Skip to main content

Singapura

Firma SG terus berkembang di Afrika, unjur pulangan tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Firma SG terus berkembang di Afrika, unjur pulangan tinggi

Forum Perniagaan Afrika-Singapura, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos, bertindak sebagai platform untuk pertukaran perniagaan dan promosi perdagangan antara Singapura, Afrika, dan Asia Tenggara.

SINGAPURA: Dua tahun selepas berkembang ke Nigeria, syarikat perusahaan tempatan LAC Global kini menebarkan sayapnya merentasi benua Afrika.

Firma vitamin dan makanan tambahan itu membawa produknya ke Ghana dan sedang berusaha untuk meneroka Afrika Selatan dan Senegal. Ia menjangkakan pulangan dua angka.

Pengurus kanan eksport dan francais firma itu, Karen Fong berkata rantau itu menawarkan peluang yang dipacu oleh keperluan pengguna yang tidak dipenuhi, seperti ketiadaan suplemen kesihatan yang bermutu.

"Terdapat pasaran yang belum diteroka di Afrika kerana mereka kekurangan semua produk ini. Terdapat jurang ... untuk kita masuk. Kredibiliti adalah sesuatu yang mereka cari sekarang," katanya kepada Mediacorp.

Sementara itu, rumah perdagangan komoditi pertanian Valency International merancang untuk melabur AS$100 juta (S$128.3 juta) dalam kilang pemprosesan Ivory Coast dan Nigeria untuk menghapuskan karbon dalam rantaian nilai gajus.

Syarikat itu bekerjasama dengan firma Revata Carbon yang berpangkalan di Singapura untuk menukar sisa kulit gajus kepada biokarbon dan tenaga bersih.

Benua itu menghasilkan bahagian dominan kacang gajus mentah dunia, dengan Ivory Coast, Tanzania dan Nigeria mendahului senarai pengeluar.

"Walaupun kita melihat ketidaktentuan ekonomi di mana-mana sahaja, Afrika kekal berpotensi mencatatkan pertumbuhan tinggi," kata ketua pegawai komersial firma itu Priyanka Jain.

“Nigeria (sebagai contoh) mempunyai jumlah penduduk lebih 200 juta orang … dengan pasaran pengguna yang besar dan terus berkembang,” katanya.

“Ia memberikan kita bukan sahaja sumber semula jadi yang besar untuk dimanfaatkan dalam pasaran Afrika, tetapi juga pintu masuk ke seluruh Afrika Barat.”

LAC Global dan Valency International adalah antara syarikat-syarikat Singapura yang semakin berkembang dan mengejar pengembangan di Afrika, benua kedua terbesar dan kedua paling ramai penduduk di dunia selepas Asia.

Mereka tertarik dengan potensi pertumbuhan jangka panjang rantau itu yang didorong oleh pembandaran pesat dan peningkatan penduduk berpendapatan sederhana.

PERNIAGAAN SG DI AFRIKA

Hari ini, lebih 100 syarikat Singapura beroperasi di 40 negara Afrika, dengan jumlah pelaburan sebanyak S$27 bilion, dedah Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

“Terdapat banyak potensi untuk kerjasama kerana syarikat-syarikat Singapura dan produk serta perkhidmatan yang mereka sediakan dipandang baik di Afrika,” kata pengarah Timur Tengah dan Afrika EnterpriseSG, Rahul Ghosh. "Kami boleh membawanya lebih jauh lagi."

EnterpriseSG dan anak syarikatnya Singapore Cooperation Enterprise (SCE) membantu syarikat-syarikat Singapura menubuhkan dan mengembangkan sayap ke luar negara melalui sokongan kewangan dan nasihat.

Pada 2024, ia menyokong empat kali lebih banyak projek baharu ke Afrika berbanding 2020.

HUBUNGAN EKONOMI SG-AFRIKA

Singapura adalah pelabur kelapan terbesar di Afrika, dengan lebih AS$20 bilion (S$25.6 bilion) dilaburkan merentasi sektor seperti pengilangan dan pembangunan infrastruktur.

Sejak 2020, perdagangan barangan dan perkhidmatan masing-masing telah berkembang setiap tahun pada kira-kira 14 peratus dan 17 peratus.

Semasa forum itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Grace Fu berkata bahawa lebih banyak syarikat Singapura merebut peluang dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti ekonomi hijau, perniagaan pertanian dan perkhidmatan digital.

Cik Fu menambah bahawa syarikat-syarikat di Afrika memanfaatkan ketersambungan Singapura untuk mengakses pasaran di seluruh ASEAN dan seterusnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita