis) oleh FITRAH, sebuah program yang memberikan khidmat sokongan pemulihan dan integrasi semula kepada para banduan serta keluarga mereka.

Buku panduan yang berjudul 'Kembali Kepada Fitrah' itu diterbitkan sebagai sumber baharu untuk membantu para banduan mengharungi proses pemulihan dan membina kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan.

Pelancaran buku tersebut dirasmikan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di majlis penghargaan Relawan FITRAH di Taman Haiwan Singapura.

ā€œKandungannya diolah berdasarkan pengalaman sebenar banduan, asatizah dan individu yang menjauhi jenayah. Ia direka supaya mudah diakses, praktikal dan boleh diamalkan dalam rutin harian,ā€ ujar Dr Faishal dalam ucapannya.

Menurut beliau, buku tersebut turut menangani persoalan yang sering dibangkitkan oleh para banduan, termasuk isu taubat, keikhlasan serta tanggungjawab sebagai ibu bapa, anak lelaki atau perempuan ketika dalam penjara.

KANDUNGAN BUKU KEMBALI KEPADA FITRAH HASIL KERJASAMA PARA ASATIZAH, RELAWAN

Buku panduan itu dibangunkan hasil kerjasama rapat para asatizah, termasuk Imam Kanan Masjid Al-Khair, Ustaz Abdul Hadi Jamil, yang berpengalaman dalam membimbing banduan di penjara dan Pusat Pemulihan Dadah (DRC).

Menurut Ustaz Abdul Hadi, buku panduan 'Kembali Kepada Fitrah' ditulis dalam bentuk yang ringkas bagi memenuhi keperluan banduan.

Beliau berkata: "Di dalamnya ada banyak aspek kita terapkan untuk membantu para banduan berubah kehidupan lebih baik. Antaranya, kita perkenalkan tafsiran beberapa surah-surah pilihan. Ini penting kerana dari segi pengalaman saya dengan para banduan, mereka kerap belajar cara membaca Al-Quran. Tetapi nilai-nilai yang ada di dalam Al-Quran juga penting untuk mereka memahami dan ini membantu mereka untuk hidup dengan akhlak baik. Ini boleh menjauhkan mereka daripada melakukan perkara salah."

Buku panduan itu turut menerapkan beberapa amalan harian yang boleh dilakukan dengan mudah serta soala-soalan yang kerap diajukan oleh para banduan, terjawab dalam buku panduan tersebut.

"Paling penting sekali adalah berkenaan sentuhan kerohanian, yang ia membawa menerusi FAQ, soalan yang kerap ditanya, selama pengalaman saya bersama mereka. Berkenaan bagaimana ia memberi mereka harapan untuk berubah dan tidak terlambat dan bagaimana untuk mereka menghadapi cabaran, tekanan dan ajakan ketika mereka di luar untuk kembali mengulangi kesilapan mereka," ujar Ustaz Abdul Hadi.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan bahawa meskipun terdapat pelbagai buku keagamaan di pasaran, buku panduan 'Kembali Kepada Fitrah' mengisi jurang dengan menggabungkan nilai-nilai penting pemulihan dalam satu rujukan yang padat dan mudah dirujuk ketika berdepan kesusahan, termasuk tekanan sosial dan stigma.

Bermula tahun depan, buku panduan itu akan diagihkan kepada semua banduan Muslim serta asatizah yang menjalankan kaunseling agama di penjara, dan akan diintegrasikan sebagai komponen teras dalam sesi kaunseling agama mingguan di bawah kurikulum Back-To-Fitrah.

PARA RELAWAN FITRAH DIIKTIRAF

Majlis pada pagi Sabtu (27 Dis) itu juga buat julung-julung kalinya mengiktiraf sumbangan para asatizah relawan yang sudah menabur bakti menerusi program-program FITRAH.

Antara 52 asatizah relawan yang menerima pengiktirafan itu ialah Ustazah Maria Mohd, yang banyak mencurahkan khidmatnya menerusi program Insan Mukmin.

Program tersebut yang dijalankan secara bersama dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) menyediakan para banduan di penjara dengan nilai-nilai dan pemikiran yang baik untuk integrasi semula kepada masyarakat.

"Anugerah ini satu pengiktirafan yang kita ingin masyarakat tahu bahawa asatizah ada bersama mereka. Seringnya kalau berkhidmat di penjara, di satu tempat yang seringnya sudah menjadi rapuh tetapi pada masa sama, ia juga satu tempat di mana mereka menaruh harapan untuk menjadi lebih baik. Dengan adanya pengiktirafan seperti ini, ia akan memberikan ruang kepada asatizah lain dan juga memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mencari redha Allah pada masa depan," ujar Ustazah Maria.

Jelas Ustazah Maria lagi, pendekatan FITRAH yang tidak menghakimi memberi kekuatan kepada sukarelawan untuk terus mendampingi golongan yang terdedah.

ā€œKami berada di sini bukan untuk menghukum. Dengan bersama mereka, saya semakin yakin bahawa manusia boleh berubah, dan inilah yang memberi semangat kepada saya untuk terus berkhidmat,ā€ tambah beliau.

Menurut Dr Faishal, ramai sukarelawan telah menyumbang jauh lebih lama daripada tempoh yang diiktiraf hari ini, dan komitmen tersebut bukan sesuatu yang mudah.

ā€œApa yang penting ialah FITRAH telah menyediakan sebuah wadah. Semua yang berada di sini hari ini melambangkan semangat itu – komitmen yang bukan sementara, tetapi untuk jangka panjang,ā€ ujarnya.

FITRAH merupakan satu usahasama antara MUIS dengan masjid-masjid, Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Perkhidmatan Penjara Singapura, MENDAKI, MESRA serta pelbagai pertubuhan masyarakat.

Ia ditubuhkan pada tahun 2019, sebagai satu usaha kecil yang bermula dengan sekitar 50 asatizah sahaja.

Gerakan itu hari ini disokong oleh hampir 120 asatizah, sekitar 200 rakan-rakan masyarakat, serta empat kumpulan sokongan Melayu/Islam yang aktif yang terdiri daripada bekas pesalah.

Ia sekali gus membentuk satu ekosistem sokongan menyeluruh bagi pemulihan dan integrasi semula banduan serta bekas pesalah Muslim.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/HK
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita