Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma SG berdepan kos lebih tinggi dalam persediaan hadapi cuaca ekstrem

Angin lebih kencang, cuaca panas dan banjir kilat. Apabila Singapura mula mengalami kesan perubahan iklim, apakah kesannya terhadap para majikan daripada sektor kerja luar?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Angin lebih kencang, cuaca panas dan banjir kilat. Apabila Singapura mula mengalami kesan perubahan iklim, apakah kesannya terhadap para majikan daripada sektor kerja luar?

Kos yang lebih tinggi dalam menangani cuaca ekstrem ini dan cabaran dalam mengimbangi permintaan operasi, dedah para majikan tersebut kepada Mediacorp.

Pihak berkuasa mengeluarkan nasihat pada 22 Sep agar syarikat-syarikat bersedia menghadapi perubahan keadaan cuaca yang tidak menentu dan berlaku secara mendadak – daripada suhu yang lebih tinggi kepada peningkatan kejadian petir dan banjir kilat.

Para majikan harus sedar bahawa selain cuaca panas yang melampau, keadaan cuaca lain juga boleh berlaku dengan perubahan iklim, kata Profesor Madya Jason Lee dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Cuaca buruk boleh menyebabkan kecederaan dan dalam senario terburuk, ia boleh membawa maut, tambah Prof Madya Lee, yang merupakan pengarah pusat prestasi dan ketahanan haba universiti tersebut.

Projek boleh ditangguhkan jika situasi sedemikian meningkat dengan kerap. "Dengan mengandaikan masa tambahan tidak disediakan untuk syarikat dan pekerja menyiapkan projek mereka disebabkan oleh kelengahan, kecenderungan semula jadi untuk tergesa-gesa memenuhi tarikh akhir juga boleh memberi implikasi negatif," katanya.

Membuat persiapan bagi keadaan yang tidak menentu boleh membantu mencegah hasil negatif, tambahnya. "Adalah disarankan agar syarikat-syarikat membuat persediaan bagi menghadapi gangguan sedemikian dan bukan bertindak secara reaktif."

Profesor Madya Kemampanan Bandar di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Terry van Gevelt juga menegaskan bahawa persediaan sedia ada untuk keadaan cuaca buruk "mungkin tidak mencukupi" pada masa akan datang.

Menyifatkan nasihat itu sebagai langkah pertama ke arah menyesuaikan diri dengan "norma-norma baharu", beliau berkata bahawa protokol dan kod bangunan perlu dikemas kini untuk membina daya tahan yang kukuh terhadap keadaan cuaca sebegini.

KOS MUNGKIN NAIK

Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) juga mengalu-alukan nasihat itu, kerana ia menyediakan panduan yang jelas mengenai langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh pihak majikan terhadap bahaya berkaitan cuaca tertentu, kata timbalan bendahari kehormatnya dan anggota Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHC)
Adrian Lim.

Ia juga berfungsi sebagai "peringatan tepat pada masanya" untuk semua majikan menjalankan penilaian risiko secara berkala tentang bahaya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko, tambahnya.

Namun, Encik Lim akur bahawa majikan-majikan akan menghadapi cabaran praktikal apabila membuat penyesuaian yang disarankan berkaitan cuaca.

Dalam sektor binaan, misalnya, menjadualkan semula kerja luar ke bahagian-bahagian hari apabila suhu lebih sejuk boleh bermakna melanjutkan kerja hingga ke malam.

"Ini tidak selalu dapat dilakukan kerana bunyi bising menjejas penduduk berhampiran," kata Encik Lim.

Kos untuk majikan mungkin akan meningkat, kata Prof Madya van Gevelt, seperti dalam bentuk pemasangan infrastruktur penyejuk bagi para pekerja.

Prof Madya Lee berkata: "Menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa merupakan pelaburan yang baik, tetapi akhirnya, ini bergantung kepada langkah-langkah yang dipilih oleh majikan untuk dilaksanakan."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan