Skip to main content

Singapura

Firma undang-undang siasat dakwaan salah laku seksual terhadap peguam

Firma guaman Tan Kok Quan Partnership (TKQP) sedang menyiasat dakwaan salah laku seksual terhadap salah seorang kakitangannya, Encik Imran Rahim, menurut firma itu pada Khamis (23 Julai).

Anggaran Waktu Membaca:
Firma undang-undang siasat dakwaan salah laku seksual terhadap peguam

Peguam Encik Imran Rahim (Gambar: Laman TKQP)

Diterbitkan : 23 Jul 2020 07:09PM Dikemas Kini : 23 Jul 2020 07:16PM

SINGAPURA: Firma guaman Tan Kok Quan Partnership (TKQP) sedang menyiasat dakwaan salah laku seksual terhadap salah seorang kakitangannya, Encik Imran Rahim, menurut firma itu pada Khamis (23 Julai).

Ia menambah bahawa Encik Imran, 32, bersetuju untuk mengambil cuti buat masa ini.

Tuduhan itu muncul pada Selasa, apabila anggota Parti Reform Charles Yeo mula menerbitkan video dan catatan di Instagram yang menuduh Encik Imran - seorang sukarelawan yang aktif dalam masyarakat yang pernah disebut oleh para menteri Kabinet dalam ucapan mereka - berkelakuan tidak wajar.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai catatan tersebut, seorang jurucakap dari TKQP berkata bahawa pihak pengurusan firma itu maklum tentang "tuduhan-tuduhan tertentu yang tersebar di media sosial" berkaitan dengan Encik Imran.

Firma itu menyatakan bahawa Encik Imran telah bekerja dari rumah sejak awal April.

Jurucakap itu juga menyatakan bahawa TKQP sudah memaklumkan perkara itu kepada semua pekerjanya pada Rabu, dan pihaknya telah memaklumkan mereka bahawa pihak pengurusan sedang meneliti tuduhan tersebut.

"Walaupun firma ini sudahpun mempunyai dasar/ prosedur pelaporan untuk aduan seperti gangguan seksual dan salah laku lain, ia mengingatkan semua kakitangan bahawa mereka tidak harus ragu-ragu untuk menghubungi pihak pengurusan jika mereka mempunyai keprihatinan tentang hal ini," kata jurucakap itu.

Mediacorp telah menghubungi Encik Imran untuk mengulas.

Menurut laman web TKQP, Encik Imran ialah sekutu kanan di firma guaman itu, yang menumpukan kepada litigasi komersial dan penyelesaian pertikaian.

Beliau pernah menuntut dalam bidang jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura dan tamat pengajiannya pada 2013.

Di luar kerjayanya, Encik Imran merupakan sukarelawan masyarakat yang telah bekerja bersama para menteri seperti Menteri Pendidikan Ong Ye Kung dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Dalam ucapannya pada 2018, Encik Ong berkata beliau mengenali Encik Imran melalui kerja-kerjanya di kawasan undinya di Sembawang dan menyifatkannya sebagai seorang pembahas yang berjaya.

Encik Masagos pula menyebut Encik Imran dalam ucapannya semasa perbahasan Belanjawan tahun lalu, dan berkata bahawa peguam itu telah mula menjadi sukarelawan di Woodlands pada 2016.

Encik Imran menggunakan pengalaman guamannya untuk bekerja dengan peguam muda lain, mengadakan ceramah undang-undang dan klinik guaman pro bono untuk para penduduk dan membantu dalam acara-acara kemasyarakatan, kata Encik Masagos, yang menyifatkan beliau sebagai seorang "wira sehari-hari".

Encik Imran juga pernah mendapat sorotan media kerana hubungannya dengan penggiat media sosial Andrea Chong. Mereka berkahwin pada Mac.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita