Skip to main content

Singapura

Firma yang berjaya adalah yang sumbang kembali kepada masyarakat: Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
Firma yang berjaya adalah yang sumbang kembali kepada masyarakat: Edwin Tong

Syarikat Jetters Incz. Pte. Ltd antara yang diiktiraf. (Gambar: Brands for Good)

SINGAPURA: Perniagaan yang berjaya dalam abad ke-21 adalah perusahaan yang menyumbang kembali kepada masyarakat.

Dalam ucapannya di acara meraikan ulang tahun ke-10 Brands for Good, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong berkata ia mencerminkan komitmen sesebuah syarikat untuk menyumbang lebih daripada memikirkan tentang keuntungan mereka.

Acara itu diadakan di Ritz Carlton Millenia pada Jumaat (19 Jul).

"Perniagaan-perniagaan yang menjaga masyarakat dan melakukan kebaikan dalam masyarakat bukan sahaja akan berjaya tetapi secara kolektif menjadikan Singapura berjaya juga dan pemerintah komited untuk menyokong dan menggalak korporat-korporat untuk menyumbang kembali menerusi pelbagai inisiatif," kata Encik Edwin Tong.

Antara inisiatif tersebut termasuk Skim Relawan Korporat yang menawarkan pengurangan cukai sebanyak 250 peratus kepada syarikat-syarikat yang menyokong para kakitangan yang menjadi relawan.

HAMPIR 40 PERTUBUHAN DIIKTIRAF

Di acara itu juga, Encik Tong menyampaikan 41 anugerah kepada 38 syarikat yang menyumbang dalam pelbagai aspek termasuk kemampanan, membangun budaya inklusif dan kesamaan.

Antaranya termasuk syarikat Jetters Incz. Pte. Ltd yang diiktiraf dengan Anugerah Perniagaan Untuk Kebaikan.

Anugerah tersebut mengiktiraf perniagaan-perniagaan yang merevolusikan modal-modal ataupun proses untuk memacu kejayaan ekonomi di samping memberi kesan besar terhadap masyarakat dan sekitaran.

Syarikat Jetters Incz. Pte. Ltd dibangunkan pada 2015 dan pakar dalam menyelenggara sistem-sistem kumbahan.

Syarikat itu juga antara yang pertama dalam industri tersebut untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan mengitar semula sisa.

Mereka berjaya atasi pelbagai cabaran demi menjaga alam sekitar.

"Cabaran yang kita atasi untuk jadi mesra alam ialah teknologi yang tidak ada di Asia ini kerana industri kita ini sangat 'niche'. Jadi teknologi yang ada tidak mudah diakses bagi kami," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Jetters Incz. Pte. Ltd, Shaik Nifael Shaik Nazeemuddin.

Selain perniagaan, aspek lain termasuk budaya, teknologi dan kepimpinan yang baik juga diiktiraf di majlis itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita