Skip to main content

Singapura

FirstCom Academy dibenar kendalikan semula kursus diluluskan SkillsFuture SG

Penyedia latihan FirstCom Academy dibenarkan mengendalikan semula kursus-kursus yang diluluskan SkillFuture Singapore (SSG).

Anggaran Waktu Membaca:
FirstCom Academy dibenar kendalikan semula kursus diluluskan SkillsFuture SG

Pejabat FirstCom Academy di Singapura. (Gambar: FirstCom Academy)

Diterbitkan : 03 Apr 2025 10:45PM Dikemas Kini : 03 Apr 2025 10:46PM
SINGAPURA: Penyedia latihan FirstCom Academy dibenarkan mengendalikan semula kursus-kursus yang diluluskan SkillFuture Singapore (SSG).

Dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, SSG mengesahkan pada Khamis (3 Apr) bahawa tempoh penggantungan selama tiga bulan terhadap FirstCom Academy telah ditarik balik dua hari lalu.

"Dengan itu, FirstCom Academy boleh mengendalikan semula kursus-kursus yang diluluskan SkillsFuture Singapore, dan kursus-kursusnya layak bagi pembiayaan Kredit SkillsFuture, dengan syarat ia memenuhi terma yang dinyatakan oleh SSG," menurut SkillsFuture Singapore.

FirstCom Academy digantung dari 1 Januari hingga 31 Mac lalu selepas SSG mendapati syarikat itu mengunakan program rujukan untuk pemasaran, di mana ia melanggar terma syarat bagi penyedia latihan.

Walaupun FirstCom Academy dijadikan semula sebagai penyedia latihan berdaftar, SSG menyatakan ia tidak dibenar untuk menawarkan dua kursus Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) yang dibatalkan pada November tahun lalu disebabkan oleh "kelemahan pada mutu kursus".

Penyedia latihan itu juga tidak dibenarkan memohon semula bagi kursus yang sama dalam tempoh setahun selepas ia dibatalkan.

Syarikat itu memberi tumpuan pada kursus-kursus WSQ untuk jangka pendek seperti kursus penciptaan kandungan digital hinggalah pemasaran media sosial.

SSG menyatakan FirstCom Academy perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, di mana jika ia gagal mematuhinya, SSG akan mengambil tindakan seperti yang digariskan dalam syarat kontrak.

"Kami menggalak FirstCom Academy supaya terus memperbaiki amalan dan piawai proses pemasaran dan penyampaian kursus mereka," ia menambah.

Untuk terus layak bagi pembiayaan SSG, semua penyedia latihan berdaftar termasuk FirstCom Academy perlu lulus Penilaian Kualiti Penyedia Latihan (TPQA).

Penilaian itu - yang akan dijalani oleh FirstCom Academy - menilai sistem mutu, proses dan pelaksanaan di peringkat pertubuhan.

SSG juga menilai mutu semua kursus melalui tinjauan mutu dan hasil latihan berdasarkan maklum balas para peserta.

Kursus-kursus yang diberi rating lemah tidak akan diperbaharui pembiayaan SSG atau mungkin dibatalkan sebelum tamat tempoh sah kursus itu.

GARIS PANDUAN PEMASARAN LEBIH KETAT

Dalam surat pekeliling terkini yang diberikan kepada semua penyedia latihan berdaftar pada Selasa, SSG menyatakan bahawa melainkan terdapat kebenaran secara bertulis, para penyedia latihan tidak dibenarkan menawarkan sebarang diskaun, anugerah atau ganjaran atau apa-apa dalam bentuk kewangan bagi sebarang rujukan dengan tujuan menarik peserta lain untuk mendaftarkan diri bagi kursus-kursus yang dibiayai SSG.

Para penyedia latihan juga tidak dibenarkan untuk mengiklankan, memasarkan untuk melakukan promosi bagi kursus mereka dengan cara yang berkemungkinan menganggu orang lain atau melanggar Seksyen 32 Akta Kesalahan Pelbagai (Ketenteraman dan Gangguan Awam) 1906.

Pada Disember tahun lalu, SSG memberitahu Mediacorp bahawa pemberian insentif bagi rujukan atau baucar bagi maklum balas Google dianggap "tidak profesional" sambil merujuk kepada amalan akademi tersebut.

SSG menyatakan pada Khamis bahawa ia mengekalkan "komitmen yang kuat dan berterusan" untuk memantau semua penyedia latihan berdaftar dan memastikan mereka mematuhi piawai yang ditetapkan.

"Sebarang kes ketidakpatuhan akan dipandang serius dan SSG akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi mutu dan integriti para penyedia latihan dan kursus mereka," ia menambah.

Para individu boleh berkongsi keprihatinan mereka di skillsfuture.gov.sg/feedback.

Mediacorp sudah pun menghubungi FirstCom Academy dan SSG untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dua kursus WSQ yang dibatalkan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita